Welcome To My Life...

Saturday, May 27, 2017

Piala Malaysia 2017

Assalamualaikum.

Selepas berakhir aksi Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam yang menyaksikan pasukan Kedah muncul juara dengan menewaskan Pahang 3-2, tumpuan para peminat bola sepak tempatan kini ke arah Liga Super, dan piala keramat bola sepak negara, Piala Malaysia.

Undian peringkat kumpulan telah dilangsungkan dan 16 pasukan telah dibahagikan.



KUMPULAN A

Naib juara Piala FA, Pahang, akan mengetuai kumpulan. Pahang dilihat sebagai pilihan utama dalam kumpulan ini. T-Team adalah pilihan seterusnya untuk mara dari kumpulan A. Tetapi, Negeri Sembilan yang beraksi di separuh akhir Piala FA mempunyai peluang untuk melakukan kejutan. Begitu juga kelab PKNP yang telah menarik perhatian sepanjang aksi mereka musim ini.

------

KUMPULAN B

Peluang pasukan dalam kumpulan ini agak seimbang. Hanya satu pasukan dari Liga Perdana iaitu Kuala Lumpur dengan peluang tipis kerana berdepan dengan tiga pasukan Liga Super. Tiada yang benar-benar meyakinkan untuk menjadi pilihan utama. Felda United yang beraksi di Piala AFC musim ini mungkin sedikit kuat. Mana-mana pasukan dalam kumpulan ini boleh mara jauh jika beraksi dengan cemerlang.

------

KUMPULAN C

Juara Piala FA 2017 yang baru ditabalkan, Kedah akan mengetuai kumpulan ini selaku pilihan utama untuk mara. Kelantan yang baru saja menjual penggempur hebat mereka, Ghaddar ke Johor Darul Takzim dan membeli dua pemain import baru sudah pasti menjadi pilihan untuk mengiringi Kedah. Melaka United dan UiTM FC dilihat hanya sekadar melengkapkan kumpulan.

-----

KUMPULAN D

Pendahulu dan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim akan mengetuai 'kumpulan maut' ini. Selepas dua tahun berturut-turut terlepas Piala Malaysia kepada pasukan Kedah, JDT pastinya mahu merampas piala tersebut kali ini. Selangor dilihat lebih berpeluang jika dibandingkan dengan Sarawak dan Terengganu tetapi kejutan boleh berlaku.

------

Ramalan pasukan ke suku akhir: Pahang, Negeri Sembilan, Felda United, PKNS, Kedah, Kelantan, JDT, Selangor

Kedah mempunyai misi besar untuk melengkapkan kejuaraan berganda (atau mungkin juga treble) selepas menjuarai Piala FA. Jika menang edisi kali ini juga, bermakna Kedah akan mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara Piala Malaysia 2016. Kedah adalah pasukan yang sedang meningkat naik dan sedang mengejar JDT selaku penanda aras bola sepak Malaysia ketika ini. 

Mampukah Kedah? Forza Kedah!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif