Welcome To My Life...

Thursday, May 25, 2017

Akhirnya Sempurna

Assalamualaikum.

Puassss, Sangat puas. Begitulah yang aku rasakan ketika ini sebagai peminat tegar kelab paling popular dan mempunyai jumlah pengikut paling ramai di atas muka bumi.

AJAX 0-2 MANCHESTER UNITED

Keputusan akhir perlawanan di Stockholm, Sweden, itu bermakna Manchester United kini layak secara automatik untuk menempah tempat khas dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018. United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini di tangga keenam. Ini bermakna kejayaan di final Liga Europa ini saja adalah satu-satunya jalan untuk United ke pentas tertinggi benua Eropah mengiringi Chelsea, Tottenham Hotspurs, Manchester City (dan mungkin Liverpool). Jumlah kelab England akan menjadi lima sekiranya Liverpool melepasi pusingan play-off sebelum pertandingan utama bermula.

Kita juara

Kejuaraan Liga Europa ini juga bermakna besar bagi kelab penuh tradisi ini yang kini telah melengkapkan kabinet trofi mereka dengan satu-satunya piala yang tidak pernah dimenangi. Akhirnya sempurna. Dan, kemenangan ini telah melayakkan Manchester United untuk bertemu pemenang Liga Juara-Juara Eropah, sama ada Real Madrid (Sepanyol) atau Juventus (Itali) untuk merebut Piala Super UEFA pada Ogos nanti.

Pakar piala 

Memulakan permainan dengan formasi lazim baginya (4-2-3-1), Mourinho memilih Sergio Romero untuk mengawal gawang. Satu sebab adalah aksi cemerlang Romero sepanjang kempen Liga Europa dalam penggiliran dengan David De Gea. Sebab kedua pula tentang hakikat minda De Gea ketika ini sedang berada di Santiago Bernabeu dalam hasratnya untuk kembali ke negara asalnya, Sepanyol, untuk beraksi bersama Real Madrid. Mourinho menyenaraikan kesebelasan utama yang dirasakannya adalah terbaik selepas melihat prestasi mereka dalam musim yang panjang dengan aksi yang padat. Pasukan ini diketuai Antonio Valencia dan kapten pasukan, Wayne Rooney, bermula di bangku simpanan.

Pemain terbaik pertandingan

United selesa membiarkan para pemain muda Ajax Amsterdam menguasai bola dan menggunakan pendekatan menyerang hanya apabila perlu. Taktik Mourinho berhasil apabila satu serangan pintar membawa gol pendahuluan yang diidamkan dengan rembatan kencang kaki kiri pemain termahal dunia, Paul Pogba, terbias pertahanan lawan sekali gus memperdayakan penjaga gawang Ajax yang kurang bernasib baik. Pogba mendedikasikan gol ini buat mendiang ayahnya yang baru saja meninggal dunia.

United terus bertahan dengan kental ketika Ajax mengatur hantaran demi hantaran tetapi gagal menembusi kubu kebal United. Gol kedua United hadir apabila sepakan penjuru ditanduk oleh Chris Smalling kepada Henrikh Mkhitaryan yang membuat penyudah bijak untuk menjadikan kedudukan selesa. Misi United seterusnya mudah dan dijangka: mempertahankan defisit dua gol sehingga ke wisel akhir. Walaupun sedikit cemas di hujung permainan, namun status juara tidak pernah diragui, memang selayaknya milik Manchester United.

Sayang sekali Zlatan Ibrahimovic cedera dan tidak dapat beraksi di stadium final yang dilangsungkan di negaranya (Sweden). Namun, Zlatan turut sama meraikan kejuaraan ini yang merupakan kejuaraan Eropah pertama dalam kariernya selama 18 tahun. Tahniah Zlatan! Sumbangan Zlatan mungkin sudah berakhir kerana faktor usianya, Zlatan mungkin menamatkan karier di liga negara lain.

Teka-teki juga mengenai status Wayne Rooney apabila musim depan bermula. Rooney hanya dimasukkan Mourinho ketika mencecah detik akhir masa perlawanan sebenar dan terus diberikan lilitan kapten oleh Valencia. Selaku kapten pasukan, Wayne Rooney diberikan penghormatan untuk menjulang Liga Europa yang melengkapkan karier kelabnya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Manchester United dan England. Tahniah legenda!

David De Gea pula, jika dilihat cara pengurusan Mourinho, bermakna statusnya kini sudah 70% milik Real Madrid. De Gea mungkin sudah bermain perlawanan terakhir bersama United. Aku kira sumbangan De Gea terlalu banyak selaku pemain terbaik tahunan United untuk beberapa musim terakhir. Jika hati De Gea sudah berada di Sepanyol, relakanlah dia pergi untuk mengembangkan kariernya seperti Cristiano Ronaldo yang berpindah secara profesional. De Gea punya impian, dan dia tidak boleh dihalang lagi.

Musim panas ini sangat penting bagi Mourinho untuk membeli pemain yang akan memperkuatkan pasukan ketika Chelsea, Tottenham, dan Manchester City mempunyai skuad yang semakin kuat. Mourinho tidak boleh ketinggalan terlalu jauh. Tiket ke Liga Juara-Juara Eropah bermakna nama-nama besar seperti Antoine Griezmann (yang sedang diburu) akan sukar untuk menolak.

Walaupun berada di kedudukan keenam liga, United sudah memenangi tiga trofi musim ini, sekali gus jauh lebih baik dari Tottenham, Manchester City, Liverpool, dan Arsenal yang tiada apa yang dapat dibanggakan selain menamatkan musim di atas Manchester United.

Akhirnya sempurna

Sekian dulu, salam sayang.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif