Welcome To My Life...

Saturday, August 20, 2016

Satu Mata Yang Tak Kunjung Tiba


Hampir, sangat hampir. Hanya satu mata yang tidak kunjung tiba.

Pasangan beregu lelaki negara memberikan segala-galanya. Bangkit dari ketinggalan beberapa kali untuk mengharumkan nama Malaysia. Menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pingat emas pertama di Sukan Olimpik, mereka tidak pernah menyerah kalah. Malah, mata akhir berada di tangan dua kali.

Tiada apa yang perlu dimalukan dan dikesalkan. Memulakan kempen Rio 2016 tanpa diletakkan harapan besar, gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menewaskan pasangan beregu Jerman dan USA sebelum mengejutkan beregu Fu Haifeng/Zhang Nan (China) dalam pertarungan tiga set untuk memenangi kumpulan.

Menanti mereka di suku akhir adalah pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong, dari Korea Selatan. Beraksi tanpa tekanan, mereka sekali lagi membuat kejutan dengan kemenangan rubber game untuk mara ke semi final. Kini peluang untuk pingat yang tidak dijangka sebelum Olimpik bermula sudah terhidang di depan mata.

Bukan calang-calang beregu menjadi halangan di separuh akhir. Pasangan nombor lima dunia, Chai Biao dan Hong Wei, menjadi pemisah antara beregu Malaysia dan final yang menjanjikan pingat yang pasti. Semangat juang yang tinggi membawa kemenangan untuk mereka, sekali lagi dengan permainan tiga set.

Tibalah detiknya perlawanan akhir dengan harapan seluruh rakyat Malaysia ditanggung di bahu kerana pasangan beregu campuran tewas kepada beregu Indonesia. Pasangan Fu Haifeng dan Zhang Nan yang ditundukkan di peringkat kumpulan hadir dengan misi balas dendam.

Set pertama, Goh dan Tan ketinggalan dari awal tetapi bangkit gagah berani untuk memenangi set itu 21-16. Kilauan emas seperti sudah terbayang di depan mata. Hanya satu set lagi untuk menaiki podium tertinggi dan lagu 'Negaraku' akan berkumandang megah di Rio buat kali pertama dalam temasya Olimpik.

Namun beregu China itu melebarkan jarak mata dan kedudukan yang terlalu jauh memaksa beregu negara melepaskan set tersebut, tewas 11-21. Buat kali keempat berturut-turut, Goh dan Tan bermain dalam set ketiga dalam perebutan pingat emas. Fu dan Zhang mendahului lagi di awal set ketiga dan terus mempertahankan sehingga lewat permainan barulah Goh dan Tan mendahului buat kali pertama 18-17 selepas memungut beberapa mata berturut-turut.

Semangat di kem Malaysia memuncak. Inikah detik emas yang dinanti-nantikan selama 16 edisi Sukan Olimpik? Beberapa mata kemudian, beregu Goh dan Tan memegang mata akhir untuk memenangi pingat emas pada kedudukan 20-19. Sayangnya peluang itu terlepas. Goh dan Tan kemudian mendapat peluang kedua pada kedudukan 21-20. Mata akhir yang jika disempurnakan bermakna pingat emas milik Malaysia.

Tiga mata berturut-turut untuk Fu dan Zhang bermakna Malaysia terpaksa menanti lagi. Pasangan China itu menang 16-21 21-11 dan 23-21 untuk Fu Haifeng berusia 32 tahun mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di London 2012, ketika itu bersama Cai Yun. Fu Haifeng menjadi satu-satunya pemain yang mengekalkan pingat emas beregu lelaki dalam dua Sukan Olimpik, bersama pasangan yang berbeza.

Goh dan Tan mengulangi pencapaian Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock di Atlanta (1996) selepas 20 tahun lamanya penantian Malaysia dalam acara beregu lelaki untuk melihat wakil di final. Kita harapkan kita tidak perlu menunggu 20 tahun lagi untuk sekali lagi mempunyai beregu merebut pingat emas.

Kita mahukan Goh dan Tan beraksi seperti ini tanpa menyerah kalah dengan mudah di Tokyo 2020 atau pelapis dengan semangat juang yang sama tinggi.

Pingat perak untuk beregu Malaysia!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif