Welcome To My Life...

Sunday, May 28, 2017

Piala Sudirman #3

Assalamualaikum.

Seperti biasa sejak tahun 1995, China akan beraksi lagi di perlawanan akhir kejohanan utama berpasukan campuran dalam sukan badminton, merebut Piala Sudirman. Edisi 2017 berlangsung di Australia. Korea menamatkan cabaran Thailand 3-1 di peringkat separuh akhir sementara China berjaya mengelak kejutan, menang tipis 3-2 ke atas Jepun.

Final edisi 2017 adalah kali kelima Korea-China beradu kekuatan di perlawanan akhir, dengan China memegang rekod 3-1. Kali pertama pada tahun 1997 di Glasgow (Scotland), China muncul juara. Korea membalas kekalahan itu pada tahun 2003 di Eindhoven (Belanda). Dua pertemuan terakhir berpihak kepada China. Pada tahun 2009 di Guangzhou (China), dan edisi 2013 di Kuala Lumpur (Malaysia), China menang mudah tanpa melepaskan sebarang mata. 

Untuk rekod juga, sejak edisi 2005 di Beijing (China), skuad China telah menang aksi final enam kali berturut-turut dengan kemenangan bersih dan mutlak 3-0. Mampukah armada China menjuarai Piala Sudirman buat kali kesebelas secara keseluruhan dan ketujuh berturut-turut? Atau Korea akan berjaya menyekat dominasi China dari terus berpanjangan?

CHINA 2-3 KOREA
MD: Fu Haifeng/Zhang Nan v Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae 2-0
WS: He Bingjiao v Sung Ji Hyun 0-2
MS: Chen Long v Jeon Hyeok Jin 2-0
WD: Chen Qingchen/Jia Yifan v Chang Ye Na/Lee So Hee 0-2
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong v Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung 0-2

Semuanya berlaku seperti yang dijangka (sebaik melihat senarai pemain).

Pengalaman Fu Haifeng dan Zhang Nan ternyata terlalu unggul bagi pasangan muda Korea, Choi Sol Gyu/Seo Seung Jae, dalam acara beregu lelaki yang memulakan aksi final. Kemenangan straight game Fu/Zhang membuka laluan untuk China mempertahankan kejuaraan dari edisi 2015. Perlawanan beralih ke aksi perseorangan wanita. Tiba masa dua ratu beradu kekuatan.

Inilah kunci perlawanan ini. Pemenang perseorangan wanita akan muncul juara. Selepas menggunakan pemain muda seperti Sun Yu dan Chen Yufei dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, percaturan kem China menggunakan He Bingjiao ternyata salah besar apabila tewas kepada ratu badminton Korea straight game. Chen Long kembali meletakkan China di depan dengan kemenangan mudah menentang perseorangan lelaki muda dari Korea, Jeon Hyeok Jin.

China 2-1 Korea. Gandingan muda berbisa Chen Qingchen/Jia Yifan diharapkan dapat menyumbang mata kemenangan sekali lagi selepas menyelamatkan maruah China dengan menundukkan juara Olimpik dari Jepun dalam aksi separuh akhir. Kali ini, Chen/Jia tidak bernasib baik dan tewas straight game Chang Ye Na/Lee So Hee walaupun jeritan Chen Qingchen sentiasa menggegar arena Gold Coast.

Terikat 2-2, permainan berlarutan ke aksi penentuan. Dua beregu muda yang sedang meningkat naik dengan kelebihan kepada pasangan China yang menang semua aksi Siri Super yang mereka sertai tahun ini. Namun aksi garang dan agresif dari Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung seperti ini adalah perlawanan terakhir dalam karier mereka. Tenaga dan semangat Choi/Chae nyata menggoyahkan kehebatan Lu Kai/Huang Yaqiong yang tewas straight game.

Choi Sol Gyu ialah karakter penting dalam kejayaan Korea menyekat kemenangan ketujuh berturut-turut untuk China. Beraksi dalam dua acara di final ini, Sol Gyu tidak goyah. Dia tidak patah semangat walau tewas mudah dalam perlawanan pertama berdepan juara Olimpik Rio 2016, Fu dan Zhang. Beraksi dalam perlawanan paling penting dalam hidupnya, Sol Gyu mempamer permainan kemas dan agresif sekali gus menjadi wira.

Akhirnya, Korea muncul juara selepas menanti 14 tahun. Satu kisah inspirasi untuk skuad Malaysia jika bermimpi sama untuk berada di persada dunia dalam pertandingan berpasukan campuran. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif