Welcome To My Life...

Tuesday, July 1, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #8

Assalamualaikum.

Malam tadi, pasukan kelima dan keenam mara ke pusingan seterusnya. Kedua-duanya wakil Eropah. Mereka akan bertemu sesama sendiri di peringkat suku akhir. Walaupun ini kali pertama benua Afrika mempunyai dua wakil dalam pusingan kalah mati, tiada lagi wakil dari benua itu yang masih bersaing. Dua pasukan Afrika tumbang. Dua perlawanan malam tadi berlangsung sengit. Satu daripadanya melibatkan pertarungan dalam masa tambahan. 

------------------------------------

Perancis 2-0 Nigeria

Perancis tak mendapat laluan mudah. Nigeria memberikan tentangan hebat seperti yang dijangka. Perlawanan berlangsung seimbang dengan penguasaan bola antara kedua-dua pasukan tiada yang jelas dominan. Nigeria banyak melakukan serangan di awal babak pertama menerusi Peter Odemwingie dan Emmanuel Emenike. Selepas kecederaan menimpa Ogenyi Onazi, Perancis mula mengancam kubu Nigeria. Karim Benzema mendapat beberapa peluang
Gol yang dicari tak kunjung tiba. Vincent Enyeama beraksi cemerlang di gawang Nigeria. Satu rembatan Yohan Cabaye dari luar kotak penalti terkena palang. Akhirnya, hasil sepakan sudut Mathieu Valbuena, Enyeama melakukan kesilapan apabila keluar jauh dari gawang untuk cuba menumbuk bola tetapi gagal. Tolakannya menuju Paul Pogba yang menanduk ke gawang terbuka. Pemain gantian, Antoine Griezmann, memaksa Joseph Yobo tertampan bola ke gawang sendiri untuk memusnahkan impian Nigeria.

---------------------------------

Jerman 2-1 Algeria 
(selepas masa tambahan)

Jerman memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pasukan Afrika yang para pemainnya berpuasa Ramadhan. Jerman menguasai perlawanan tetapi Algeria tidak memberikan laluan mudah. Algeria juga melancarkan beberapa serangan. Manuel Neuer beberapa kali terpaksa keluar dari kotak penaltinya untuk menyekat hantaran jauh dari sampai kepada penyerang Algeria, Islam Slimani. Setiap kali hantaran jauh dilakukan, Neuer akan melakukan sweeping lebih pantas dari penyerang lawan.
Baru saja memasuki masa tambahan, hantaran silang dari sebelah kiri disambut Andre Schurrle dengan flik yang akhirnya menewaskan Rais M'Bolhi di gawang lawan. M'Bolhi sudah menafikan deretan peluang pasukan Jerman sehingga dia memenagi anugerah pemain terbaik perlawanan. Gol kedua Jerman dijaringkan Mesut Ozil pada minit akhir masa tambahan. Dan masih ada masa untuk pemain gantian, Abdelmoumene Djabou, menjaringkan gol sagu hati untuk Algeria.

---------------------------------------

Malam ini, dua slot terakhir pusingan suku akhir akan diisi. Dua pasukan Eropah bertemua dua pasukan dari benua Amerika. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung sengit. Sehingga kini, semua juara kumpulan melepasi halangan masing-masing. Hanya tinggal dua naib juara kumpulan lagi yang akan memecahkan trend ini. 

Argentina vs Switzerland (12 malam waktu Malaysia)
 Belgium vs Amerika Syarikat (4 pagi)



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif