Welcome To My Life...

Saturday, June 25, 2016

Euro 2016: Peringkat Kumpulan #13

Assalamualaikum.

Euro 2016, hari ke-13.

KUMPULAN F

"Kejutan Iceland"

ICELAND 2-1 AUSTRIA
Kemenangan Iceland (ranking 34 dunia) mengatasi Austria (ranking 10) meletakkan Iceland di tempat kedua, berkongsi mata dengan pemenang kumpulan. Berpunca dari balingan ke dalam oleh Aron Gunnarsson, gol pertama perlawanan dijaringkan oleh Jon Dadi Bodvarsson yang paling pantas bertindak. Sepakan penalti Aleksandar Dragovic untuk Austria terkena tiang dalam separuh masa pertama. Austria berjaya mengikat kedudukan apabila pemain gantian, Alessandro Schopf, menjaringkan gol tunggal mereka dalam edisi 2016 dengan sepakan leret kaki kiri. Satu lagi gol lewat dijaringkan dalam masa kecederaan babak kedua apabila pemain gantian Iceland, Arnor Ingvi Traustason, menyempurnakan hantaran Elmar Bjarnason dalam serangan kilat.

"Kejayaan Hungary"

HUNGARY 3-3 PORTUGAL
Keputusan seri ini bermakna Hungary memenangi kumpulan ketika Portugal seri perlawanan ketiga berturut-turut. Portugal terpaksa mengikat kedudukan tiga kali. Rembatan kencang kaki kiri Zoltan Gera dari luar kotak penalti meletakkan Hungary di depan. Nani menyamakan kedudukan sebelum babak pertama tamat, merembat hantaran Cristiano Ronaldo. Sepakan percuma Balazs Dzsudzsak meletakkan Hungary di depan sekali lagi ketika separuh masa kedua baru bermula, tetapi Ronaldo mengikat kedudukan beberapa minit kemudian, menyempurnakan hantaran silang Joao Mario dari sayap kanan. Dzsudzsak menambah gol kedua peribadi dengan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti. Ronaldo memastikan Portugal layak ke pusingan kedua, menanduk masuk hantaran silang Ricardo Quaresma.

Kedudukan: Hungary 5 mata; Iceland 5; Portugal 3*; Austria 1

KUMPULAN E

"Sweden Tersingkir"

SWEDEN 0-1 BELGIUM
Belgium (ranking kedua dunia) terpaksa mengharapkan gol lewat sebelum layak automatik mengiringi Itali. Berpunca dari sepakan percuma di awal permainan, Marcus Berg hampir meletakkan Sweden di depan tetapi sepakannya ditepis. Romelu Lukaku terlepas peluang keemasan untuk Belgium menerusi serangan balas pantas dalam separuh masa kedua sebelum sepakan percuma Zlatan Ibrahimovic untuk Sweden ditepis penjaga gol. Belgium akhirnya mendapat gol kemenangan apabila Radja Nainggolan melakukan rembatan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran lintang Eden Hazard.

"Itali Tumbang"

ITALI 0-1 REPUBLIK IRELAND
Itali telah sah menjadi pemenang kumpulan sebelum ini bermula. Harapan Itali untuk mengutip mata sempurna musnah apabila Ireland menjaringkan gol di lewat permainan. Itali dan Ireland masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol lebih awal. Peluang terbaik Itali di separuh masa kedua apabila sepakan kaki kanan Lorenzo Insigne dari luar kotak penalti terkena tiang. Gol yang dinanti-nantikan Ireland akhirnya dijaringkan oleh Robbie Brady menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran Wes Hoolahan. Kemenangan ini memastikan Ireland mendapat tempat di pusingan kedua, antara pasukan terbaik di tangga ketiga.   

Kedudukan: Itali 6 mata; Belgium 6; Republik Ireland 4*; Sweden 1


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif