Welcome To My Life...

Monday, May 22, 2017

Nasib Berbeza


Lewat malam tadi waktu Malaysia, berakhirlah saingan liga domestik di Eropah untuk beberapa negara. Juara sudah ditabalkan dan persiapan untuk musim baru kini sudah bermula. 

Perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris hampir tidak membawa sebarang makna. Chelsea sudah sah bergelar juara sebelum perlawanan terakhir lagi, dan Tottenham Hotspurs kecewa lagi di tempat kedua. Tiga pasukan yang tersingkir dari liga utama juga sudah awal diketahui: Hull City, Middlesbrough, dan Sunderland. Satu-satunya keputusan yang dinantikan adalah sama ada Arsenal berjaya memintas Liverpool di tangga keempat. Berikut adalah keputusan terpilih:

Arsenal 3-1 Everton
Chelsea 5-1 Sunderland
Hull City 1-7 Tottenham Hotspurs
Liverpool 3-0 Middlesbrough
Manchester United 2-0 Crystal palace
Watford 0-5 Manchester City

Semua pasukan dalam kelompok enam terbaik memenangi perlawanan terakhir masing-masing. Kemenangan Arsenal tidak bererti lagi kerana kemenangan Liverpool dan Manchester City bermaksud Manchester City layak automatik ke Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool terpaksa mengharungi play-off Liga Juara-Juara, dan Arsenal dihumban terus ke Liga Europa. 

Perlawanan terakhir ini juga menyaksikan beberapa fakta diketahui: Chelsea mencatat sejarah dengan jumlah kemenangan liga terbanyak dalam satu musim (30 kali daripada 38 perlawanan); Harry Kane muncul pemenang Kasut Emas (penjaring gol terbanyak) untuk dua musim berturut-turut; dan N'golo Kante memenangi liga dua kali berturut-turut dengan dua pasukan berbeza (Leicester City dan Chelsea). Tujuh gol yang diledak Harry Kane menyaksikan dia berjaya memintas Romelu Lukaku (Everton) di selekoh penamat.

Manchester United pula, dengan tiada apa lagi yang dipertaruhkan, menyaksikan Jose Mourinho menyenaraikan pemain-pemain muda untuk diberikan pengalaman. Joel Pereira (penjaga gol), Timothy Fosu-Mensah (bek kanan), Demetri Mitchell (bek kiri), Axel Tuanzebe (pemain tengah), Scott McTominay (pemain tengah), Josh Harrop (penyerang), dan Angel Gomes (pemain tengah) ialah para pemain Akademi yang diberikan kesempatan untuk mempersembahkan bakat mereka dan mereka tidak mengecewakan.

Tuanzebe terus membuktikan kewibawaannya selaku pemain versatil yang kukuh dalam perancangan Mourinho. Mitchell memukau di sebelah kiri sehingga mengagumkan para penonton. Harrop tidak mensia-siakan peluang dengan menjaringkan gol pertama dalam debutnya. Gomes yang belum berusia 17 tahun pula menjadi pemain pertama yang lahir selepas tahun 2000 untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris.  

----------------------------------------------

La Liga juga melabuhkan tirainya. Selepas akur dengan kestabilan Barcelona (dalam masa sama Real Madrid menang Liga Juara-Juara Eropah dua kali dalam tiga musim), pasukan gergasi dari ibu kota Sepanyol itu akhirnya ditabalkan juara buat kali pertama sejak tahun 2012. Perseteruan yang membawa ke perlawanan terakhir untuk pengesahan. Real Madrid hanya perlu keputusan seri.

Barcelona 4-2 Eibar
Malaga 0-2 Real Madrid

Pasukan kesayangan hamba muncul juara selepas jaringan Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema sudah cukup untuk memastikan kemenangan Barcelona di tempat sendiri tidak membawa sebarang makna. Real Madrid selaku juara bertahan Liga Juara-Juara juga berpeluang mempertahankan kejuaraan benua Eropah apabila berdepan Juventus dalam aksi final nanti.

Glory glory Manchester United. Forza Madrid!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif