Welcome To My Life...

Monday, June 13, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #3

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ketiga.

KUMPULAN C

"Kemenangan Sulung"

POLAND 1-0 IRELAND UTARA
Poland berjaya mengatasi Ireland Utara untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya. Jaringan tunggal Arkadiusz Milik sudah cukup untuk Poland. Ireland Utara berdepan misi sukar untuk mencuri mata dari dua perlawanan selepas ini. Kejayaan ini adalah kemenangan sulung Poland dalam kejohanan Euro ketika taktik Ireland Utara bermain secara bertahan untuk mengelak kekalahan hanya memakan diri. Milik mendapat hantaran silang dari sayap kanan di awal babak kedua dan penyudah leretnya dengan kaki kiri menewaskan penjaga gol lawan.

"Dua Tanpa Balas"

JERMAN 2-0 UKRAINE
Jerman di ranking keempat dunia terlalu kuat untuk Ukraine. Meskipun Ukraine juga mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol, Jerman membuktikan kehebatan dengan kemenangan selesa tanpa dibolosi. Hasil satu sepakan percuma, Shkodran Mustafi menanduk kencang. Bastian Schweinsteiger masuk sebagai pemain gantian di hujung separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk berada dalam senarai penjaring. Satu serangan balas pantas menyaksikan Mesut Ozil melakukan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri untuk disempurnakan oleh Schweinsteiger.  

Kedudukan: Jerman 3 mata; Poland 3; Ireland Utara 0; Ukraine 0

KUMPULAN D

"Pique Penyelamat"

SEPANYOL 1-0 REPUBLIK CZECH
Sepanyol di ranking keenam dunia terpaksa menanti sehingga lewat permainan untuk menang tipis menentang lawan di ranking ke-30. Perbezaan kekuatan di atas kertas begitu ketara tetapi Republik Czech berjaya mengekang Sepanyol sepanjang perlawanan. Ketika keadaan begitu memerlukan, Andres Iniesta menerima bola di sayap kiri, Iniesta melakukan hantaran silang ke kawasan di depan penjaga gol dan Gerard Pique pantas bertindak untuk menanduk dari jarak dekat.

Kedudukan: Croatia 3 mata; Sepanyol 3; Republik Czech 0; Turki 0


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif