Welcome To My Life...

Sunday, May 21, 2017

Kedah 3-2 Pahang: Final Impian

Assalamualaikum.

Menang kami bangga, kalah kami setia.

21 Mei 2017, Kedah 3-2 Pahang.

Seperti dijangka dan diramalkan, pasukan Kedah bimbingan Nizam Adha menakluk satu lagi kejuaraan. Tahniah pasukan kesayangan hamba. Walaupun tak dilahirkan di Kedah, aku membesar di negeri Darul Aman ini dan sangat bangga dengan kejayaan terbaru di sebalik duka kehilangan jurulatih. Final ini diharapkan akan menjadi perlawanan yang diingati kerana aksi lebih dari kontroversi. Dan ia benar-benar menjadi satu final impian.

Perlawanan bermula keras apabila seawal minit kedua, pemain import baru pasukan Tok Gajah, Yamil Romero, telah membentes kaki pemain Kedah dengan sengaja. Dia dilepaskan tanpa diberi sebarang amaran. Intensiti perlawanan ini tinggi, tetapi sudah dijangka kerana melibatkan satu piala yang menjadi rebutan.

Gol pertama pasukan Kedah tiba apabila Syazwan Zainon bijak bermain hantaran satu dua dengan Liridon Krasniqi yang membebaskan Syazwan untuk melintangkan bola ke kawasan enam ela, dan hantaran itu pantas disambar Ken Ilso untuk menceriakan penyokong skuad Hijau Kuning. Gol kedua menyusul apabila ketangkasan Syazwan sekali lagi gagal dikekang, menggempur dari sayap kiri, dia memecah masuk ke kawasan penalti dan melepaskan bola. Baddrol Bakhtiar yang dikenali sebagai 'Sniper' tenang dengan rembatan leret kaki kiri untuk kedudukan selesa 2-0.

Gol kedua ini hadir selepas Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang pemain kerana Kiko Insa dibuang padang. Bek kanan Kedah, Rizal Ghazali, pernah dibuang padang kerana bertindak balas terhadap terjahan keras kepadanya. Kali ini, tindakan Rizal melanggar Kiko tidak disenangi pemain naturalisasi Pahang yang panas baran itu lantas bertindak melakukan serangan balas. Reaksi Kiko dilihat pengadil yang tanpa teragak-agak melayangkan kad merah dan menunjukkan jalan keluar padang kepada Kiko.

Aksi terakhir babak pertama berpihak kepada Pahang yang mendapat sepakan penjuru dan pemain import dari Korea Selatan, Jae Won, menceriakan Dollah Salleh dengan sepakan yang terbias pemain Kedah dan memerangkap Ifwat di gawang. Pahang bagaikan mendapat talian hayat dengan kedudukan 1-2. Kembali di babak kedua, Pahang lebih garang dan tidak seperti pasukan yang beraksi dengan kekurangan seorang pemain. Kedah pula gagal memanfaatkan kelebihan yang ada dengan membiarkan Pahang mengasak bertali arus.

Memasuki minit ke-70, Baddrol Bakhtiar meledak gol kedua peribadi apabila bijak menyempurnakan hantaran silang dari sebelah kiri. Ketenangan penyudah itu sangat indah dalam situasi yang amat menekan. Malang buat Kedah apabila Liridon Krasniqi gagal menyudahkan serangan kilat walaupun tidak ofsaid dan berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Pahang. Percubaan lemah Liridon mudah ditangkap untuk mengecewakan peminat Kedah yang mengharapkan kedudukan menjadi 4-1. 

Malang bertimpa buat Kedah apabila hantaran silang dari sayap kiri ditanduk kencang Mohamadou Sumareh menewaskan Ifwat. Kedudukan 3-2 sangat getir buat pemain Kedah kerana gol penyamaan akan menjatuhkan moral mereka. Empat minit masa kecederaan diberikan, tetapi berlarutan sehingga enam minit dengan dua sepakan penjuru di akhir permainan mencemaskan penyokong Kedah namun para pemain teguh bertahan untuk menjulang kejuaraan Piala FA yang sudah lama tidak dimenangi.

--------------------------------------------------

KEDAH STABIL

Barisan pemain Kedah stabil walaupun berdepan kesukaran sepanjang perlawanan. Ifwat kurang bernasib baik dengan gol pertama tetapi melakukan kesilapan apabila dibolosi gol kedua kerana posisi terlalu jauh. Rizal Ghazali keras di bek kanan. Khairul Helmi dan Syawal Nordin masih perlu meningkatkan permainan untuk beraksi di pentas lebih tinggi. Fitri Omar berdepan mimpi ngeri sepanjang malam kerana terpaksa mengawasi Sumareh. Akram Mahinan dan Liridon membentuk double pivot di tengah padang dan banyak membantu pertahanan. Trio Sandro, Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar nyata menjadi igauan Pahang selain bisa Ken Ilso yang berkesan walaupun tidak terlalu berbahaya.

Serangan Syazwan dan Baddrol dari sayap kiri dan kanan gagal disekat pemain Pahang ketika Ken Ilso menjalankan tanggungjawab yang digalas di bahunya. Hantaran-hantaran pendek yang kemas dan tersusun antara pemain Kedah menjadi kunci kemenangan. Namun, sikap profesional Liridon dipersoalkan kerana sering melengahkan permainan apabila dia dikasari. 

PAHANG MELAWAN

Semangat melawan Pahang walaupun terpaksa beraksi kurang seorang pemain untuk sebahagian besar perlawanan. Sayap kanan menjadi kekuatan utama Pahang dengan kelincahan Sumareh menjadi masalah besar buat bek kiri Kedah. Dua orang pemain dilayangkan kad kuning kerana terpaksa mengasari Sumareh dari memecah masuk kubu. Fitri Omar dan kemudian Syafiq Ahmad melakukan kekasaran profesional. Walau bagaimanapun, Sumareh tetap berbahaya dengan beberapa kali berjaya membawa bola ke kotak penalti, dan turut menanduk masuk gol kedua Pahang.

Beberapa pemain lain wajar disebut kerana sumbangan mereka. Shamim Yahya di tengah padang begitu menjadi walaupun tanpa gandingan Norazam Azih. Jae Won sekali lagi menjaringkan gol selepas aksi separuh akhir di Paroi. 

----------------------------------

Benar, Pahang kalah bermaruah dengan semangat melawan yang wajar dipuji, Namun, kekalahan walau satu gol sekali pun tidak akan diingati dalam jangka masa panjang. Peminat hanya akan ingat sang juara dan dalam situasi kali ini: Kedah.

Teori bahawa Pahang boleh menang jika bermain dengan 11 orang pemain tidak wajar diterima kerana kewujudan Kiko Insa nyata membuatkan permainan Pahang tidak stabil, kerana mereka dilihat lebih meyakinkan tanpa Kiko.

Sikap profesional Liridon wajar dipertikaikan tetapi kekasaran pemain Pahang tidak dapat dinafikan, sengaja melanggar Liridon dan Sandro dalam beberapa situasi. Kekasaran demi kekasaran terhadapnya semakin menyakitkan dan Liridon terpaksa bertahan sehingga tamat permainan. Pahang boleh dikira bernasib baik kerana Yamil Romero tidak dibuang padang bersama Kiko. 

Akhir kata, kemenangan ini sudah dijangka. Kedah selaku juara Piala FA 2017 layak secara automatik ke Piala AFC 2018 dan mereka akan mendapat lesen AFC tidak lama lagi. Forza Kedah!




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif