Welcome To My Life...

Wednesday, October 30, 2013

Tiga


Entri bola sepak.

Three wins in a row. Lama dah United tak menang tiga perlawanan berturut-turut sejak David Moyes jadi pengurus.

Manchester United 4-0 Norwich City

Ya, benar. Perlawanan awal pagi tadi cuma Capital One Cup. Kejohanan yang tak berapa penting. Lawan yang dibelasah pula hanyalah kelab bawahan Liga Perdana Inggeris. Tapi kemenangan ini cukup penting untuk suntikan moral dan meningkatkan keyakinan para pemain United. Dan kemenangan besar ini cukup menggembirakan.

Moyes menukar hampir keseluruhan pasukan yang menewaskan Stoke 3-2 dalam perlawanan liga hujung minggu lepas tetapi pasukan kedua ini tetap kuat. Beberapa pemain simpanan yang memerlukan masa perlawanan diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

Anders Lindegaard menggantikan David De Gea di gawang gol. Nemanja Vidic berpasangan dengan Rio Ferdinand dengan diapit Rafael dan Alexander Buttner membentuk benteng pertahanan. Jentera tengah dibentuk oleh Tom Cleverley dan Phil Jones. Ashley Young dan Wilfried Zaha mengapit di posisi sayap. Adnan Januzaj membantu Javier Hernandez di bahagian serangan.

Formasi ini menarik kerana Januzaj yang biasanya bermain di bahagian sayap diberikan peranan baru sebagai pemain tengah menyerang. Zaha pula akhirnya diberikan peluang selepas sekian lama menanti. Peluang yang diberikan tidak disia-siakan. Dua pemain muda ini tidak mengecewakan.


Januzaj sentiasa mengancam dengan pergerakannya yang lincah. Dia dijatuhkan dalam kotak penalti untuk Chicharito menjaringkan gol pertama United. Gol kedua United juga dijaringkan oleh Chicharito yang menanduk hantaran lintang Buttner yang menggantikan Patrice Evra di posisi bek kiri. Tandukan pertamanya diselamatkan tetapi Chicharito pantas melakukan tandukan susulan untuk gol ketiga dari dua perlawanan.

Chicharito menambah dilema buat Moyes kerana dia hanyalah penyerang di ranking ketiga di belakang Robin van Persie dan Wayne Rooney yang berada di bangku simpanan. United terpaksa menanti sehingga lewat permainan untuk memastikan keputusan ini selamat apabila Jones melakukan voli cantik. 

Chicharito - Buttner - Januzaj

Fabio yang menggantikan Januzaj menjaringkan gol keempat selepas beraksi tak sampai dua minit di atas padang. Hantaran cantik dari seorang lagi pemain gantian, Rooney, dari jarak jauh dikawal dengan kemas oleh Fabio yang menewaskan penjaga gol Norwich dalam situasi satu lawan satu.


Pemain muda ini akhirnya diberikan peluang oleh Moyes. Pemain jersi nombor 29 yang pakar di bahagian sayap. Berdasarkan aksinya awal pagi tadi, dia layak mendapat peluang seterusnya. Zaha begitu pantas dan membentuk kombinasi mantap dengan Januzaj. Hantaran lintangnya juga berbahaya. Zaha jauh lebih baik berbanding Young dan Antonio Valencia.

Selepas Real Sociedad, Stoke dan Norwich, United pasti berhajat untuk meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan liga seterusnya hujung minggu ini. Kesebelasan utama United akan kembali. Januzaj pasti mengekalkan tempatnya dalam pasukan. Fulham akan menjadi mangsa seterusnya.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif