Welcome To My Life...

Sunday, December 3, 2017

Glorious

Assalamualaikum.

Manchester United terpaksa menahan asakan bertubi-tubi dari meriam Arsenal dan David De Gea menampilkan aksi penjaga gol berkelas dunia dengan menyelamatkan gawangnya dari dibolosi 14 kali. It is a massive victory

Turun menentang Arsenal di gelanggang lawan, Stadium Emirates, ramai yang mempersoalkan kemampuan United kerana Arsenal sedang berada di tahap prestasi terbaik secara menyerang dan bertahan. Untuk rekod, Arsenal mengekalkan rekod kemenangan 100% di Emirates musim ini. 

Jose Mourinho memilih formasi 3-4-3 untuk menangani jentera serangan Arsenal dibarisi Alexandre Lacazette, Alexis Sanchez, Mesut Ozil, dan Aaron Ramsey.

David De Gea | Victor Lindelof; Chris Smalling; Marcos Rojo | Antonio Valencia; Paul Pogba; Nemanja Matic; Ashley Young | Anthony Martial; Romelu Lukaku; Jesse Lingard

Manchester United bermula garang dan mendahului 2-0 seawal minit ke-12 hasil kesilapan pertahanan Arsenal. United merampas bola di kawasan Arsenal dan tolakan Paul Pogba disudahkan oleh rembatan padu Antonio Valencia. 

Gol kedua menyusul kemudian. United merampas bola sekali lagi dan satu sentuhan bijak dari Anthony Martial berjaya melepaskan larian Jesse Lingard yang bijak menyempurnakan peluang terhidang. 


Selepas itu, United terpaksa bertahan apabila Arsenal meningkatkan permainan mereka. Para pemain United berkubu di kawasan sendiri dengan serangan bertali arus cuba membocori gawang. Hanya faktor tuah dan ketangkasan De Gea menjadi penyelamat dengan barisan serangan Arsenal mendapat peluang demi peluang di dalam kotak penalti.



Separuh masa pertama tamat dengan Manchester United mendahului 2-0.

---------------------

Arsenal merapatkan jurang apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid United. Apabila satu bola lambung melepasi barisan terakhir pertahanan United, Aaron Ramsey dengan bijak menahan bola untuk Alexandre Lacazette meledak. Ketika bola itu dilambungkan, Lacazette tidak ofsaid walaupun ketika hantaran terakhir, hanya De Gea di depan Ramsey dan Lacazette. Tiada peluang untuk De Gea menahan rembatan padu dari Lacazette.

Kealpaan benteng Manchester United menyukarkan kerja mereka sendiri. Tugas bertahan lebih mudah dengan kelebihan dua gol tadi. Walaupun masih mendahului 2-1, Arsenal hanya memerlukan satu gol untuk mengikat kedudukan dan mencuri satu mata dari posisi kekalahan. Ibarat dua mata yang terlepas untuk Manchester United.

Satu serangan kilat United memusnahkan peluang Arsenal. Lingard menolak bola kepada Pogba yang mengawal bola dengan baik sebelum melintangkan bola di depan gol untuk Lingard mudah menampan (tap in). Gol kedua peribadi untuk Lingard dalam perlawanan yang sangat penting.


Malang bagi Pogba apabila mendapat kad merah selepas itu. Ketika sedang berlari pada kelajuan tinggi, Pogba terpijak kaki Hector Bellerin. Pengadil yang melihat situasi itu dengan jelas melayangkan kad merah. Ini bermakna Pogba akan digantung tiga perlawanan (straight red card) dan akan terlepas Manchester derby hujung minggu depan. 

Mungkin Jose Mourinho terpaksa mengubah strategi. Namun Pogba juga tidak beraksi dalam tiga perlawanan penting sebelum Arsenal, iaitu ketika menentang Liverpool, Tottenham dan Chelsea. Pogba mengalami kecederaan hamstring ketika itu. Apa pun, Pogba masih boleh bermain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah minggu ini. 

Kad merah ini mungkin menyukarkan United untuk berdepan pendahulu liga, Manchester City. Jika difikirkan secara jangka panjang, Pogba akan mendapat rehat untuk menghadapi tempoh Boxing Day yang sangat sibuk menjelang Krismas dan tahun baru. 

Terima kasih Jesse Lingard. Glory glory Manchester United!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif