Welcome To My Life...

Thursday, July 3, 2014

Previu Piala Dunia 2014 #3

Assalamualaikum.

Lapan pasukan terbaik. Lapan juara kumpulan. Hanya empat tiket menjadi rebutan. Empat juara kumpulan akan tersungkur ketika empat lagi mara.

Berikut adalah senarai pasukan yang mara dari Kumpulan A-H:

Brazil (Amerika Selatan); Belanda (Eropah); Colombia (Amerika Selatan); Costa Rica (Amerika Utara); Perancis (Eropah); Argentina (Amerika Selatan); Jerman (Eropah); Belgium (Eropah)

Benua Eropah mempunyai empat wakil. Tiga pasukan dari Amerika Selatan dan satu lagi dari Amerika Utara. Tiada lagi wakil Asia dan Afrika yang tinggal. Berikut adalah carta enam belas pasukan terbaik selepas tamat pusingan kedua.

(G=games, W=win, D=draw, L=lose, GF=goals for
GA=goal against, GD=goal difference, P=points)

Kali pertama berlaku dalam sejarah Piala Dunia, tiada naib juara layak ke pusingan suku akhir. Semua juara kumpulan berjaya mengalahkan lawan masing-masing.

5 JULAI

(E1) Perancis vs Jerman (G1)
12 tengah malam (waktu Malaysia)


 Perancis adalah salah satu daripada tiga pasukan yang tidak bermain masa tambahan di pusingan kedua ketika Jerman memerlukan 120 minit untuk menewaskan Algeria. Kedua-dua pasukan tidak beraksi cemerlang dalam dua perlawanan terakhir masing-masing. Eropah vs Eropah; salah satu akan tersingkir. Perancis akan mengharapkan jaringan Karim Benzema ketika Jerman bergantung kepada penjaring terbanyak mereka, Thomas Muller. Pertahanan mantap kedua-dua pasukan akan teruji. Masa tambahan mungkin diperlukan untuk menentukan pemenang.

Peluang: 51-49
Ramalan: Perancis 2-1 Jerman

(A1) Brazil vs Colombia (C1)
4 pagi


Brazil menewaskan Chile menerusi penentuan sepakan penalti ketika Colombia hanya memerlukan 90 minit untuk mengalahkan Uruguay. Dua pasukan Amerika Selatan bertemu; satu perlu tumbang. Jika prestasi terkini menjadi ukuran, Colombia lebih meyakinkan. Namun apabila tiba hari perlawanan, kekuatan di atas kertas tidak memainkan peranan. Brazil akan mengharapkan sentuhan emas Neymar dan perlu menyekat pemain terbaik kejohanan setakat ini, James Rodriguez. Bintang Colombia itu kini mendahului carta penjaring terbanyak.

Peluang: 48-52
Ramalan: Brazil 1-2 Colombia

6 JULAI

(F1) Argentina vs Belgium (H1)
12 tengah malam


Pertembungan antara benua. Argentina dan Belgium memerlukan masa tambahan untuk menumbangkan lawan masing-masing di pusingan kedua. Lionel Messi sekali lagi menjadi faktor penentu ketika memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan untuk kali keempat berturut-turut. Messi mesti disekat jika Belgium berhajat mara lebih jauh. Belgium memiliki jentera serangan terbaik dalam edisi Piala Dunia kali ini. Kekuatan Belgium adalah ketangkasan Thibaut Courtois di gawang dan pemain gantian di bangku simpanan.

Peluang: 50-50
Ramalan: Belgium menang selepas masa tambahan

(B1) Belanda vs Costa Rica (D1)
4 pagi


Satu lagi pertembungan antara benua. Belanda mengecewakan Mexico dengan dua gol lewat permainan untuk mengelak dari beraksi dalam masa tambahan. Costa Rica pula mengatasi Greece menerusi penentuan sepakan penalti. Kepintaran taktikal Louis van Gaal menghasilkan empat kemenangan untuk Belanda. Van Gaal perlu menggunakan kebijaksanaan sekali lagi untuk merobek kubu Costa Rica yang utuh. Costa Rica mengejutkan dunia dengan memenangi 'Kumpulan Maut' melibatkan Itali dan Uruguay. Kekuatan mental mereka terbukti dengan mengalahkan Greece walaupun beraksi dengan 10 orang pemain selama lebih sejam. Costa Rica perlu menyekat Arjen Robben dan Robin Van Persie.

Peluang: 53-47
Ramalan: Belanda 2-0 Costa Rica

-------------------------------------

Hanya perbezaan tipis memisahkan dua pasukan dalam empat perlawanan. Bukan jua kelebihan sebagai tuan rumah dapat memastikan Brazil mengatasi Colombia. Hanya aksi di atas padang pada hari perlawanan akan menentukan. Mungkin semua empat perlawanan akan melibatkan masa tambahan. Dan mungkin ada penentuan sepakan penalti untuk memisahkan dua juara kumpulan yang bertembung.
  

 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif