Welcome To My Life...

Thursday, March 18, 2021

Lengkap Sudah

Assalamualaikum.

Sempurna sudah lapan pasukan yang membentuk pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021. Awal pagi tadi, Bayern Munich dan Chelsea menjadi dua pasukan terakhir yang mengesahkan tiket mereka. Selangkah lebih dekat untuk merebut trofi keagungan bola sepak Eropah.

----------

BAYERN MUNICH 2-1 LAZIO
(agregat 6-2)

Satu lagi kemenangan, dan jurang semakin besar.
 
Sepakan penalti penyerang sensasi, Robert Lewandowski, meletakkan kedudukan Bayern semakin tidak dapat dicabar. Gol kedua daripada Eric Maxim Choupo-Moting menamatkan terus impian Lazio. 
 
Marco Parolo meledak gol sagu hati untuk Lazio. Tetapi dalam kedua-dua perlawanan, pasukan Itali itu tidak mampu menyaingi juara bertahan yang akan terus dengan misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan. 

-------

CHELSEA 2-0 ATLETICO MADRID
(agregat 3-0)

Seperti juga Bayern, Chelsea mencatat dua kemenangan sempurna dalam pusingan enam belas terbaik ini. Ternyata Chelsea di bawah bimbingan pengurus Thomas Tuchel jauh berbeza berbanding ketika dilatih oleh Frank Lampard. Tuchel mengekalkan rekod tanpa kalah terpanjang untuk pengurus baru Chelsea yang kini sudah mencapai 13 perlawanan. 9 kemenangan dan 4 kali seri. Malah lebih menakjubkan, Chelsea tidak dibolosi (clean sheet) dalam 11 daripada 13 perlawanan itu. Memang gila!

Hakim Ziyech mengukuhkan kedudukan agregat Chelsea dengan gol dalam separuh masa pertama. Kad merah yang dilayangkan kepada Stefan Savic di hujung permainan tidak membantu cubaan Atletico Madrid untuk mencipta kebangkitan.

Dua gol yang diperlukan Atletico tidak berjaya dicari. Chelsea pula yang menjaringkan satu lagi gol menerusi Emerson sebelum perlawanan tamat.

----------

Tiga pasukan dari England, dua pasukan dari Jerman. Dan masing-masing satu pasukan dari Portugal, Perancis dan Sepanyol.

Empat perlawanan dan laluan ke final akan ditentukan dalam majlis undian nanti. Hebat juga nama-nama yang akan merebut tempat ke separuh akhir. Jika disusun ranking lapan pasukan ini, Porto mungkin berada di tangga terakhir.

Tiada lagi sekatan untuk dua kelab dari persatuan/negara yang sama untuk bertembung. Jadi kemungkinan Manchester City, Liverpool dan Chelsea bertemu sesama sendiri itu ada. 

Pasukan manakah antara gergasi ini semua yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan berprestij ini? Sama-sama kita nantikan. Pertembungan suku akhir yang paling saya nantikan? Manchester City vs Bayern Munich! Ibarat perlawanan akhir.

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif