Welcome To My Life...

Tuesday, June 24, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #1

Assalamualaikum.

Sekejap sangat masa berlalu. Malam tadi peringkat kumpulan sudah mula melabuhkan tirai dengan pasukan-pasukan dalam Kumpulan A dan B beraksi dalam perlawanan terakhir. Ketika dua pasukan yang layak dari Kumpulan B sudah diketahui lebih awal, pasukan yang mengiringi Brazil dari Kumpulan A ditentukan dalam perlawanan malam tadi.

Sejumlah 14 gol dijaringkan dari empat perlawanan. Pesta gol.

KUMPULAN A

Juara: Brazil (Amerika Selatan)
Naib Juara: Mexico (Amerika Utara)

Cameroon 1-4 Brazil

Brazil mesti menang perlawanan ini untuk mengesahkan tempat selaku juara kumpulan. Neymar meletakkan tuan rumah Piala Dunia edisi 2014 di depan sebelum Joel Matip menyamakan kedudukan. Neymar membalas untuk Brazil mendahului separuh masa pertama 2-1. Fred meledak selepas rehat untuk meletakkan Brazil dalam kedudukan selesa. 

Apabila mendapat berita Mexico selesa mendahului satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak, Brazil perlu menjaringkan satu lagi gol untuk memastikan mereka bergelar juara kumpulan. Gol berharga itu dijaringkan oleh Fernandinho untuk melegakan penyokong tuan rumah.

Croatia 1-3 Mexico

Croatia dalam situasi 'mesti menang'. Jika seri, Mexico yang memiliki kelebihan mata selepas seri dengan Brazil dalam perlawanan kedua, akan layak mengiringi Brazil ke pusingan seterusnya. Perlawanan seimbang dan Croatia masih berpeluang sehingga Javier Hernandez masuk sebagai pemain gantian dan mula menambah bisa serangan Mexico.

Jaringan kapten, Rafael Marquez yang menanduk masuk sepakan sudut diikuti jaringan Andres Guardado dan Javier Hernandez yang membunuh sisa-sisa harapan Croatia ketika mereka cuba mencari jaringan penyamaan. Ketika Mexico mencari gol keempat yang memungkinkan mereka memenangi kumpulan, Ivan Perisic meledak gol sagu hati Croatia.

----------------------------

KUMPULAN B

Juara: Belanda (Eropah)
Naib juara: Chile (Amerika Selatan)

Australia 0-3 Sepanyol

Kedua-dua pasukan telah tersingkir awal selepas tewas kedua-dua perlawanan mereka. Bagi Australia yang meawakili benua Asia, mereka ingin mengejutkan bekas juara Eropah dan dunia. Malangnya, pemain Sepanyol begitu bersemangat untuk memulihkan maruah mereka yang tercalar teruk. Tiga gol dari David Villa, Fernando Torres, dan Juan Mata menyerlahkan kehebatan Sepanyol. Sayangnya, mereka sudah terlambat.

Belanda 2-0 Chile

Perlawanan yang menentukan juara kumpulan. Kedua-dua pasukan ingin menang untuk mengelak dari bertemu pasukan pilihan dan tuan rumah, Brazil. Perlawanan terikat tanpa jaringan sehingga pemain gantian, Leroy Fer menanduk cantik hantaran silang. Seorang lagi pemain gantian, Memphis Depay, menyempurnakan serangan kilat untuk mengesahkan status Belanda selaku pemenang kumpulan.

----------------------------

Malam ini, berlangsung perlawanan terakhir Kumpulan C dan D. Nasib Ivory Coast untuk mengiringi Colombia akan ditentukan malam ini. Tetapi perlawanan yang lebih mendapat tumpuan adalah aksi penentuan Kumpulan D antara Uruguay dan Itali. Uruguay mesti menang. Jika seri, Itali akan mara bersama Costa Rica.

Adakah pesta gol akan berulang lagi?


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif