Welcome To My Life...

Wednesday, April 5, 2017

Diari Selektif #2 - Tenanglah Rambo

Assalamualaikum.

4 April 2017
11 pagi

"Kejap lagi saya bagi air ya." Sekilas aku terpandang staff nurse sedang berbicara dengan seorang pesakit. Ketika itu aku sedang mengikuti ward round bersama house officer, medical officer dan boss (pakar) di katil sebelah. 

"Dia selalu gasping." Aku tersenyum kepada staff nurse itu yang sentiasa ramah melayan Rambo.

"Tu tanda dia nak lawan. Dia nak sihat, dia nak balik."

Respons staff nurse itu aku sambut dengan senyuman. Mampukah Rambo? Sepanjang aku memulakan praktikal di wad ini, Rambo adalah antara pesakit terawal yang aku lihat dan sentiasa menangkap perhatian aku.

Rambo di katil 4 itu boleh dikatakan sentiasa tercungap-cungap seperti tidak cukup nafas apabila sedar. Dan bacaan SpO2 yang dipasang di jarinya sering menunjukkan bacaan lebih 95% dan biasanya keadaan oksigen sempurna 100%. Gaya Rambo seperti tidak cukup oksigen.

Keadaan Rambo setiap hari sangat menyedihkan. Terbaring tanpa kekuatan normal badannya dengan lubang udara tracheostomy di lehernya untuk bantuan pernafasan. Makanan diberikan melalui RTF (Ryles tube feeding). Pertuturan Rambo tak mengeluarkan suara. GCS (glascow coma scale) apabila disemak akan ditanda Vt bagi aspek verbal, iaitu salah satu dari tiga komponen GCS selain 'motor response' dan 'eye opening'.

Rambo masih muda, berusia lebih kurang 30 tahun. Mungkin kekuatan badannya sebelum itu normal. Namun nikmat itu hilang apabila dia mendapat penyakit GBS (Guillain Barre syndrome) yang menyerang peripheral nervous system. Rambo kehilangan kekuatan tangan dan kakinya (lumpuh).

Aku tinggalkan Rambo hari itu seperti biasa. Jumpa esok, Rambo.

-----------------------------------------------------

5 April 2017
8.30 pagi

"Girl, mana patient bed 4 tu?" 

Dr Ram bertanya kepada doktor pelatih yang sedang mengambil darah dari seorang lagi pesakit. Doktor itu yang bertugas on call malam tadi dan tahu situasi di wad. Dr Syu, rendah orangnya, dengan face mask selalu di muka.

"Dah LO (last office)." Dr Syu memaklumkan.

Aku baru sedar katil Rambo kosong. Tiada lagi Rambo yang berjuang dari sehari ke sehari untuk bertahan sehari lagi. 

"Bila?"

"Baru pagi tadi. Jam 6 pagi." Tersentak.

"What happened?" Dr Ram ingin kepastian.

"Tak tahu. Saya ada di wad lain. Staff nurse maklumkan patient asystole."

Begitulah cerita akhir hidup Rambo. Perginya senyap tanpa disedari. Tiada suara untuk menjerit bahawa dia dalam kesakitan seperti pesakit lain yang menjerit-jerit dalam wad. Satu kejutan bagi aku. Kepergian kali pertama di wad itu, walaupun tidak di depan mata aku. Sudah lama dia berjuang, biarlah dia berehat. Tenanglah Rambo, tenanglah di sana.

-tamat bahagian dua-



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif