Welcome To My Life...

Sunday, June 4, 2017

Juara Lagi #12

Assalamualaikum.

3 Jun 2017, Cardiff.

Real Madrid 4-1 Juventus


Begitulah berakhirnya musim 2016/2017 untuk bola sepak Eropah dengan tamatnya perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan yang sangat dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak dunia ini berakhir dengan kemenangan bergaya untuk skuad bimbingan Zinedine Zidane.

Selaku juara bertahan, Real Madrid tampil dalam aksi final untuk kali ketiga dalam tempoh empat tahun, dan kali kedua berturut-turut selepas muncul juara 2016. Juventus pula beraksi cemerlang sepanjang kempen musim ini untuk menghalang Madrid mempertahankan kejuaraan.

Babak pertama seimbang. Cristiano Ronaldo yang juga penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah sepanjang zaman meledak gol pertama apabila percubaannya tertampan pemain lawan untuk menewaskan penjaga gawang legenda, Gianluigi Buffon. Namun, tujuh minit berselang, gol penyamaan Juventus tiba apabila sepakan gunting Mario Mandzukic melambung melepasi capaian Keylor Navas. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Real Madrid lebih kemas dan garang. Hasilnya, rembatan kencang jarak jauh Casemiro meletakkan Madrid sekali lagi di depan. Malang sekali buat Buffon apabila rembatan Casemiro juga terbias pemain Juve, menyukarkan Buffon untuk menepis bola keluar. 

Belum sempat pemain Juventus memulihkan moral, satu lagi gol Real Madrid menyentak terus semangat mereka. Satu hantaran silang Luka Modric dari sebelah kanan disambar Cristiano Ronaldo untuk gol kedua peribadinya malam ini. Ronaldo begitu tajam, berada di antara dua orang pertahanan sebelum menewaskan Buffon.

Real Madrid selesa dengan kelebihan dua gol. Juventus memasukkan Juan Cuadrado untuk menghidupkan peluang. Cuadrado menerima kad kuning pertama apabila mengasari Cristiano Ronaldo dari belakang. Satu kesilapan yang amat sia-sia kerana ia sangat tidak perlu, jauh dari pintu gol. 

Kemudian berlaku satu insiden yang aneh. Sergio Ramos berpura-pura dikasari Cuadrado ketika situasi balingan bola ke dalam. Pengadil yang terpedaya terus melayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah sekali gus menunjukkan jalan keluar padang kepada Cuadrado yang baru saja dimasukkan. Amat hina sekali penjaga garisan gagal menilai insiden itu yang berlaku tepat di depan matanya. Lakonan Ramos selaku kapten Real Madrid amat menjijikkan kerana dia terus bangun selepas Cuadrado keluar.

Menuju akhir perlawanan, Real Madrid sempat menambah satu lagi gol untuk menambah derita Juventus dan Buffon apabila Marcelo memecah masuk dari sayap kiri sebelum menolak bola untuk disudahkan oleh pemain gantian, Marco Asensio.

Tamat perlawanan, ada dua nama yang begitu gah. Zinedine Zidane dengan karier gemilang selaku pemain kini meneruskan sentuhan 'Midas'nya selaku pengurus pasukan. Ketika dia mengambil alih Real Madrid musim lepas, dia membawa Real Madrid muncul juara Liga Juara-Juara Eropah, kemudiannya Piala Super UEFA dan seterusnya kejuaraan kelab dunia. Kejuaraan double La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini menjadikan koleksi Zidane sebagai pengurus sebanyak lima trofi.

CR7 (Cristiano Ronaldo) pula sudah hampir pasti dalam laluan merangkul anugerah pemain terbaik dunia (Ballon D'Or) buat kali kelima. Final malam ini adalah penampilan kali kelima bagi Ronaldo (dua bersama Manchester United dan tiga bersama Real Madrid). Kemenangan malam ini pula bermakna kejuaraan keempat untuk Ronaldo (satu bersama Manchester United). Ronaldo juga menjadi pemain pertama di planet Bumi yang meledak dalam tiga aksi final (2014, 2016, 2017).


Real Madrid menjadi pasukan pertama memenangi Liga Juara-Juara Eropah dua musim berturut-turut sejak AC Milan melakukannya pada tahun 1989 dan 1990. Real Madrid juga kini telah memenangi final Liga Juara-Juara Eropah tiga kali dalam empat tahun terakhir (dua kali mengalahkan Atletico Madrid). Real Madrid menunggu dua belas tahun (kali terakhir pada tahun 2002) untuk mendapat kejuaraan Eropah kali ke-10 (La Decima) yang dirangkul pada tahun 2014, tapi sejak itu mereka tidak menoleh ke belakang lagi, memperoleh kejuaraan ke-11 dan sekarang yang ke-12.

Mampukah Real Madrid menjulang kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara Eropah musim depan?



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif