Welcome To My Life...

Sunday, June 29, 2014

Reviu Piala Dunia 2014 #6

Assalamualaikum.

Dua perlawanan pusingan kedua berlangsung malam tadi. Dua slot suku akhir telah diisi. Empat pasukan dari benua Amerika Selatan berentap sesama sendiri. Pasukan mana sekalipun yang menang, wakil Amerika Selatan akan bertemu lawan dari zon yang sama kerana pemenang dua perlawanan ini akan bertembung.

------------------------

Brazil 1-1 Chile 
(selepas masa tambahan)
FT 1-1
Penentuan sepakan penalti: 3-2

Perlawanan pertama pusingan kalah mati edisi 2014 berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti. Cara paling kejam untuk menentukan pemenang. Chile mendominasi permainan sejak sepak mula. Namun dengan formasi 5-3-2, jelas sekali modus operandi Chile adalah cuba menyekat Brazil dari menguasai bola. Para pemain Chile mengawal bola dengan kemas dalam organisasi tersusun. Sesekali Brazil menyerang, asakan Brazil mencemaskan benteng Chile. Gol dari David Luiz selepas Thiago Silva menanduk sepakan sudut kepadanya meletakkan tuan rumah di depan. Gol penyamaan Chile hadir menerusi kesilapan Hulk melakukan hantaran kepada rakan. Alexis Sanchez menyamakan kedudukan.

Babak kedua. Brazil mula mendapat rentak. Penguasaan bola masih milik Chile, tetapi Brazil lebih banyak melakukan serangan berbahaya. Perlawanan berlarutan ke masa tambahan walaupun Brazil mencuba habis-habisan untuk menang dalam masa permainan sebenar. Kedua-dua pasukan menemui jalan buntu dalam usaha menambah jaringan. Pemain gantian, Mauricio Pinilla, hampir melakukannya pada saat terakhir masa tambahan tetapi terkena palang. 

Brazil memulakan penentuan sepakan penalti. David Luiz tenang menyempurnakan tugas. Nasib malang Pinilla berterusan apabila sepakannya diselamatkan. 1-0. Willian gagal tetapi terselamat kerana Sanchez juga tidak bertuah. Marcello dan Charles Aranguiz berjaya menjaringkan sepakan masing-masing. 2-1. Sepakan Hulk diselamatkan penjaga gol dan Marcelo Diaz menyamakan kedudukan. Sepakan kelima. Neymar berjaya. Sepakan terakhir Chile. Ternyata nasib tidak menyebelahi Chile apabila rembatan Gonzalo Jara terkena tiang gol. Brazil menang 3-2.

------------------------------------------

Colombia 2-0 Uruguay

Perlawanan ini kurang dramatik. Colombia menguasai permainan sejak wisel pertama dibunyikan. Gol yang dicari-cari akhirnya dijaringkan oleh bintang muda, James Rodriguez yang terus membuktikan kehebatannya di pentas tertinggi dunia. Mendada hantaran rakan sepasukan, Rodriguez membiarkan bola jatuh sebelum merembat dengan kaki kirinya. Bola melepasi penjaga gol lawan, Fernando Muslera, dan terkena palang lalu masuk ke dalam gawang. Gol kedua pula dijaringkan pada awal babak kedua. Hantaran silang dari kiri ditanduk semula ke tengah kotak penalti oleh Juan Cuadrado. Naluri Rodriguez mengizinkan dia berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat untuk mudah menolak masuk bola.

Sehingga akhir perlawanan, permainan dikuasai Colombia. Namun statistik menunjukkan Uruguay lebih banyak melakukan percubaan. Benteng Colombia utuh bertahan untuk menempah tiket menentang tuan rumah.

---------------------------------------

Dua lagi perlawanan berlangsung malam ini. Dua pasukan Eropah akan bertemu dua wakil benua Amerika. Mexico berpeluang untuk mengejutkan Belanda. Greece juga boleh melangkah jauh jika perlawanan memasuki masa tambahan. Apabila sepakan penalti menentukan pemenang, segalanya mungkin.

Belanda vs Mexico (12 malam waktu Malaysia)
Costa Rica vs Greece (4 pagi)



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif