Welcome To My Life...

Sunday, July 6, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #11

Assalamualaikum.

Lengkap senarai empat pasukan terbaik. Dua dari Eropah dan dua dari Amerika Selatan. Kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, Brazil dan Argentina sama-sama mara ke pusingan separuh akhir. Dua wakil dari setiap benua tak akan bertemu sesama sendiri. Masih ada kemungkinan untuk perlawanan akhir menyaksikan pasukan Eropah bertemu pasukan Eropah. Atau dua wakil Amerika Selatan berentap untuk merebut trofi kemasyhuran bola sepak dunia.

-----------------------------

Argentina 1-0 Belgium

Perlawanan seimbang. Penguasaan bola sama rata. Jumlah serangan setara. Hanya pengalaman memisahkan Argentina dari Belgium. Para pemain Argentina sudah biasa beraksi dalam pusingan kalah mati berbanding 'Generasi Emas' Belgium. Kemenangan Argentina dibantu jaringan awal Gonzalo Higuain yang melemahkan semangat lawan. Argentina kemudiannya selesa mengawal bola dan menanti lawan merebut untuk melancarkan serangan. Kem Argentina dikejutkan dengan kecederaan Angel Di Maria yang terpaksa digantikan pada babak kedua. Di Maria sah terlepas aksi Piala Dunia yang berbaki jika Argentina melangkah jauh.

Ketika Belgium cuba menyamakan kedudukan, percubaan Higuain menerusi serangan kilat terkena palang. Belgium menggempur bertubi-tubi untuk membawa permainan ke masa tambahan tetapi gagal menjaringkan gol penyamaan. Barisan pertahanan Argentina utuh mempertahankan benteng mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir buat kali pertama sejak edisi 1990.

---------------------------------- 

Belanda 0-0 Costa Rica
(selepas masa tambahan)
Penentuan sepakan penalti: 4-3

Tak dapat dinafikan Belanda selayaknya memenangi perlawanan ini selepas berusaha sehabis daya untuk menembusi kekukuhan kubu Costa Rica. Selepas menewaskan Greece menerusi penentuan sepakan penalti, Costa Rica selesa untuk mengulangi strategi sama dan beraksi lebih 120 minit. Mereka membentuk kubu yang tersusun kemas dan sukar diruntuhkan. Serangan demi serangan Belanda dinafikan oleh penjaga gol, Keylor Navas yang menjadi pemain terbaik perlawanan.

Belanda begitu hampir untuk merungkai kekentalan dan kedegilan Costa Rica apabila percubaan Wesley Sneijder menghentam tiang dan palang gol. Akhirnya kepintaran taktikal Louis van Gaal terbukti lagi. Pada minit ke-120, van Gaal memasukkan penjaga gol, Tim Krul, menggantikan Jasper Cillessen. Pertukaran itu berhasil apabila dua sepakan penalti pemain Costa Rica ditepis Krul yang meneka tepat arah semua lima sepakan penalti pihak lawan. 

---------------------------------

Tanpa Di Maria, peluang Argentina kini samar. Kelincahan Lionel Messi seorang tak mampu membawa Argentina kerana Messi banyak dibantu Di Maria sebelum ini. Mungkin Argentina akhirnya akan akur dengan kebijaksanaan perancangan Louis van Gaal.

Semi-Final 1: Brazil v Jerman
Semi-Final 2: Belanda v Argentina


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif