Welcome To My Life...

Wednesday, July 9, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #12

Assalamualaikum.

Ketika puluhan ribu rakyat Brazil memasuki stadium untuk menyokong pasukan bola sepak kebangsaan mereka malam tadi, mereka sama sekali tidak menyangka mereka akan menjadi saksi kepada satu sejarah yang luar biasa. Satu titik hitam dalam sukan bola sepak Brazil. Beraksi di bumi sendiri, Belo Horizente adalah tempat malang untuk pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Dunia.

Bagaikan mimpi, tapi ia benar-benar terjadi. Brazil dibelasah. Brazil musnah. Semua yang menyaksikan perlawanan semalam tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kekalahan Brazil sudah dijangka. Namun sejarah semalam akan terus diperkatakan sehingga beberapa dekad akan datang.

------------------------------

Brazil 1-7 Jerman

Tak salah dibaca. Itulah keputusannya.

Statistik perlawanan tidak menunjukkan Brazil menjadi mangsa kekejaman Jerman. Penguasaan bola seimbang. Brazil lebih banyak melakukan serangan. Tetapi itu meliputi keseluruhan perlawanan. Hakikatnya, Brazil sudah 'sah' tewas setengah jam selepas sepak mula. Lebih mengejutkan, lebih separuh gol Jerman dalam perlawanan ini dijaringkan dalam masa enam minit paling panjang dalam sejarah bola sepak Brazil.

Brazil memulakan perlawanan tanpa Neymar dan pertahanan kental merangkap kapten, Thiago Silva. Brazil lemah. Segalanya bermula seawal minit ke-11. Thomas Muller tidak dikawal untuk menyambut sepakan penjuru dengan voli. Enam minit dari minit ke-23, 1-0 menjadi 5-0. Bermula dengan Miroslav Klose yang menjaringkan gol kedua dalam edisi 2014 dan ke-16 sepanjang beraksi dalam Piala Dunia untuk memintas Ronaldo sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman.

Seminit berselang, hantaran silang dari sebelah kanan disambar Toni Kroos dengan rembatan kaki kiri. Dua minit kemudian, Kroos meledak lagi. Dan tiga minit saja diperlukan untuk Sami Khedira pula berada dalam senarai penjaring. Brazil tidak belajar dari kesilapan. Mereka sepatutnya mengunci bahagian pertahanan apabila ketinggalan 2-0. Sebaliknya mereka membiarkan kubu terus terdedah, dan Jerman selesa menghukum.

Brazil lebih garang pada babak kedua. Namun Jerman pula yang menambah jaringan. Pemain gantian, Andre Schurrle, meledak dua gol. Gol lewat Oscar hanyalah gol sagu hati untuk tuan rumah yang dimalukan di depan penyokong sendiri.

-------------------------------

Siapa pun lawan yang menanti Jerman di perlawanan akhir, sama ada Belanda atau Argentina, Jerman boleh mengharapkan perlawanan yang sengit dan tertutup. Tiada lagi kubu yang terdedah untuk diserang. Aksi longlai Brazil membuatkan para penganalisis berpendapat Colombia akan memberi cabaran lebih bermakna sekiranya mengatasi Brazil di peringkat suku akhir.

Brazil memiliki lebih banyak jumlah serangan berbanding Jerman membuktikan Brazil mampu. Satu-satunya kesilapan mereka adalah membiarkan Jerman terus bermaharajalela ketika mereka boleh memperkemas kawalan di benteng. Jika menentang Malaysia, mungkin Brazil selamat. Tapi menentang pasukan hebat seperti Jerman, kesilapan kecil pasti dihukum.

Ramalan final: Jerman vs Belanda


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif