Welcome To My Life...

Thursday, July 3, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #9

Assalamualaikum.

2 Julai. Dua tiket penghabisan untuk pusingan suku akhir menjadi milik satu pasukan dari Amerika Selatan dan satu lagi dari Eropah. Dua perlawanan memasuki masa tambahan. Dua pasukan memberikan segalanya tetapi hanya kurang sedikit tuah. Tiada penentuan sepakan penalti diperlukan untuk memisahkan pemenang. Fakta menarik: Semua juara kumpulan layak ke suku akhir, kali pertama dalam sejarah Piala Dunia tiada naib juara kumpulan melepasi pusingan kedua.

----------------------------------

Argentina 1-0 Switzerland

Taktik Switzerland mudah. Merantai pergerakan Lionel Messi. Mereka berjaya melakukannya selama 118 minit tetapi akhirnya bintang Barcelona itu menemui jalan untuk melepasi kubu Switzerland. Hantarannya disudahkan dengan baik oleh Angel Di Maria untuk gol tunggal perlawanan ketika hanya tinggal dua minit saja lagi untuk memasuki penentuan sepakan penalti. 

Switzerland tidak perlu mencari alasan kerana mereka mensia-siakan deretan peluang walaupun Argentina menguasai perlawanan. Josip Drmic berdepan satu lawan satu dengan Sergio Romero dan cuba melakukan lob apabila penjaga gawang Argentina itu cuba mara menyekat. Drmic gagal. Memang Switzerland tidak bertuah kerana tandukan Blerim Dzemaili terkena tiang pada detik-detik akhir masa tambahan.

-------------------------------------

Belgium 2-1 Amerika Syarikat

Belgium mendominasi dari awal permainan dan Amerika Syarikat perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Tim Howard, untuk mereka memasuki masa tambahan. Howard mengekang serangan bertali arus dari Belgium. Howard mencipta rekod Piala Dunia dengan 16 kali menyelamatkan gawang dari dibolosi. Kemasukan Romelu Lukaku sebagai pemain gantian akhirnya meruntuhkan Tembok Besar Howard.
Kevin De Bruyne yang beraksi hebat sepanjang perlawanan dengan mencipta peluang demi peluang, memanfaatkan hantaran silang Lukaku untuk gol pertama Belgium. De Bruyne mencipta gol kedua Belgium apabila hantarannya disudahkan pula oleh Lukaku. Amerika Syarikat kelihatan sudah tewas sebelum Julian Green menjaringkan gol cantik ketika baru saja masuk sebagai pemain gantian. Malangnya, gol penyamaan tak kunjung tiba.

----------------------------------------

Lengkap sudah lapan pasukan yang akan berentap menjadi empat pasukan terbaik. Hanya empat tiket untuk pusingan separuh akhir untuk direbut. Piala Dunia 2014 bersambung pada tengah malam 5 Julai (waktu Malaysia).



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif