Welcome To My Life...

Saturday, October 5, 2013

So Close, So Far


So close, yet so far.

Aku begitu hampir, tetapi tetap tidak berjaya. Kisahnya agak rumit. Tetapi penghujungnya duka. Biarlah aku yang mengalah. Kerna aku masih punya peluang.

Khamis,  3 Oktober 2013. Pemilihan pemain untuk sukan futsal IMU Cup 2013. Sebelum itu, kapten futsal bagi rumah Taurus sudah memaklumkan dia tidak akan membuat sesi pemilihan kerana dia agak sibuk dengan posting di hospital. Katanya, dia telah membentuk pasukan sendiri.

Tetapi, pembantunya telah mengadakan sesi pemilihan. Dan aku dengan semangat berkobar-kobar turut serta kerana tahun lepas, Taurus adalah naib juara. Ini adalah sesi latihan tunggal bagi Taurus ketika pasukan lain telah membuat persiapan jauh lebih awal.

Selepas beraksi pada waktu malam hari Khamis tersebut, aku kira peluang aku sangat tipis kerana lebih ramai pemain yang jauh lebih cergas dan berkualiti. Aku antara junior semester satu yang terlibat dan aku satu-satunya yang berbangsa Melayu. Kapten tidak turut serta pada malam itu membuatkan pembantunya memaklumkan pemain yang terpilih akan diumumkan esok (Jumaat).

Esoknya adalah hari pertandingan. Aku masih berharap walaupun aku tahu peluang untuk mengisi tiga slot sangat sukar. Satu pasukan boleh menghantar maksima lapan orang pemain, tetapi kapten telah mempunyai lima orang pemain utama (termasuk dirinya sendiri). 

Tengah hari itu, sebaik pulang dari solat Jumaat, aku bukak group FB dan mendapat khabar gembira. Alhamdulillah, aku tersenarai.


Tetapi.. Kegembiraan itu tak kekal lama..


Kapten meminta kebenaran aku untuk memberi tempat aku kepada senior yang tidak punya peluang lagi dalam IMU Cup akan datang. Dan aku, dengan berat hati melepaskan tempat aku kerana aku sendiri rasa tak layak. Ramai pemain lebih bagus dalam sesi kelayakan.


Sekurang-kurangnya, pujian kapten ini melegakan aku, sama ada ikhlas ataupun tidak. Walaupun kapten tidak hadir dalam sesi pemilihan, aku telah berlatih bersama dia dalam satu sesi latihan sebelum itu. 

Walaupun tidak bermain, aku turut ke venue untuk memberi sokongan. Apa yang membuatkan aku terharu, kapten dan rakan-rakan lain memohon maaf kerana aku tak dapat bermain kali ini. Sedikit lawak kerana mereka jauh lebih baik.

Aku juga dipanggil untuk bersama pasukan dalam sesi fotografi selepas tamat pertandingan. Mereka memang sangat baik dan sangat menghargai.

Kali ini, Taurus hanya mendapat tempat ketiga. Semua pasukan lain telah membuat persiapan awal. Dengan kualiti yang ada, Taurus tanpa persiapan berjaya mendapat pingat gangsa. I'm proud to be one of them. Or at least, nearly one.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif