Welcome To My Life...

Friday, July 19, 2019

Teruja

Assalamualaikum.

Maafkan penulis kerana menulis entri bola sepak lagi walaupun telah ditegur oleh sahabat penulis. Sekali sekala apa salahnya kan? :p

Oh ya, penulis akan memulakan alam pekerjaan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah bulan depan dalam Pengambilan 4/2019. Alhamdulillah atas izin-Nya.

Selepas menonton dua perlawanan pra-musim Manchester United dalam siri jelajah persahabatan, penulis amat teruja dengan musim Liga Perdana Inggeris yang akan bermula bulan depan. Menamatkan saingan di tangga keenam liga musim lalu, penulis sangat berharap kelab kesayangan penulis ini akan bangkit ke zaman kegemilangan seperti di bawah kepimpinan Alex Ferguson. 

Ole Gunnar Solksjaer sebagai jurulatih mementingkan kepantasan dalam taktikalnya. Setakat entri ini ditulis, hanya dua pembelian berjaya disempurnakan iaitu Daniel James dan Aaron Wan Bissaka. Kedua-duanya merupakan pemain yang pantas. Ole masih melakukan eksperimen dalam dua perlawanan persahabatan awal menentang Perth Glory dan Leeds United.

Manchester United mengatasi cabaran Perth Glory dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Marcus Rashford dan James Garner. Kemudian mereka mencatat satu lagi kemenangan 4-0 menentang Leeds United hasil jaringan Marcus Rashford, Mason Greenwood, Phil Jones dan Anthony Martial.

Manchester United menghadapi masalah untuk mendapatkan pemain baru yang diinginkan pada harga yang sesuai kerana kelab-kelab lain memilih untuk meletakkan 'harga Yahudi' apabila ia melibatkan Manchester United. Mereka tahu Manchester United merupakan kelab yang kaya. Tetapi mengikuti trend pasaran yang 'gila' ini hanya akan membuatkan keadaan bertambah buruk.

Ole membawa beberapa orang pemain muda graduan akademi untuk diberikan pendedahan. Penulis menjangka pemain-pemain ini akan mendapat peranan penting musim depan. Tahith Chong berusia 20 tahun, Angel Gomes 19 tahun, James Garner dan Mason Greenwood kedua-duanya berusia 18 tahun. Kesemua mereka memberikan persembahan yang menarik dalam kedua-dua perlawanan dan menambah dilema untuk Ole menentukan kesebelasan utamanya.

---------

Romelu Lukaku dijangka melengkapkan perpindahan ke Inter Milan tidak lama lagi. Penyerang tulen senior yang tinggal hanyalah Marcus Rashford dan Anthony Martial. Kedua-dua pemain ini boleh bermain di bahagian sayap. Greenwood mempunyai peluang cerah untuk diberikan peranan utama sebagai penyerang apabila musim baru bermula. Dan Greenwood juga telah digunakan sebagai sayap oleh Ole dalam perlawanan pra-musim ini. Chong juga sudah boleh diberikan peranan dalam skuad utama. Usianya bukanlah muda lagi, sama usia dengan Harry Kane dan Dele Alli apabila mereka mula mengukir nama. 

Ole dalam kedua-dua perlawanan dilihat selesa dengan formasi asas 4-2-3-1. Atau formasi ini boleh juga dibaca sebagai 4-1-4-1. Seorang pemain tengah bertahan untuk melindungi pertahanan dan penyerang tunggal. Jelas sekali Ole membina skuad ini untuk permainan serangan pantas. Kelajuan Daniel James begitu menyerlah. 

Dan Aaron Wan Bissaka juga tidak mengecewakan. AWB menunjukkan kepada peminat Manchester United apa yang mereka ingin saksikan di posisi bek kanan sejak sekian lama. AWB bukan saja pantas malah pintar membuat terjahan bersih. Untuk rekod, AWB mencatat keputusan terbaik untuk beberapa parameter statistik di posisi bek kanan musim lepas semasa bersama Crystal Palace. Pastinya satu pembelian yang berbaloi. 

Perlawanan seterusnya adalah menentang Inter Milan pada 20 Julai. Kemudian menentang Spurs pada 25 Julai dan menamatkan sesi pra-musim dengan berdepan Kristiansund pada 31 Julai. Inter Milan dan Spurs pastinya lebih sesuai untuk mengukur persediaan pasukan Ole untuk menghadapi musim baru. Dan semoga Bruno Fernandes dan Harry Maguire akan menyertai Manchester United seperti yang dijangka. 




Parlimen Malaysia Cipta Sejarah

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Bagi seorang rakyat marhaen yang mengikuti perbahasan Parlimen secara dekat, penulis rasa berbangga apabila pada tanggal 16 Julai 2019 (hari Selasa), sidang Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Parlimen ke-14 menyaksikan satu sejarah yang amat bermakna dicipta.

Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia, satu pindaan Perlembagaan telah berjaya dilakukan dengan sokongan sebulat suara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama pindaan Perlembagaan dilakukan. Sudah banyak pindaan Perlembagaan dibuat terutama ketika era pemerintahan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad (yang juga Perdana Menteri ke-7 ketika ini).

Namun ketika itu, blok kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Satu lagi fakta: sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan undi dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Apa pun pindaan Perlembagaan boleh dilakukan sesuka hati oleh pihak kerajaan kerana mereka tidak memerlukan sebarang sokongan daripada pihak pembangkang. Suara pembangkang terlalu kecil dan tidak dipedulikan. 

Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mula hilang majoriti dua pertiga di dewan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Trend itu semakin buruk pada PRU-13 pada tahun 2013 apabila BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bukan saja mendapat bilangan kerusi yang lebih sedikit, malah kalah dari segi undi popular.

Akhirnya, arus kebangkitan rakyat yang ditindas menenggelamkan terus bahtera Barisan Nasional dalam PRU-14 tahun lepas dengan perubahan kerajaan Persekutuan yang pertama sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Namun, Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Seperti dua kerajaan Persekutuan sebelumnya, pindaan Perlembagaan oleh pihak kerajaan menjadi mustahil tanpa sokongan blok pembangkang.

Malah secara logiknya, pihak kerajaan terpaksa melobi sokongan barisan pembangkang untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan. Penulis telah menonton rancangan televisyen Designated Survivor (versi Amerika Syarikat). Penulis melihat senario bagaimana Presiden yang ingin mengubah polisi kerajaan terpaksa melobi sokongan ahli House of Representatives dan juga Senate

------

Awal tahun ini juga, kerajaan Pakatan Harapan cuba untuk membuat pindaan Perlembagaan terhadap perkara yang menyentuh status Sabah dan Sarawak selaku rakan kongsi Malaysia untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Blok kerajaan gagal untuk melobi sokongan yang diperlukan kerana tidak menepati syarat yang diminta oleh blok pembangkang. Undi belah bahagi menyaksikan undi dua pertiga gagal diperolehi.

Usul pindaan Perlembagaan yang gagal untuk diluluskan memberi tamparan kepada pihak kerajaan dan menyedarkan mereka tentang realiti betapa pentingnya sokongan daripada blok pembangkang.

------

Belajar daripada kesilapan itu, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, telah bekerja keras untuk melobi sokongan blok pembangkang. Walaupun terpaksa berdepan syarat-syarat dari blok pembangkang untuk mendapat sokongan mereka, YB Syed Saddiq mendapat persetujuan kerajaan untuk menepati syarat tersebut sebelum usul Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan dibacakan di Dewan Rakyat pada hari yang bersejarah.

Pindaan berkenaan mengubah perenggan Perkara 47 berkaitan umur untuk menjadi wakil rakyat diturunkan kepada 18 tahun, Perkara 119 berkaitan umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan juga pendaftaran automatik pengundi apabila berusia 18 tahun. Peristiwa bersejarah ini juga berlaku tepat setahun usia Parlimen ke-14 bersidang.

----------

211 ahli Parlimen mengundi untuk menyokong RUU tersebut, melepasi minimum 148 undi yang diperlukan (dua pertiga Dewan Rakyat). Tiada yang mengundi untuk tidak bersetuju, dengan baki 11 ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi.


Kejayaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang pertama dalam sejarah melibatkan sokongan sebulat suara kedua-dua blok ini menjadi penanda aras baru dalam demokrasi moden di Malaysia. Betapa ahli Parlimen Malaysia telah mencapai kematangan demokrasi untuk mengetepikan perbezaan ideologi politik, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang utama. 

Kekuatan suara pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen ini mesti dikekalkan supaya prinsip 'semak dan imbang' pembangkang dapat dilakukan terhadap blok kerajaan. Selepas mengubah kerajaan Persekutuan buat pertama kali dalam sejarah, kematangan politik kita telah mencapai satu tahap yang baru.

Tidak guna lagi memandang ke belakang. Untuk maju, langkah dari sini adalah terus ke depan. Tarikh 16 Julai akan terus kekal dalam lembaran sejarah Malaysia apabila kita berbicara tentang kematangan demokrasi.




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif