Welcome To My Life...

Wednesday, August 10, 2016

Pogback

Assalamualaikum.

#POGBACK

Paul Pogba akhirnya kembali menjadi pemain Manchester United secara rasmi, untuk mengakhiri khabar angin yang telah berlarutan sejak musim perpindahan pemain dibuka. Satu berita yang dinanti-nantikan para peminat United. Bintang muda ini seperti sirih pulang ke gagang. Umpama pemain yang dipinjamkan empat musim ke Itali.

Pogba tidak pernah dibuang dari United. Sir Alex Ferguson terpaksa melepaskan Pogba pergi kerana ketamakan ejen yang mengendalikan pemain ini, Mino Raiola. Fergie sentiasa percaya dengan kebolehan Pogba tetapi tidak mahu tunduk kepada permintaan Raiola yang melampau. Pogba yang mahukan masa permainan untuk membuktikan kebolehannya berpindah ke kelab Juventus dalam liga Serie A dalam misi menjadi pemain terbaik dunia. Pogba berlalu pergi sebagai pemain muda yang penuh potensi.

Dan kini dia telah kembali. Pulang untuk menyudahkan urusan yang masih belum selesai. Misi merealisasikan mimpi yang tertangguh. Reputasinya kini lebih gah. Pemain termahal dunia dalam sejarah. Salah seorang pemain tengah terbaik dunia dalam usia yang masih muda. Manchester United sentiasa ada tempat istimewa dalam hatinya dan apabila Jose Mourinho menawarkan bahagian dalam projek revolusi, sukar untuk Pogba mengatakan 'tidak'.

Juventus melakukan yang terbaik untuk memastikan Pogba kekal di Itali. Namun tawaran wang yang diberikan United sukar ditolak. Para peminat Juve sangat kecewa dengan pilihan Pogba dan menganggap tindakan Pogba sebagai satu pengkhianatan kepada kelab yang telah mempercayai kebolehannya ketika dia masih mentah. Manchester United pula terpaksa membayar harga mahal. Pogba pergi dengan perpindahan percuma dan terpaksa dibawa pulang dengan rekod perpindahan dunia.

Paul Pogba adalah kepingan terakhir dalam susun suai perancangan Mourinho untuk membawa Manchester United kembali ke puncak keagungan seperti zaman Alex Ferguson. United berbelanja besar untuk membawa nama-nama hebat walaupun tidak dapat menawarkan aksi Liga Juara-Juara Eropah. Jentera tengah adalah masalah pengurus-pengurus yang mewarisi posisi Ferguson tetapi Pogba adalah jawapan kepada masalah itu. Adanya Pogba akan menjadikan serangan United lebih menakutkan.

Mampukah Manchester United menjuarai Liga Perdana Inggeris sekali lagi?

Semuanya akan terjawab tahun depan. Tetapi bayangannya akan dilihat apabila United membuka aksi liga menentang Bournemouth hari Ahad nanti. Glory glory!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif