Welcome To My Life...

Friday, October 11, 2013

Frenzy Friday


What a Friday. Penghulu segala hari yang sangat memenatkan hari ni.

Dari lapan pagi sampai lima petang. Ini adalah kali pertama aku mengalami situasi ni sejak menjadi pelajar perubatan di IMU. Kejutan budaya. Biasanya kelas hanya pada waktu pagi atau petang. Atau ada masa lapang yang memberi aku ruang bernafas.

Sepatutnya kuliah hari ini bermula jam 9 pagi. Tetapi semalam baru dimaklumkan ada kelas ganti untuk satu kuliah yang tertunda kerana pensyarah mengalami masalah kesihatan. Maka, jam 8 pagi lagi aku sudah berada di dewan kuliah.

Selepas tamat kuliah 'Molecular Genetics', otak aku didera pula dengan kuliah seterusnya, 'Haemoglobin'. Selepas itu, dengan persediaan tak lengkap, aku ke sesi Problem-Based Learning (PBL). Masa untuk bersedia sejak seminggu lepas. Cuma aku yang suka bertangguh. Inilah akibatnya. Malam semalam dan lepas Subuh hari ni, aku cuba mencari sedikit maklumat supaya aku tahu sesuatu.

Dengan hanya 10 minit memisahkan tamat kuliah dengan mulanya PBL, aku tidak mempunyai cukup masa untuk bersedia. Lalu aku gagahkan jua diri ke PBL. Aku hanya memerhati saja diskusi berlangsung dan hanya mencelah sesekali apabila perlu. PBL tamat pada jam 11.30 pagi.

Sejam itu aku gunakan untuk melakukan penterjemahan skrip teater ke bahasa Inggeris dan membantu rakan serumah untuk menyediakan makan tengah hari. Selepas makan, aku bergerak pula ke Sungai Besi menaiki LRT. Diringkaskan cerita, aku pulang selepas membeli fries untuk digoreng apabila kelaparan.

Pagi tadi, aku telah berjanji dengan mentor aku untuk bertemu pada jam 2.30 petang. Jam 2.10 petang, aku masih di dalam LRT. Sebaik tiba di stesen Sri Petaling, aku bergegas pulang ke rumah. Peluh masih membasahi badan. Aku menukar pakaian, menyarung baju kemeja dan segera menuju IMU. Jam di tangan, 2.25 petang. Crazy.

Aku ada sesi praktikal di makmal pada jam 2.45 petang. Perkara itu tidak aku sedari ketika membuat temu janji dengan mentor. Maka aku teruskan jua perancangan kerana mentee perlu bertemu mentor sekurang-kurangnya sekali dalam satu semester. Aku bertemu dengan rakan aku, Niro, yang juga mentee kepada mentor yang sama dan kami menuju ke biliknya.

Sesi perkenalan itu hanya aku sertai tak sampai 10 minit sebelum aku berkejar ke makmal. Mentor aku bernama Dr. Verna. Seorang doktor perubatan. Dia tidak banyak mengajar dan tugasnya lebih banyak di klinik IMU. Dia akan menjadi mentor aku selama lima semester. Dia memaklumkan bahawa dia boleh ditemui pada hari Isnin, Rabu, dan Khamis. Beritahu saja kepada jururawat. Sebelum aku keluar, dia ada bertanyakan soalan tentang keluarga yang tak sempat aku jawab sepenuhnya.

Aku terdengar dia bertanya kepada Niro, "Is he a shy boy?". Oh, tidak. Soalan itu akan terjawab dalam pertemuan yang akan datang. Ini hanya pertemuan pertama dan ya, saya malu dengan orang yang baru ditemui.

Destinasi seterusnya, makmal. Hari ini aku sukarela lagi untuk bagi jari aku untuk dibiarkan darah menitis. Ya, ini bukan kali pertama. Dua tiga minggu lepas pun main dengan darah. Masa tu nak belajar osmosis. Kali ni nak tengok apa yang terkandung dalam darah. Menarik jugak tengok darah sendiri. Tengok sel darah putih. Nak kenal apa tu neutrophil, basophil, monocyte, dan lymphocyte.

Hari ini sangat panjang. Alhamdulillah, aku berjaya menyelamatkan diri dalam satu hari Jumaat yang sangat memenatkan.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif