Welcome To My Life...

Monday, July 14, 2014

Jerman Juara

Assalamualaikum.

Tamatnya perlawanan ke-63 dan ke-64 Piala Dunia FIFA edisi Brazil 2014 menanadakan berakhir sudah kejohanan berprestij keagungan bola sepak dunia yang berlangsung empat tahun sekali.


Tuan rumah gagal menebus maruah selepas dimalukan Jerman 7-1 dalam perlawanan separuh akhir. Kekalahan 3-0 kepada Belanda melengkapkan kempen malang Brazil. Jaringan Robin van Persie, Daley Blind, dan Georginio Wijnaldum melukakan penyokong tuan rumah.


Awal pagi tadi, Jerman memenangi Piala Dunia buat kali keempat selepas menewaskan Argentina 1-0. Jaringan tunggal Mario Gotze pada babak kedua masa tambahan memusnahkan mimpi Lionel Messi untuk membuktikan statusnya sebagai pemain terbaik sepanjang zaman. Kegagalan memenangi Piala Dunia membuatkan Messi terus dibayangi legenda senegara, Diego Maradona.


Jerman telah memasuki separuh akhir Piala Dunia empat kali berturut-turut (2002-2014) dan beraksi dalam final edisi 2002 dan terbaru kali ini. 'Generasi Emas' ini akhirnya menakluk dunia dengan diurus oleh Joachim Low dan diketuai oleh kapten Philipp Lahm yang nama mereka abadi dalam lembaran sejarah bersama penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman, Miroslav Klose, yang akhirnya memenangi Piala Dunia selepas empat percubaan. Jerman memenangi Piala Dunia buat kali pertama selepas 1990.

Tiada siapa dapat menafikan Jerman memang layak menjuarai edisi 2014. Belanda terlalu bergantung kepada Arjen Robben. Brazil mengharapkan Neymar. Argentina takkan sama tanpa Lionel Messi. Tapi Jerman ada satu pasukan 23 pemain yang begitu kuat. Jerman memiliki pemain simpanan yang mampu mengubah keputusan perlawanan. Sarat dengan bintang ternama seperti Manuel Neuer, Mats Hummels, Lahm, Jerome Boateng Toni Kroos, Sami Khedira, Bastian Schweinsteiger, Mesut Ozil, Andre Schurrle dan Gotze selayaknya bergelar juara dunia.

---------------------------------------


Keputusan penuh Piala Dunia 2014

Juara: JERMAN
Naib juara: ARGENTINA
Ketiga: BELANDA

Penjaga gol terbaik: Manuel Neuer (Jerman)
Pemain terbaik: Lionel Messi (Argentina)
Pemain muda terbaik: Paul Pogba (Perancis)
Penjaring terbanyak: James Rodriguez (Colombia)

-------------------

Jumpa di Rusia 2018.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif