Welcome To My Life...

Monday, June 30, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #7

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan Round of 16. Dua lagi pasukan melangkah gagah. Dua lagi slot suku akhir diisi. Hanya tinggal separuh tiket saja untuk direbut. Berbanding semalam, dua perlawanan malam tadi lebih dramatik. Dua pasukan Eropah bertemu dua lawan dari Amerika Utara. Satu pasukan gergasi Eropah, dan satu lagi tersungkur.

------------------------------

Belanda 2-1 Mexico

Kekalahan ini sangat kejam buat Mexico yang mendahului sejak awal babak kedua sehingga berlaku drama lewat permainan. Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Mexico terlebih dulu di depan menerusi jaringan cantik Giovani dos Santos dari luar kotak penalti. Kemudian, Mexico menyerap segala asakan dari Belanda. Guillermo Ochoa terus menyelamatkan gawang Mexico. Dia dipilih pemain terbaik perlawanan sebelum berlaku kebangkitan Belanda. 

Akhirnya taktik Louis van Gaal menjadi. Dua minit sebelum berakhir masa permainan sebenar, hasil satu sepakan sudut yang ditanduk semula ke kawasan berbahaya, Wesley Sneijder mendapati tiada pemain yang mengawalnya. Rembatan padunya menerjah jaring. Ketika perlawanan menuju ke masa tambahan, Arjen Robben dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Rafael Marquez. Klaas-Jan Huntelaar tenang menyempurnakan sepakan itu untuk membawa Belanda ke suku akhir.

--------------------------------------

Costa Rica 1-1 Greece 
(selepas masa tambahan)
 FT 1-1
Penentuan sepakan penalti: 5-3

Babak pertama berlangsung tanpa banyak drama. Costa Rica lebih banyak menguasai bola tetapi Greece lebih banyak melancarkan serangan. Kapten, Bryan Ruiz, meletakkan Costa Rica di depan pada awal babak kedua. Beberapa minit selepas detik satu jam, Costa Rica terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila Oscar Duarte dilayangkan kad merah. Greece menggandakan asakan tetapi menemui jalan buntu. Ketika perlawanan seakan sudah dimenangi Costa Rica, Sokratis Papastathopoulos menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk memaksa masa tambahan.

Pemain Costa Rica bertahan habis-habisan berdepan serangan bertubi-tubi dari pasukan Greece. Kostas Mitroglou hampir menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua masa tambahan tetapi penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas, menafikan dengan cemerlang. Penentuan sepakan penalti dimulakan oleh Costa Rica. Celso Borges, Bryan Ruiz, Giancarlo Gonzalez, dan Joel Campbell semua melakukan sepakan dengan sempurna. Begitu juga Mitroglou, Lazaros Christodoulopoulos, dan Jose Cholevas. Malangnya, sepakan penalti keempat Greece yang diambil Theofanis Gekas diselamatkan oleh Navas. 

Sepakan kelima Costa Rica dijaringkan oleh Michael Umana. Greece tumbang.

--------------------------------

Selayaknya Costa Rica mara selepas utuh bertahan menghadapi Greece yang memanfaatkan kelebihan seorang pemain. Lawan menanti di suku akhir adalah pasukan Belanda. Costa Rica perlu mencapai tahap terbaik mereka untuk menyekat kemaraan Belanda. Malam ini dua lagi tiket suku akhir akan ditempah. Dua pasukan Eropah bertemu dua wakil Afrika.

Perancis vs Nigeria (12 malam waktu Malaysia)
Jerman vs Algeria (4 pagi)



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif