Welcome To My Life...

Monday, July 7, 2014

Previu Piala Dunia 2014 #4

Assalamualaikum.

Aku tak sangka. Ramalanku benar belaka.


Aku buat perkiraan ni masa peringkat kumpulan. Masa Piala Dunia baru bermula. Aku kira terus sampai final. Aku baru jumpa semula ramalan ni dan semak sama ada aku dapat teka betul atau tidak. Pusingan kedua, aku hanya betul 8 dari 16 pasukan (posisi juara dan naib juara kumpulan). Pusingan suku akhir pula, aku teka lima dari lapan pasukan dengan tepat. Dan untuk separuh akhir, aku ramal kesemua empat pasukan dengan tepat. Cuma tempat Belanda tu mula-mula aku teka England. Final tu mungkin salah. Kemungkinan besar Jerman akan berebut trofi Piala Dunia dengan Belanda.

-----------------------------------

 (G=games, GF=goals for, GA=goals against,
GD=goal difference, P=points)

Pasukan berwarna merah tersingkir di pusingan kedua. Dan pasukan berwarna biru yang mara ke separuh akhir. Hanya Argentina satu-satunya pasukan yang menang semua perlawanan walaupun tipis. Hanya menang dengan perbezaan satu jaringan dalam kesemua perlawanan mereka. Tiga daripadanya berakhir memihak Argentina 1-0 (menentang Iran, Switzerland, Belgium). Dua perlawanan pusingan kalah mati Argentina berakhir dengan kemenangan 1-0. Belanda dengan jumlah jaringan terbanyak.

---------------------------------

9 JULAI

(A1) Brazil vs Jerman (G1)
4 pagi (waktu Malaysia)

 
Pertemuan ulangan final Piala Dunia 2002 yang dimenangi Brazil 2-0. Kali ini situasinya berbeza. Brazil yang cuba untuk memenangi Piala Dunia buat kali pertama di tempat sendiri akan menentang Jerman tanpa dua pemain utama. Thiago Silva selaku kapten dan pertahanan kental di kubu sudah digantung kerana menerima kad kuning ketika menentang Colombia. Ayam tambatan, Neymar, pula cedera selepas patah tulang belakang. Brazil kini lumpuh. Jurulatih, Luis Felipe Scolari, perlu mencari semula magisnya ketika memenangi edisi 2002.

Brazil masih berpeluang kerana Jerman juga tidak meyakinkan. Walaupun sarat dengan bintang-bintang ternama dunia, Jerman memerlukan masa tambahan untuk menyingkirkan Algeria di pusingan kedua. Mereka memerlukan jaringan pertahanan, Mats Hummels, untuk mengatasi Perancis di pusingan suku akhir. Thomas Muller akan cuba untuk menambah jumlah jaringannya yang kini berada di angka empat dengan ketiadaan Silva di kubu Brazil. Hummels pula akan melindungi gawang yang dikawal ketat Manuel Neuer.

Peluang: 44-56
Ramalan: Brazil 1-2 Jerman

-------------------------------------

10 JULAI

(B1) Belanda vs Argentina (F1)
4 pagi

  
Belanda melangkah jauh dengan dibantu kepintaran taktikal jurulatih, Louis van Gaal yang memanfaatkan pemain simpanan dengan sebaiknya dalam beberapa perlawanan. Belanda memerlukan dua gol lewat untuk menewaskan Mexico pada pusingan kedua. Belanda juga menghadapi kesukaran merobohkan kubu Costa Rica sebelum memenangi penentuan sepakan penalti. Puncanya adalah taktik defensif Costa Rica menyerap segala asakan Belanda. Gandingan Arjen Robben dan Robin van Persie adalah senjata berbahaya Belanda untuk meruntuhkan tembok Argentina.

Argentina mencatat lima kemenangan berturut-turut. Mereka sangat bergantung kepada Lionel Messi. Argentina tempang untuk menghadapi Belanda. Messi akan menggalas beban mencipta gol tanpa watak pembantu utama, Angel Di Maria, yang tercedera semasa menewaskan Belgium. Argentina akan mengharapkan Messi dapat mencari ruang menembusi benteng Belanda ketika benteng mereka sendiri kebal menangkis gempuran Robben dan RVP.

Peluang: 53-47
Ramalan: Belanda 2-0 Argentina 

----------------------------------

Final Eropah bertemu Eropah. Atau Amerika Selatan bertembung Amerika Selatan. Atau pertarungan antara benua. Segalanya mungkin. Ramalan aku semasa peringkat kumpulan adalah perhitungan antara dua wakil Amerika Selatan. Namun saat ini aku tidak menolak kemungkinan pertemuan dua gergasi Eropah. Aksi di atas padang akan menentukan.

Ramalan final: Jerman vs Belanda


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif