Welcome To My Life...

Sunday, June 29, 2014

Previu Piala Dunia 2014 #2

Assalamualaikum.

Dalam bahagian satu, aku telah membincangkan empat perlawanan pertama untuk pusingan kedua. Kali ini aku teruskan lagi dengan empat perlawanan yang melengkapkan jadual Round of 16. Juara-juara kumpulan memiliki kelebihan di atas kertas berdepan pasukan-pasukan di tempat kedua kumpulan masing-masing. Namun di atas padang, aksi pada hari perlawanan akan menentukan. Kesilapan dan kelalaian akan dihukum dengan kejamnya. Kejutan akan berlaku.

1 JULAI

(E1) Perancis vs Nigeria (F2)
12 malam (waktu Malaysia)


Perancis antara pasukan yang menjaringkan gol terbanyak semasa peringkat kumpulan. Namun selepas membelasah Switzerland, Perancis gagal menembusi benteng Ecuador. Perancis akan mengharapkan sentuhan Karim Benzema untuk menggempur gawang Nigeria. Lawan mereka dari benua Afrika mara selepas menewaskan Bosnia dalam perlawanan kedua. Ketangkasan Vincent Enyeama akan diuji malam ini ketika Nigeria juga mengharapkan penyudah Ahmed Musa yang menjaringkan dua gol menentang Argentina.

Peluang: 58-42
Ramalan: Perancis 3-1 Nigeria

(G1) Jerman vs Algeria (H2)
4 pagi

  
Jerman memiliki jentera tengah antara yang terbaik dalam Piala Dunia kali ini. Mereka membelasah Portugal 4-0 dalam perlawanan pembukaan untuk meranapkan kempen Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan. Jerman akan mengharapkan sentuhan emas Thomas Muller, yang sudah menjaringkan 9 gol di pentas Piala Dunia walaupun baru berusia 24 tahun. Rekod 15 gol Ronaldo (Brazil) akan dipecahkan dengan mudah.

Algeria pula perlu mengerah segala kekuatan untuk mencipta kejutan yang mungkin sukar dijelmakan. Algeria akan mengharapkan Islam Slimani sekali lagi ketika mengharapkan benteng pertahanan tak terlalu pemurah memberikan gol kepada pihak lawan.

Peluang: 61-39
Ramalan: Jerman 2-0 Algeria

2 JULAI

(F1) Argentina vs Switzerland (E2)
12 malam

    
Argentina mengutip mata penuh dalam Kumpulan F. Walaupun berhempas pulas, Argentina mengalahkan semua pesaing dengan beza satu jaringan. Lionel Messi sentiasa diragui untuk membuktikan kehebatan di peringkat antarabangsa dan kali ini dia berjaya. Messi menjadi tonggak Argentina dengan menjaringkan empat gol.

Switzerland pula menempuh jalan sukar. Mereka mengatasi Ecuador dalam perlawanan pembukaan menerusi jaringan saat-saat akhir. Selepas dibelasah Perancis dalam perlawanan kedua, Switzerland membenam cabaran Honduras untuk bertemu Argentina. Jika Switzerland masih bermimpi melangkah ke suku akhir, ketajaman penyudah Xherdan Shaqiri sekali lagi menjadi harapan.

Peluang: 60-40
Ramalan: Argentina 1-0 Switzerland

(H1) Belgium vs Amerika Syarikat (G2)
4 pagi


Belgium juga mencapai mata maksima. Belgium antara tiga pasukan (selain Mexico dan Costa Rica) yang hanya dibolosi satu gol. Kemantapan benteng menjadi kunci kejayaan Belgium kerana jentera serangan tidak terlalu tajam. Seperti Argentina, Belgium hanya menang tipis dalam ketiga-tiga perlawanan.

Amerika Syarikat pula terselamat dari 'Kumpulan Maut' yang turut melibatkan Ghana dan Portugal. Amerika Syarikat memberi cabaran kepada Jerman dalam perlawanan terakhir. Berdepan Belgium yang tak memiliki mesin gol, Amerika Syarikat berpeluang untuk mencipta kejutan.

Peluang: 51-49
Ramalan: Belgium menang selepas masa tambahan



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif