Welcome To My Life...

Saturday, July 5, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #10

Assalamualaikum.

Hari untuk pemain pertahanan. Tiga daripada empat gol yang direkodkan dalam dua perlawanan pertama pusingan suku akhir adalah jaringan pemain yang tugasnya mempertahankan gawang dari diserang. Tuan rumah meneruskan impian untuk menjulang Piala Dunia di bumi sendiri. Mereka akan mengulangi pertemuan final Piala Dunia 2002.

------------------------------

Perancis 0-1 Jerman

Perlawanan yang membosankan. Gol awal tandukan bek tengah, Mats Hummels, hasil sepakan percuma Toni Kroos memisahkan kedua-dua pasukan. Jerman perlu meningkatkan permainan jika mahu layak ke perlawanan akhir. Menanti di pusingan separuh akhir adalah pasukan tuan rumah. Penguasaan bola seimbang antara Perancis dan Jerman. Perancis lebih banyak melakukan serangan. Jerman bernasib baik kerana jentera serangan Perancis gagal memanfaatkan peluang dengan Manuel Neuer tangkas di gawang gol.

Faktor tuah bersama Jerman. Tandukan Hummels untuk gol tunggal perlawanan masuk ke dalam gol selepas bola mencium palang. Rembatan kencang Karim Benzema pada masa kecederaan yang ditepis Neuer dengan sebelah tangan adalah serangan terakhir Perancis. Tangisan Antoine Griezmann menggambarkan kekecewaan Perancis.

--------------------------------

Brazil 2-1 Colombia

Perlawanan suku akhir yang sangat epik antara dua pasukan Amerika Selatan. Gergasi berpengalaman zaman-berzaman menentang pasukan kerdil yang baru meningkat. Skrip perlawanan tidak diterjemahkan oleh keputusan usai wisel penamat dibunyikan. Tuan rumah mara, tetapi Colombia selayaknya menang. Pemenang perlawanan ini sememangnya menjadi pilihan untuk melangkah ke perlawanan akhir. Namun Brazil kehilangan kapten dalam proses menumbangkan Colombia. Thiago Silva akan terlepas perlawanan separuh akhir.

Silva yang tidak dikawal mudah menampan masuk sepakan penjuru Neymar pada awal permainan. Selepas itu, perlawanan sangat seimbang. Kedua-dua pasukan berbalas serangan walaupun Brazil menguasai babak awal perlawanan. Colombia mula mendapat rentak menuju penghujung babak pertama. Colombia berusaha habis-habisan mencari gol dengan sumber utama mereka, James Rodriguez, dikasari beberapa kali. Pengadil gagal melayangkan kad kepada para pemain tuan rumah. Colombia yang asyik memburu gol penyamaan apabila sepakan percuma David Luiz dari jarak jauh gagal digapai oleh David Ospina untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Masih ada masa untuk Neymar diusung keluar kerana tercedera dan sepakan penalti dianugerahkan kepada Colombia apabila pemain gantian, Carlos Bacca, berjaya menyentuh bola lebih awal sebelum dikasari Julio Cesar yang menerima kad kuning. Rodriguez menghidupkan peluang Colombia tetapi gol penyamaan yang dicari tak kunjung tiba.

--------------------------------

Brazil memerlukan tuah sekali lagi selepas mengatasi Chile menerusi penentuan sepakan penalti. Kekuatan mental mereka terbukti. Jerman pula sekali lagi mengharapkan keutuhan benteng pertahanan dan kecekapan penjaga gol. Neymar mungkin cedera dan akan terlepas perlawanan separuh akhir. Peluang Brazil mungkin tipis tanpa Neymar dan kapten yang digantung kerana menerima dua kad kuning.

Pertemuan di Belo Horizonte akan mengimbas kembali memori final 2002 di Jepun. Miroslav Klose terikat dengan Ronaldo untuk jumlah gol individu terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dan hanya memerlukan satu gol lagi untuk mengatasi rekod itu.


Semi-Final 1: Brazil v Germany
Semi-Final 2: ? v ?


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif