Welcome To My Life...

Monday, October 7, 2013

Januzaj Wira


Entri bola sepak.

Who needs Cristiano Ronaldo if they have Adnan Januzaj?

Malam tadi, Manchester United berkunjung ke Sunderland selepas dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris. Satu lagi kekalahan akan meletakkan tekanan besar terhadap pengurus baru, David Moyes. Menang atau berdepan kemungkinan dipecat.
Sunderland 1-2 Manchester United

Moyes telah beberapa kali menggunakan Januzaj sebagai pemain gantian. Selepas menambah masa permainan Januzaj dari perlawanan ke perlawanan, Moyes akhirnya menyenaraikan Januzaj dalam kesebelasan utama buat kali pertama. Langkah ini menimbulkan persoalan sama ada pemain berpotensi berusia 18 tahun ini mampu bersaing.

David De Gea terus diberi kepercayaan untuk mengawal gawang di belakang kubu pertahanan dibarisi Rafael - Phil Jones - Nemanja Vidic - Patrice Evra. Dengan formasi 4-4-2, Nani - Michael Carrick - Tom Cleverley - Adnan Januzaj membentuk jentera tengah di belakang gandingan serangan berkembar Wayne Rooney dan Robin Van Persie.

Aku kira pasukan ini memuaskan hati. Vidic perlu bergandingan dengan seorang pemain muda di posisi bek tengah dan pemilihan Jones sangat sesuai. Ketiadaan Marouane Fellaini membenarkan Cleverley beraksi bersama Carrick. Aku gembira apabila Moyes memilih Nani dan Januzaj untuk mengancam dari bahagian sayap.


A


Tetapi kelemahan pertahanan United terserlah jua. Lima minit permainan baru bermula, Vidic melakukan kesilapan yang sama buat kali kedua selepas di Ukraine menentang Shakhtar Donetsk. Cubaan mengeluarkan bola yang lemah disambar Taison di Ukraine dan kali ini Vidic dihukum oleh Craig Gardner. 

De Gea telah menyelamatkan United daripada dimalukan beberapa kali musim ini. Dan semalam De Gea cemerlang lagi. Dengan United ketinggalan 1-0 dan gol kedua akan melemahkan semangat pemain, tandukan padu Emanuele Giaccherini kelihatan menuju ke dalam gawang sebelum De Gea melakukan aksi refleks, menolak bola dengan sebelah tangan. Menakjubkan.


Adnan Januzaj baru berusia 18 tahun. Semalam, dia adalah wira Manchester United. Memang tak dapat dinafikan betapa Januzaj membawa ancaman besar di kedua-dua sayap. Kombinasi skil yang mantap, larian yang kencang, dan keberanian yang luar biasa, Januzaj menyerlah. Untuk gol pertama, Januzaj menggelecek sebelum melebarkan bola ke sayap kiri untuk Evra melakukan hantaran lintang. Dan Januzaj meneruskan lariannya untuk merembat dengan kaki kanan. Hanya satu sentuhan dan jaring bergegar.


Gol kedua pula mempersembahkan teknik semula jadi yang dimilikinya. Nani melakukan hantaran silang dari sayap kanan yang ditanduk keluar oleh John O'Shea. Bola itu jatuh tepat di depan Januzaj dan dia tidak memerlukan arahan untuk meledak dari kiri ke kanan.

Bangkit dari ketinggalan, Moyes mengeluarkan Januzaj dan Nani. Dua ancaman terbesar United digantikan dengan Danny Welbeck dan Antonio Valencia. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran Moyes. Tapi langkah ini sangat merisaukan kerana United belum selesa. Satu gol untuk Sunderland dan keputusan seri akan membuatkan United terus jauh ketinggalan dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

Januzaj memanfaatkan peluang yang diberikan dengan membalas kepercayaan Moyes. Januzaj telah mengukuhnya dalam perancangan pengurus. Masih banyak masa yang dimiliki Januzaj untuk memperbaiki permainan. Dia hanya akan bertambah hebat dari masa ke masa dengan keberanian Moyes mempertaruhkan pemain muda berbakat.

Dengan pengalaman, Januzaj akan menjadi Cristiano Ronaldo terbaru yang digilap di Manchester United. Liga Perdana Inggeris hanya akan bersambung dua minggu lagi. Southampton akan menjadi saksi kecemerlangan pemain muda Belgium ini, seperti Sunderland yang menjadi mangsa pertama Januzaj.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif