Welcome To My Life...

Tuesday, May 15, 2018

Lima Utama

Assalamualaikum.

Selepas membentuk kerajaan persekutuan yang baru di bawah gabungan yang baru (buat kali pertama gabungan selain Barisan Nasional), Perdana Menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berhenti rehat walaupun memberikan cuti umum pada hari Khamis, Jumaat, dan Ahad. 

Perdana Menteri telah menamakan 10 portfolio kementerian teras yang perlu diisi segera untuk membentuk kabinet awal bagi memulakan tugas. Namun, pada hari Sabtu (12 Mei), Perdana Menteri hanya menamakan tiga menteri paling kanan dalam tiga kementerian paling penting. 

Selepas berbincang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Perdana Menteri mengumumkan tiga portfolio utama selain beliau dan Timbalan Perdana Menteri. Kesemua empat yang dilantik adalah presiden bagi setiap parti komponen yang membentuk Pakatan Harapan, kecuali DAP (setiausaha agung). Lim Guan Eng juga ialah anggota Majlis Presiden sebagai timbalan presiden. 

1. Perdana Menteri: Tun Dr. Mahathir Mohamad (BERSATU - Langkawi)
2. Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Pandan)
3. Menteri Dalam Negeri: Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU - Pagoh)
4. Menteri Pendidikan: Dr. Maszlee Malik (BERSATU - Simpang Renggam)
5. Menteri Pembangunan Luar Bandar: Rina Harun (BERSATU - Titiwangsa)
6. Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Pandan)
7. Menteri Hal Ehwal Ekonomi: Dato' Seri Mohamed Azmin Ali (PKR - Gombak)
8. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Datuk Zuraida Kamaruddin (PKR - Ampang)
9. Menteri Kewangan: Lim Guan Eng (DAP - Bagan)
10. Menteri Pengangkutan: Anthony Loke (DAP - Seremban)
11. Menteri Komunikasi dan Multimedia: Gobind Singh Deo (DAP - Puchong)
12. Menteri Tenaga Manusia: M. Kulasegaran (DAP - Ipoh Barat)
13. Menteri Pertahanan: Mohamad Sabu (AMANAH - Kota Raja)
14. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani: Salahuddin Ayub (AMANAH - Pulai)
15. Menteri Kesihatan: Dr. Dzulkefly Ahmad (AMANAH - Kuala Selangor)

*kemas kini selepas sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (17 Mei 2018)
-13 menteri akan mengangkat sumpah pada hari Isnin (21 Mei) jika pihak Istana Negara setuju.
-PM akan memegang portfolio Menteri Pelajaran.
-TPM akan memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.
-Hanya satu kementerian yang menguruskan hal pelajaran.
-Baki lapan posisi Kabinet teras akan dibahagikan sama rata antara semua parti Pakatan Harapan, dua untuk setiap parti.

*kemas kini selepas siaran akhbar Perdana Menteri (18 Mei 2018)
-14 ahli Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah jawatan pada hari Isnin (21 Mei), jam 11.30 pagi di Istana Negara.
-PM tidak memegang portfolio lain kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan.
-Portfolio Menteri Pendidikan digantikan oleh Dr. Maszlee Malik.
-Tiada halangan untuk TPM yang kekal memegang dua portfolio.
-9 nama ahli Jemaah Menteri ditambah untuk membentuk 13 kementerian awal.
-Pecahan menteri mengikut parti komponen:
  BERSATU -- 4 orang (termasuk Perdana Menteri)
  PKR -- 3 orang (termasuk Timbalan Perdana Menteri)
  DAP -- 4 orang
  AMANAH -- 3 orang



(kemas kini 18 Mei 2018)




Selain membentuk lima menteri utama, Perdana Menteri juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat (Council of Elders) kerana Pakatan Harapan baru pertama kali menjadi kerajaan di peringkat persekutuan dan kurang berpengalaman. 

Majlis Penasihat ini akan membantu Perdana Menteri membentuk kabinet baru selain membantu tugas Perdana Menteri merancang semula ekonomi negara. Kelima-lima tokoh ini ialah nama besar dalam bidang ekonomi. 

1. Tun Daim Zainuddin (80 tahun)
2. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (71 tahun)
3. Tan Sri Hassan Marican (66 tahun)
4. Tan Sri Robert Kuok (95 tahun)
5. Profesor Jomo Kwame Sundaram (66 tahun)

Berlaku sedikit kekecohan selepas Perdana Menteri menamakan kabinet awal ini apabila Rafizi Ramli membuat kenyataan di media sosial (mewakili PKR) menyatakan kekecewaan mereka kerana PKR tidak dilibatkan dalam perbincangan tersebut. Rafizi dihentam teruk oleh para penyokong Perdana Menteri dan juga Pakatan Harapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri. Menteri Besar Selangor dari PKR, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, menyatakan PKR hanya terkilan kerana DSAI tidak dilibatkan walaupun berstatus ketua umum (de facto leader) untuk Pakatan Harapan.

Rafizi dalam kenyataan susulan pula menegaskan beliau tidak mahu kerajaan persekutuan bebas melakukan apa saja tanpa ditegur. Katanya, beliau berulang kali menyatakan sepanjang kempen pilihan raya, "saya tak bimbang PH akan menang, saya bimbang bila menang itu tidak membebaskan minda rakyat". Rafizi juga bertegas, dia sudah menolak sebarang jawatan dalam Jemaah Menteri. Beliau mahu terus bebas untuk mengkritik prestasi kerajaan.

Perdana Menteri pada hari yang sama telah menemui DSAI untuk berbincang tentang pembentukan Jemaah Menteri dan menamatkan kritikan dari pihak PKR.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif