Welcome To My Life...

Tuesday, June 28, 2016

Euro 2016: Pusingan Kedua #3

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-16.

"Jerman Hebat"

JERMAN 3-0 SLOVAKIA
Juara bertahan Piala Dunia membelasah Slovakia untuk mara bergaya ke suku akhir. Slovakia tiada jawapan menangani kehebatan Jerman. Berpunca dari sepakan sudut Toni Kroos, pertahanan mengeluarkan bola tetapi singgah di kaki Jerome Boateng yang melakukan voli dari luar kotak penalti. Jerman menambah gol apabila Julian Draxler membawa bola dari sayap kiri ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola kepada Mario Gomez untuk penyudah dari jarak enam ela. Satu lagi sepakan penjuru Kroos menghasilkan gol ketiga. Draxler tidak dikawal melakukan voli dari jarak dekat untuk kemenangan selesa.

"Belgium Mengaum"

HUNGARY 0-4 BELGIUM
Belgium garang membenam cabaran pemenang kumpulan F. Sepakan percuma Kevin De Bruyne ditanduk kencang oleh Toby Alderweireld untuk gol pertama Belgium. Satu lagi sepakan percuma De Bruyne di depan kotak penalti ditepis penjaga gol dan terkena palang. Belgium terpaksa menanti sehingga pemain gantian yang baru dimasukkan, Michy Batshuayi, tidak dikawal dalam kotak enam ela untuk menyudahkan hantaran silang Eden Hazard dari sebelah kiri. Hazard sendiri meledak seminit kemudian menerusi serangan kilat, membawa bola dari kiri ke tengah dan merembat dari luar kotak penalti. Satu lagi serangan balas pantas di minit terakhir perlawanan menyaksikan seorang lagi pemain gantian, Yannick Carrasco, menerima lorongan Radja Nainggolan sebelum tenang membuat penyudah kaki kiri.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif