Welcome To My Life...

Friday, June 27, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #4

Assalamualaikum.

Episod 4. Empat perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia edisi 2014 di Brazil. Tiga belas pasukan telah menempah tiket ke pusingan seterusnya. Hanya tiga lagi slot untuk diisi. Jika Jerman kalah kepada Amerika Syarikat dan Portugal membelasah Ghana, Jerman akan tersingkir. Secara realistik, itu sangat mustahil untuk berlaku.

----------------------------

KUMPULAN G

Juara: Jerman (Eropah)
Naib juara: Amerika Syarikat (Amerika Utara)

Amerika Syarikat 0-1 Jerman

Amerika Syarikat bukanlah pilihan untuk melepasi 'Kumpulan Maut' ini sebelum Piala Dunia bermula. Mereka memasuki perlawanan terakhir dengan hanya perlu mengelak kekalahan besar. Dan tugas itu dilaksanakan dengan sempurna. Amerika Syarikat berjaya mengekang bala tentera Jerman dalam pertembungan epik 'Perang Dunia Kedua 2.0'. Jaringan Thomas Muller memisahkan kedua-dua pasukan. 

Portugal 2-1 Ghana

Kekalahan besar Portugal kepada Jerman dalam perlawanan pertama meletakkan mereka dalam misi mustahil mencari kemenangan besar. Portugal menguasai perlawanan dan melancarkan serangan demi serangan. Hanya gol sendiri John Boye yang berjaya mereka kutip dari babak pertama. Jaringan Asamoah Gyan menyukarkan Portugal ketika Ghana hanya perlu menang untuk layak. 

Ghana gagal melakukan tugas itu dan Cristiano Ronaldo akhirnya menjaringkan gol selepas beberapa percubaan. Portugal mendapat tiga mata penuh tetapi para pemainnya terpaksa mengemas barang untuk pulang.

------------------------------

KUMPULAN H

Juara: Belgium (Eropah)
Naib juara: Algeria (Afrika)

Korea Selatan 0-1 Belgium

Selepas dibelasah Algeria, Korea Selatan berdepan pula pendahulu kumpulan. Tugas utama Korea adalah untuk mengelak kekalahan besar. Mereka berjaya dengan cemerlang tetapi dibantu oleh hakikat Belgium terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Steven Defour dibuang padang. Jaringan Jan Vertonghen memberikan mata maksima kepada Belgium yang memenangi kumpulan.

 Algeria 1-1 Rusia

Algeria boleh seri, dan Rusia mesti menang, itu sifirnya. Rusia bermula dengan baik apabila Aleksandr Kokorin meletakkan mereka di depan seawal minit keenam. Namun Rusia gagal mencari gol kedua yang dapat meletakkan mereka dalam kedudukan selesa. Kegagalan Rusia dihukum Algeria yang menyamakan kedudukan menerusi Islam Slimani. Algeria layak buat kali pertama ke pusingan kalah mati.

--------------------------------- 

Berakhir sudah peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Sekejap saja masa berlalu. Pentas Piala Dunia berehat dua hari sebelum disambung pada hari Sabtu di Brazil (tengah malam Ahad waktu Malaysia). Enam belas pasukan akan berentap untuk merebut lapan tiket ke pusingan suku akhir. 

Kelihatan juara-juara kumpulan akan mara lagi, kecuali kejutan berlaku. Dan tiada seri Piala Dunia tanpa kejutan. Kita harapkan gergasi-gergasi akan dibunuh dan pasukan bukan pilihan melangkah ke perlawanan akhir.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif