Welcome To My Life...

Sunday, April 16, 2017

Terbuka Singapura 2017: Final

Assalamualaikum.

Kejuaraan perseorangan lelaki telah sah milik pemain India sebelum perlawanan berlangsung lagi dan hanya empat acara lain menjadi tanda tanya. Berikut adalah keputusan penuh peringkat akhir Terbuka Singapura 2017.

MS: Sai Praneeth (India) vs Srikanth Kidambi (India) 17-21 21-17 21-12
MD: Mathias Boe/Carsten Mogensen (Denmark) vs Li Junhui/Liu Yuchen (China) 21-13 21-14
WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Carolina Marin (Sepanyol) 21-15 21-15
WD: Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) vs Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) 21-18 14-21 21-15
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai (Thailand) 19-21 21-16 21-11

Dua pemain India, kedua-duanya berusia 24 tahun. Tiga set diperlukan untuk memisahkan yang terbaik antara mereka. Tewas set pertama tidak mematahkan semangat Sai Praneeth untuk bangkit dalam dua set berikutnya dan membawa pulang kejuaraan berharga dalam kariernya.

Pertembungan final beregu lelaki antara dua generasi yang jauh perbezaan umur. Beregu veteran dari Denmark yang penuh pengalaman dan beregu muda dari China yang sedang meningkat naik. Ternyata perbezaan pengalaman itu menjarakkan. Pasangan Denmark yang menyingkirkan beregu nombor satu dunia di separuh akhir tidak menghadapi masalah untuk menang straight set.

Final perseorangan wanita adalah ulangan final Terbuka Malaysia. Misi balas dendam Carolina Marin tidak kesampaian. Jika di Kuching, Sarawak, Marin berjaya mengheret permainan ke set penentuan, kali ini Marin gagal. Marin tewas dengan skor yang sama dalam kedua-dua set kepada ratu badminton dunia ketika ini yang terus menyinar.

Pilihan kedua pertandingan dari Denmark mengejutkan beregu nombor satu dunia dan juga pilihan utama dari Jepun. Menang set pertama, harapan Kamilla Rytter Juhl dan Christinna Pedersen untuk menang mudah tidak kesampaian. Mengaku kalah di set kedua, Kamilla dan Christinna memastikan Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi tidak mampu mengatasi mereka dalam set penentuan.

Pasangan China, Lu Kai dan Huang Yaqiong memenangi kejuaraan Siri Super ketiga dari empat yang dipertandingkan setakat ini apabila membenam cabaran lawan dari Thailand. Selepas tewas kepada rakan senegara di Malaysia minggu lalu, Lu Kai/Huang Yaqiong tidak mahu kempunan lagi. Tewas tipis set pertama, dua set berikutnya menjadi milik mereka untuk mengesahkan dominasi di pentas antarabangsa ketika ini.

Pertandingan Siri Super akan berehat sementara bagi memberi laluan kepada Piala Sudirman (berpasukan campuran) di Australia bulan depan dan akan bersambung di Indonesia pada bulan Jun.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif