Welcome To My Life...

Monday, December 4, 2017

Coco

Assalamualaikum.

Entri ini bukan tentang King Coco yang dah ada anak pun sejak kontroversi dulu. Entri ini untuk mempromosi filem animasi Disney dan Pixar terbaru, Coco. Masih ditayangkan di pawagam.

Rating IMDb: 9/10
Rating penulis: 9.5/10

Filem ini tidak boleh dibandingkan dengan Moana, Zootopia atau Inside Out kerana mesej yang dibawa filem ini berbeza. Mesej yang sangat besar.

----------------------

Sebelum tayangan filem Coco dimulakan, terdapat satu filem pendek Disney yang terpaksa ditonton oleh semua penonton (sudah dimaklumkan semasa pembelian tiket di kaunter). Filem 'Frozen' (yang penulis tidak pernah tonton sebelum ini) untuk musim perayaan Krismas yang akan tiba tak lama lagi. Tentang Olaf yang cuba mencari tradisi keluarga untuk Anna dan Elsa. Menghiburkan dengan lirik yang berirama.

-----------------------

Filem Coco dimulakan dengan penceritaan satu kisah silam di mana seorang ahli muzik telah meninggalkan keluarganya demi mengejar impian. Isterinya yang ditinggalkan (Imelda) telah membina empayar pembuatan kasut yang dijadikan perniagaan keluarga. Imelda telah mengharamkan muzik kerana dianggap sebagai sumpahan yang dapat memusnahkan keluarga. Imelda mempunyai anak perempuan bernama Coco dan cucu bernama Abuelita. Ya, Coco bukanlah hero dalam filem ini (kanak-kanak lelaki), tetapi Coco ialah moyangnya!

Hero filem ini ialah Miguel, kanak-kanak yang meminati muzik walaupun muzik dibenci ahli keluarganya. Miguel sangat menyanjung Ernesto De La Cruz, ahli muzik Mexico yang terkenal. Semasa ingin menyertai satu pertandingan muzik, gitar Miguel telah dipecahkan oleh Abuelita. Miguel cuba mencuri gitar Ernesto dalam satu bangunan tetapi sesuatu yang aneh berlaku kepada Miguel. Dia dapat melihat alam kematian!

Miguel dapat melihat roh pak cik dan mak ciknya kerana Dia de Muertos (Hari Orang Mati) di mana roh orang yang telah mati kembali ke rumah keluarga (kepercayaan masyarakat Mexico). Miguel telah dibawa ke Alam Orang Mati menyeberangi jambatan. Dia telah bertemu Imelda (ibu Coco). Imelda tidak dapat menyeberangi jambatan kerana gambarnya tak berada di rumah keluarganya. Rupa-rupanya, gambar itu telah dibawa oleh Miguel di dalam poket seluar.

Miguel perlu mendapat keberkatan dari keluarganya untuk kembali ke dunia nyata. Imelda bersetuju memberikan keberkatan (melalui daun) dengan syarat Miguel berjanji tidak akan main muzik lagi. Miguel pura-pura bersetuju dan kembali ke dunia realiti. Namun dia mungkir syarat itu dengan berniat untuk terus bertanding dalam pertandingan. Miguel kembali ke depan Imelda sebaik saja menyentuh gitar Ernesto.

Miguel meminta keberkatan dari ahli keluarga lain (mak cik dan pak cik) tapi mereka semua takut kepada Imelda. Miguel lari dari keluarganya dan bertemu Hector, seorang lelaki yang juga tidak dapat menyeberangi jambatan kerana gambarnya tiada di dunia nyata. Imelda telah meminta Pepita, seekor haiwan pembantu roh untuk mengesan bau Miguel. Miguel pula berhasrat mendapatkan keberkatan moyangnya, Ernesto. Dia perlu memenangi pertandingan nyanyian untuk dapat bertemu Ernesto di istana.

Hector yang mengenali Ernesto bersetuju untuk membantu Miguel dengan syarat Miguel meletakkan gambarnya di dunia nyata. Mereka mencari gitar dan Hector menunjukkan kemampuannya bermain muzik dengan gitar Chicarron. Miguel melihat sendiri bagaimana roh Chicarron lenyap (kematian terakhir) kerana sudah tiada yang mengingatinya di dunia nyata. Itu sebabnya Hector mahu gambarnya dibawa pulang oleh Miguel.

Miguel lari kerana tak mahu membantu Hector. Imelda berjaya menjejak Miguel. Imelda menceritakan betapa dia pernah suka bernyanyi bersama suaminya (sebelum ditinggalkan) tapi Imelda mahu membina keluarga selepas kelahiran Coco. Miguel berjaya melarikan diri dari Imelda dan sampai ke istana Ernesto. Miguel berjaya memasuki parti selepas dibantu oleh pemenang pertandingan muzik.

Miguel dapat menemui Ernesto yang bangga kerana dia mempunyai cicit. Ketika Ernesto ingin memberi keberkatan dan menghantar Miguel pulang ke dunia nyata, tiba-tiba Hector muncul (melalui penyamaran). Memang Ernesto mengenali Hector. Terbongkar rahsia Ernesto telah meracuni Hector di hayatnya dulu apabila satu kata-kata Hector dikenali oleh Miguel sebagai dialog filem Ernesto. Dalam filem itu, watak antagonis telah meracun rakannya. Rupa-rupanya, Hector dibunuh kerana cuba untuk lari dari persembahan untuk pulang bertemu keluarga.

Ernesto mencuri buku lirik Hector. Ernesto hanya berkata 'kejayaan tak datang percuma'. Ernesto mengurung Miguel kerana tidak mahu reputasinya tercalar. Hector bertemu Miguel dalam kurungan dan menyatakan hasrat untuk balik bertemu anaknya, Coco.

PLOT TWIST YANG SANGAT HEBAT!

Rupa-rupanya, Miguel telah tersalah sangka selama ini. Moyangnya ialah Hector dan bukan Ernesto. Kepala moyangnya telah dikoyak dari gambar. Lagu 'Remember Me' yang dipopularkan oleh Ernesto sebenarnya dicipta oleh Hector ketika meninggalkan Coco untuk cita-citanya. Ketika dibunuh, Hector sebenarnya ingin pulang kerana rindukan Coco. Ernesto mencuri buku lagu dan juga gitar Hector (yang dilihat oleh Miguel dalam gambar).

Dante (anjing liar) telah mengesan Miguel dan Pepita membantu Miguel dan Hector keluar dari kurungan. Imelda masih marahkan Hector yang sebenarnya cuba balik sebelum dia dibunuh. Roh Hector hampir lenyap kerana Coco yang sudah tua hampir lupa padanya. Tidak ada siapa lagi di dunia yang mengingati Hector. Mereka mengejar Ernesto di konsertnya untuk mendapatkan gambar Hector yang disimpan dalam poket Ernesto. Imelda meminta gambar dari Ernesto dan memanggil Hector sebagai 'love of my life' (cinta sepanjang hayat).

Di atas pentas, Imelda menyanyi sambil Hector bermain gitar, ketika mereka dikejar pengawal keselamatan. Miguel hampir dihantar pulang dengan keberkatan Imelda sambil membawa gambar Hector, tapi disekat oleh Ernesto. Pengakuan Ernesto tentang dosanya dipancarkan ke depan semua penonton konsert. Miguel kemudian berjaya dihantar ke dunia nyata. Miguel pantas mencari Coco dan memainkan lagu Remember Me dengan gitarnya. Coco yang ada masalah ingatan dapat menyanyikan lagu itu bersama. Coco masih ingat tentang Hector. Coco mengeluarkan gambar kepala Hector yang disimpannya.

Rupa-rupanya, surat-surat Hector Rivera untuk anaknya, Coco, ada lirik-lirik lagu yang ditulisnya. Pada tahun berikutnya, roh Hector dapat menyeberang jambatan bersama roh anaknya yang telah meninggal dunia. Mereka kembali ke rumah keluarga pada Dia de Muertos.

Penamat yang indah.

"Remember me, though i have to say goodbye,
Remember me, don't let it make you cry."

 -------------------------------

Satu filem yang indah dan sesuai ditonton seisi keluarga.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif