Welcome To My Life...

Thursday, January 18, 2018

Bermimpi Lagi

Assalamualaikum.

Kelmarin mimpi kita sudah jadi realiti. Hari ini kita bermimpi lagi.


Lawan skuad bola sepak untuk peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23 sudah diketahui. Malaysia selaku naib juara kumpulan C akan berdepan juara kumpulan D, Korea Selatan, yang menundukkan Australia 3-2 dalam perlawanan terakhir semalam.


Malaysia berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam penampilan pertama di kejohanan ini yang baru memasuki edisi ketiga. Selepas Malaysia menjadi pasukan Asia Tenggara yang layak ke pusingan kalah mati, Vietnam mengikut jejak Malaysia dengan mengiringi Korea Selatan dari kumpulan D. Vietnam akan berdepan juara bertahan, Iraq, yang membelasah Malaysia 4-1 baru-baru ini.

Jika berhasrat untuk mara lebih jauh, pertahanan Malaysia perlu merantai pergerakan Lee Keun Ho. Para pemain Malaysia perlu lebih berani untuk mengawal bola. Bertahan sepanjang permainan bukanlah cara yang baik untuk menang, dan juga tidak bagus untuk kesihatan jantung penyokong di Malaysia.

Jika tiada kecederaan, Datuk Ong Kim Swee boleh menurunkan barisan terkuat seperti ketika mengalahkan Arab Saudi. Kogileswaran perlu dikekalkan sebagai penyerang. Datuk Ong juga perlu mengingatkan para pemainnya untuk menghantar bola dengan lebih kemas. Akhyar Rashid berhempas pulas mengejar hantaran laju tidak masuk akal yang jauh daripadanya. 

Malaysia ada peluang baik. Menewaskan Arab Saudi (naib juara edisi 2014) yang mustahil sudah jadi keajaiban. Korea Selatan tak kebal. Kalau pun kita tak berjaya, biarlah melawan dan berjuang habis-habisan. 

Ayuh kapten Adam dan rakan-rakan, langgar Korea Selatan!

Keyboard off



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif