Welcome To My Life...

Saturday, April 15, 2017

Terbuka Singapura 2017: Semi Final

Assalamualaikum.

Terbuka Singapura bermula sebaik saja Terbuka Malaysia anjuran Celcom Axiata berakhir di Kuching, Sarawak, minggu ini. Kejuaraan Siri Super kedua berturut-turut. Tanpa penyertaan Lee Chong Wei dan Lin Dan, pemain lain mencuri tumpuan dalam acara perseorangan lelaki.

Berikut adalah keputusan penuh peringkat separuh akhir.

Perseorangan Lelaki
Srikanth Kidambi (India) vs Anthony Ginting (Indonesia) 21-13 21-14
Sai Praneeth (India) vs Lee Dong Keun (Korea Selatan) 21-6 21-8

Satu demi satu halangan dilepasi dan tanpa diduga menentang sebarang ramalan, dua pemain perseorangan dari India akan berentap sesama sendiri dan memastikan kejuaraan ini milik India. Kedua-dua pemain India berusia 24 tahun ini boleh dikatakan menang mudah menentang lawan masing-masing. Sai Praneeth lebih hebat, langsung tidak membenarkan Lee Dong Keun mengutip 10 mata dalam kedua-dua set.

----------------------------

Beregu Lelaki
Mathias Boe/Carsten Mogensen (Denmark) vs Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) 11-21 21-11 21-14
Li Junhui/Liu Yuchen (China) vs Berry Angriawan/Hardianto (Indonesia) 15-21 21-10 21-16

Dua beregu Indonesia dalam dua perlawanan separuh akhir dengan harapan untuk pertemuan sesama sendiri pemain Indonesia. Dan kedua-dua pasangan Indonesia ini tewas dalam pertarungan tiga set. Pasangan Marcus Gideon/Kevin Sanjaya yang telah memenangi ketiga-tiga Siri Super yang dipertandingkan sebelum ini terpaksa akur dengan kemantapan gandingan veteran Denmark. Otai masih berbisa! Beregu muda China pula menyingkirkan gandingan Berry Angriawan/Hardianto.

------------------------------

Perseorangan Wanita
Carolina Marin (Sepanyol) vs Sung Ji Hyun (Korea Selatan) 21-9 21-12
Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Zhang Beiwen (USA) 21-19 21-15

Carolina Marin menang mudah menentang perseorangan utama Korea Selatan untuk menempah pertarungan dengan lawan yang sama yang menewaskannya dalam final Terbuka Malaysia seminggu sebelumnya. Misi balas dendam juara Olimpik Rio 2016 ini pasti membakar semangatnya. Ratu badminton dunia dari Taiwan pula pastinya tenang memburu kejuaraan Siri Super ketiga dari empat yang baru dipertandingkan.

-------------------------------

Beregu Wanita
Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) vs Chang Ye Na/Lee So Hee (Korea Selatan) 28-26 21-11
Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) vs Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan (Korea Selatan) 21-17 21-17

Jika dua beregu Indonesia tewas dalam acara lelaki, beregu wanita pula menyaksikan dua beregu Korea Selatan tersungkur dalam pertembungan empat pasangan pilihan utama. Pasangan berpengalaman dari Denmark, Kamilla Rytter/Christinna Pedersen mengharungi saat getir dalam set pertama sebelum menang 28-26 dan kemudian menang mudah dalam set kedua. Beregu nombor satu dunia, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi pula menang straight game dengan skor yang sama.

-----------------------------

Beregu Campuran
Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai (Thailand) vs Tan Kian Meng/Lai Pei Jing (Malaysia) 18-21 21-11 21-14
Lu Kai/Huang Yaqiong (China) vs Kim Gi Jung/Shin Seung Chan (Korea Selatan) 16-21 21-17 21-12

Satu-satunya harapan Malaysia ditumbangkan dalam tiga set. Jika Tan Kian Meng/Lai Pei Jing tidak meningkatkan prestasi, pingat emas acara ini akan menjadi milik Thailand di Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Lawan pasangan Thailand ini di final ialah Lu Kai/Huang Yaqiong yang juga bertungkus-lumus dalam tiga set sebelum menyingkirkan Shin Seung Chan dalam acara kedua. Malang bagi Seun Chan yang tewas dalam dua perlawanan separuh akhir (beregu wanita/campuran).

--------------------------------------

Hanya satu wakil Malaysia di pusingan separuh akhir dan wakil tunggal itu telah tewas, bermakna tiada pemain Malaysia akan beraksi di pentas final di Singapura. Mengecewakan, sangat mengecewakan. Aksi tidak konsisten yang dipamerkan Goh V Shem/Tan Wee Kiong menyaksikan harapan yang digalas mereka kian pudar. Selepas memenangi Dubai World Superseries Final akhir tahun lalu dan mencapai puncak ranking nombor satu dunia, V Shem/Wee Kiong jatuh mendadak selepas itu. Kisah yang sama seperti Koo Kien Keat/Tan Boon Heong satu ketika dulu.

Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur semakin hampir, akan berlangsung Ogos nanti. Ketika Indonesia mendominasi acara beregu lelaki dan Thailand kian kukuh dalam acara beregu campuran, harapan Malaysia tidak mempamerkan prestasi stabil untuk diharapkan memenangi pingat emas di bumi sendiri. Jika Lee Chong Wei beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pemain pelapis dalam acara perseorangan lelaki tidak boleh diharapkan menentang armada Indonesia.

Apa pun, tumpuan sepenuhnya kepada aksi final esok. Perlawanan tumpuan adalah pertembungan ulangan antara Tai Tzu Ying dan Carolina Marin dalam final kedua berturut-turut.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif