Welcome To My Life...

Tuesday, January 16, 2018

Sejarah Di Bumi Kunshan

Assalamualaikum.

Phenomenal result, heroic performance.

Hari ini mimpi sudah jadi realiti. Malaysia menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir dalam penampilan pertama di Kejohanan AFC B-23 edisi ketiga. Selain itu, Malaysia juga menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara yang mara ke pusingan kalah mati. 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada skuad bola sepak Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee.


Malaysia 1-4 Iraq
Malaysia 1-1 Jordan

Datuk Ong mengekalkan barisan yang sama ketika menentang Jordan dengan hanya satu perubahan: Kogileswaran menggantikan Jafri Firdaus di bahagian serangan. Malaysia turun dengan 'misi mesti menang' selepas mensia-siakan beberapa peluang ketika menentang Jordan. Berbekalkan satu mata, sebarang keputusan selain menang akan menyingkirkan Malaysia. Arab Saudi dengan dua mata dari dua keputusan seri hanya perlu sekurang-kurangnya keputusan seri untuk layak. 

Haziq Nadzli kekal di gawang. Tiga pertahanan dalam formasi 3-4-3 ini ialah Dominic Tan, Irfan Zakaria, dan kapten Adam Nor Azlin. Matthew Davies dan Syazwan Andik selaku bek sayap. Azam Azih dan Danial Amier mengawal jentera tengah. Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mengapit Kogileswaran di jentera serangan. 


Berdebar jantung melihat aksi para pemain Malaysia yang tidak mahu menang dengan cara mudah. Selepas jaringan tunggal Danial Amier yang berani meledak dalam kotak penalti lawan, Malaysia diserang bertubi-tubi dan terpaksa bertahan sehingga wisel terakhir.

Walaupun sesekali berjaya mengatur serangan, para pemain Malaysia gagal mencipta peluang berbahaya untuk menambah jaringan. Sebaliknya, benteng pertahanan Malaysia dihujani serangan bertali arus dari naib juara edisi 2014. Hanya disiplin dan kesungguhan yang dipersembahkan menjadi kunci kemenangan.


-----------------

Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dan akan mengiringi Iraq ke pusingan suku akhir. Walaupun diundi dalam 'kumpulan maut' dengan Iraq (juara edisi 2014), Arab Saudi (naib juara edisi 2014) dan Jordan (tempat ketiga edisi 2014), Malaysia menafikan segala ramalan dengan persembahan berpasukan yang terpuji. 

Mara jauh dalam penampilan pertama. Siapa pun lawan Malaysia di peringkat suku akhir tidak penting lagi. Malaysia menjadi wakil Asia Tenggara pertama untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik di benua Asia di peringkat umur bawah 23 tahun. Esok Vietnam berpeluang mengiringi Malaysia jika berjaya mengatasi Syria.

Terima kasih Danial Amier. Terima kasih semua pemain Harimau Malaysia. Kami seluruh rakyat Malaysia sangat bangga.

Hari ini kita menang. Hari ini kita merayakan hari bersejarah bola sepak negara. Kita ada mimpi besar untuk bersaing di peringkat dunia. Hari ini mimpi kita jadi realiti. Esok kita bermimpi lagi!

Malaysia boleh!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif