Welcome To My Life...

Thursday, July 10, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #13

Assalamualaikum.

Selepas mimpi Brazil dimusnahkan Jerman di Belo Horizonte semalam, Argentina memastikan tiada pertemuan sesama Eropah di Maracana dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014. Ianya pertembungan dua benua, antara Amerika Selatan dan Eropah. Belanda kecewa untuk ke perlawanan akhir kali kedua berturut-turut selepas tumbang kepada Sepanyol dalam final edisi 2010.

Mimpi Messi dan Argentina berterusan.

----------------------------

Belanda 0-0 Argentina
(selepas sepakan penalti)
penentuan sepakan penalti: 2-4

"Kami gagal menjaringkan lebih satu gol dari pihak lawan." Itulah jawapan Louis van Gaal, pengurus Belanda.

Taktik membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti adalah satu perjudian. Apabila sepakan penalti menentukan pemenang, ianya sangat bergantung kepada nasib. Belanda telah memenangi pusingan kalah mati sekali dalam edisi ini menewaskan Costa Rica. Mereka salah untuk menyangka tuah akan bersama mereka lagi. Perlawanan sepenuh masa berlangsung seimbang. Kedua-dua pasukan mempunyai jumlah serangan yang sama banyak. Hakikatnya, tiada percubaan berbahaya yang mencemaskan penjaga gawang. Perlawanan membosankan.

Skrip sama juga mengisi masa tambahan. Tiada aksi yang memukau penonton. Ini peperangan taktikal untuk mengelak kekalahan. Kedua-dua pengurus mengambil sikap 'tunggu dan lihat'. Argentina mengharapkan sentuhan Lionel Messi ketika Belanda bergantung kepada kelincahan Arjen Robben. Kejayaan mengatasi Costa Rica diingati kerana tindakan van Gaal menggantikan penjaga gol pada minit terakhir masa tambahan khas untuk penentuan sepakan penalti.

Kali ini van Gaal telah menggunakan semua tiga pertukaran yang dibenarkan sebelum sempat Tim Krul menggantikan Jasper Cillessen. Penjaga gol Belanda itu tidak pernah menyelamatkan sepakan penalti sepanjang karier profesional. Dan rekod itu berterusan malam tadi ketika penjaga gol Argentina, Sergio Romero menjadi wira. Hanya empat sepakan penalti cukup untuk memisahkan Belanda dari perlawanan akhir. Hanya Arjen Robben dan Dirk Kuyt menyempurnakan sepakan mereka ketika sepakan Ron Vlaar dan Wesley Sneijder ditepis Romero.

Cillessen gagal menyekat sebarang sepakan. Lionel Messi, Ezequiel Garay, Sergio Aguero, dan Maxi Rodriguez. Semuanya menjaringkan sepakan penalti masing-masing untuk membawa Argentina bertemu Jerman dalam aksi final...


.... dan meneruskan impian Messi bergelar juara dunia.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif