Sunday, May 13, 2018

Tsunami Rakyat

Assalamualaikum.

Benarlah, penulis tersilap membuat ramalan.

Arus ketidakpuasan hati rakyat Malaysia itu sudah terlihat. Penulis menjangka arus yang membentuk itu tidak cukup kuat. Namun ternyata keputusan PRU 14 telah membuktikan, tsunami ini terlalu besar dan terus membadai Barisan Nasional sehingga mereka kehilangan mandat membentuk kerajaan Persekutuan.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi, yang bermakna majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan adalah dengan mendapat sokongan 112 orang ahli. Sesuatu yang kelihatan mustahil sebelum hari mengundi semalam sudah pun menjadi realiti. Benarlah kajian Rafizi Ramli dengan Invoke bahawa Pakatan Harapan akan mendapat sokongan yang cukup untuk membuka lembaran baru sejarah negara.

10 Mei 2018, sejarah tercipta di bumi Malaysia. Buat kali pertama dalam sejarah demokrasi berparlimen, selepas 14 kali pilihan raya umum, dan selepas 61 tahun negara mencapai kemerdekaan, satu gabungan parti politik yang lain dari Barisan Nasional telah berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Secara tidak rasmi, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan kejayaan ini selepas tengah malam sekitar jam 3 pagi. Dan secara rasmi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman keputusan akhir bagi Parlimen ketika hampir jam 5 pagi.


Sejarah lagi buat Malaysia. Tun Dr. Mahathir akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh dan ini adalah kali kedua untuk beliau secara peribadi. Tun M pada usia 93 tahun akan menjadi ketua negara yang tertua di dunia, menggantikan Ratu Elizabeth di UK. Pelantikan rasmi Dato' Seri Wan Azizah bermakna Malaysia akan mendapat Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama dalam sejarah negara.

--------

Ini adalah kali pertama bagi penulis untuk mengundi dalam menentukan masa depan negara. Satu undi demi Malaysia. Penulis bangga untuk menjadi sebahagian dari sejarah yang tercipta. Dan penulis masih tidak percaya untuk menjadi saksi hari yang telah ditunggu-tunggu oleh rakyat sejak sekian lama ditindas.

Ini bukan saja tsunami bandar. Tsunami ini membentuk dari luar bandar, tanpa mengira kaum, telah menghentam pihak kerajaan yang tidak mendengar suara rakyat. Masyarakat Melayu yang sebelum ini memberi taat setia kepada Barisan Nasional terpaksa memberikan 'cuti rehat' kepada mereka demi melihat pentadbiran yang lebih baik. Demi generasi masa depan Malaysia yang tercinta.

Malah tsunami yang menggila di Semenanjung turut sama melanda Borneo. Sabah dan Sarawak yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional berjaya dipecahkan untuk mendapatkan jumlah kerusi Parlimen yang penting.

Rakyat Negeri Sembilan telah 'mengorbankan' bekas Menteri Besar kesayangan mereka, Tok Mat, demi merealisasikan kemenangan ini. Masyarakat Melayu telah 'mengorbankan' taat setia mereka kepada jasa UMNO. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk menghukum kegagalan kerajaan lalu mendengar suara rakyat. Orang Melayu bukan mengkhianati Tun M, mereka tidak menolak UMNO. Mereka menolak kleptokrasi pemimpin atasan, mereka menolak penipuan dan sikap angkuh terhadap rakyat.

Rakyat telah beri 'cuti rehat' kepada Barisan Nasional. Mereka ingin lihat kemampuan Pakatan Harapan mentadbir negara. Betapa hebat faktor 'Tun' dalam memberi kemenangan kepada gabungan empat parti ini. Sebagai rekod, Tun Dr. Mahathir tidak pernah tewas ketika mengetuai pakatannya dalam pilihan raya umum. Malah sepanjang menjadi Perdana Menteri ke-4 dulu, Barisan Nasional yang dipimpin Tun Dr. Mahathir tidak pernah hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Itulah bisa pengaruh 'Tun' yang membawa tsunami Melayu yang mengorbankan taat setia kepada UMNO untuk memberikan kemenangan hampir mustahil kepada Pakatan Harapan.

--------

Siri Pasca PRU14 akan diteruskan dengan:

Siri 1- Rumusan PRU14
Apa pengakhiran pilihan raya paling panjang dan mendebarkan?

Siri 2- Parlimen 2018
Di mana BN tewas sehingga hilang kerajaan Persekutuan?

Siri 3- DUN 2018
Bagaimana terbentuk kerajaan negeri dan siapa Menteri Besar atau Ketua Menteri baru?

Semuanya akan dikupas lebih terperinci dalam siri yang berikutnya. Rasa lain pulak jadi penyokong kerajaan, sebab penulis sudah menyokong reformasi sejak penulis kenal siapa Anwar Ibrahim. Penulis sudah terbiasa menjadi penyokong pembangkang. Nampaknya perlu menyesuaikan diri.

Tahniah rakyat Malaysia. #MalaysiaTelahMemilih
#KitaTelahMenang



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif