Welcome To My Life...

Thursday, March 11, 2021

Liverpool Mara, Messi Tersingkir

Assalamualaikum.

Empat perlawanan pusingan enam belas terbaik Liga Juara-Juara Eropah sudah berakhir, berbaki empat yang akan berlangsung minggu depan. Dua lagi perlawanan berlangsung awal pagi tadi.

----------

LIVERPOOL 2-0 LEIPZIG
(agregat 4-0)

Ternyata kelab Jerman yang bertandang ke England ini bukanlah lawan yang setara. Walaupun Liverpool sedang beraksi buruk dalam saingan liga domestik dan sudah tewas enam perlawanan liga berturut-turut di Anfield, Leipzig gagal mengambil kesempatan. Malah mereka tewas kedua-dua perlawanan timbal balas dengan skor akhir yang sama.

Mengejutkan apabila melihat Leipzig mendominasi penguasaan bola sebanyak 60% secara keseluruhan menentang pasukan bimbingan Jurgen Klopp yang biasanya menguasai perlawanan. Liverpool juga terpaksa menanti lebih sejam sebelum mendapat jaringan.

Dua jaringan dalam tempoh masa empat minit oleh dua bintang Islam terkenal, Mohamed Salah dan Sadio Mane cukup untuk memberikan kemenangan agregat selesa untuk Liverpool. 

Mudah kali ini, tapi suku akhir belum tentu lagi.

-------

PARIS SAINT-GERMAIN 1-1 BARCELONA
(agregat 5-2)

Tiada La Remontada kedua untuk Barcelona.

Selepas dimalukan dulu, PSG mengambil pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Walaupun hanya mampu seri, kemenangan selesa di Sepanyol sudah cukup untuk melayakkan PSG ke suku akhir.

Kylian Mbappe sekali lagi menjadi pemusnah. Ledakan penalti Mbappe meletakkan PSG mendahului agregat selesa 5-1. Gol balas Lionel Messi enam minit kemudian sekadar mengecilkan jurang. Messi juga gagal menyempurnakan sepakan penalti di masa kecederaan babak pertama.

Messi tersingkir juga, bermakna ini kali pertama sejak musim 2004/2005 di mana Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sama-sama tidak akan beraksi di suku akhir. 17 tahun yang panjang.

----------

Empat pasukan telah layak: Dortmund (Jerman), Porto (Portugal), Liverpool (England) dan PSG (Perancis)

Empat lagi pasukan akan diketahui minggu depan:
 
Manchester City vs Borussia Monchengladbach
Real Madrid vs Atalanta
Bayern Munich vs Lazio
Chelsea vs Atletico Madrid
 
Ciao!




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif