Welcome To My Life...

Monday, May 26, 2014

Painful Final Defeat

Assalamualaikum.

It hurts to lose in the final match after 22 years of long waiting. It hurts even more to lose 2-3 and after rubber game. Bitter agony.


Aku tak menyaksikan aksi Dato' Lee Chong Wei kerana sedang berada dalam bas ketika itu. Aku dalam perjalanan pulang dari program homestay di Sabak Bernam. Agak berdebar menanti update dari rakan-rakan yang mempunyai internet connection. Agak bimbang kerana Kenichi Tago menumbangkan Chen Long dengan mudah dalam perlawanan separuh akhir menentang China. Rasa teruja sebaik mengetahui LCW membenam cabaran Tago dengan 21-12 dan 21-16 dalam masa 44 minit. Rasa sangat positif. Malaysia mendahului 1-0.

Beregu pertama, Hoon Thien How/Tan Boon Heong mesti menang menentang beregu nombor tiga dunia, Keninchi Hayakawa/Hiroyuki Endo untuk mencerahkan peluang negara. Rasa semakin positif apabila mereka menang set pertama 21-12. Tetapi seperti dijangka, pasangan Jepun bangkit bersemangat untuk mengatasi beregu negara dengan 21-17 dan 21-19 dalam dua set berikutnya. Perlawanan mengambil masa sejam 15 minit memihak kepada lawan. Jepun menyamakan kedudukan ketika aku selamat tiba di IMU.

Aku pulang ke rumah untuk solat Maghrib sebelum kembali ke student lounge untuk menyaksikan perlawanan perseorangan kedua. Teringin menjadi saksi malam bersejarah badminton Malaysia selepas kali terakhir menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 dan kali terakhir layak ke pentas final pada tahun 2002. Walaupun Chong Wei Feng menang kesemua aksinya termasuk dalam perlawanan separuh akhir menentang Indonesia, lawannya dari Jepun bukan mudah. Kento Momota berusia 19 tahun adalah juara remaja dunia 2012 dan menang semua perlawanan dalam Piala Thomas kali ini.

Ternyata telahan aku benar. Momota beraksi yakin dan matang melampaui usianya dengan aksi menyerang ketika Wei Feng hilang punca dan mencari taringnya yang dipamerkan dalam aksi-aksi sebelum itu. Perlawanan itu paling singkat, berlangsung hanya selama 39 minit. Wei Feng gagal bangkit untuk tewas straight set 15-21 dan 17-21. Jepun mendahului 2-1.

Aku kecewa tapi masih berharap. Malaysia masih boleh menang. Beregu kedua tiada jalan lain. Mereka mesti menang untuk menghidupkan peluang Malaysia. Walaupun Jepun mempunyai kekuatan dalam bahagian beregu, aku yakin dengan pasangan Malaysia yang mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Korea dan juga perlawanan suku akhir menentang Denmark.

Aku dalam perjalanan pulang dari kedai makan ketika Goh V Shem/Tan Wee Kiong mendahului Keigo Sonoda/Takeshi Kamura 18-14. Apabila aku sampai di student lounge, aku keliru apabila pasangan Jepun memulakan set kedua. Mustahil Malaysia akan tewas dari kedudukan tadi. Ternyata aku salah. Impian Malaysia kelihatan kian musnah. Kalah set kedua dan lebur sudah harapan menggunung melihat skuad badminton muncul juara.

Mujur mereka berjaya bangkit dengan lebih tenang dan fokus untuk menang 19-21, 21-17, 21-12. Aku suka melihat gandingan ini. Kebanyakan rali dalam permainan mereka adalah gabungan serangan tajam dan pertahanan mantap. Tenaga yang meluntur akibat smesy bertubi-tubi yang mencabar ketahanan beregu Jepun tidak menghakis semangat mereka untuk terus mengasak sehingga lawan tunduk akur selepas sejam enam minit di gelanggang. Malaysia kembali menyamakan kedudukan 2-2. Perlawanan terakhir menjadi penentuan.

Daren Liew menentang Takuma Ueda. Sejujurnya aku hanya mahu perlawanan penentuan walaupun menyimpan sedikit harapan. Daren tewas semua perlawanan dalam Piala Thomas kali ini ketika Takuma menang semua perlawanan apabila diturunkan. Atas kertas, Malaysia seperti menyerahkan tengkuk untuk disembelih. Benar kata pengulas, ketika Daren diganyang dalam set pertama, kem Malaysia seperti sudah menerima hakikat bahawa "kami menjangkakan ini" ketika mereka seharusnya bersorak membakar semangat Daren. Set pertama berakhir Daren tumpas 12-21 dengan melakukan banyak kesilapan mudah. Harapan kian pudar.

Ketika Daren ketinggalan 10-16 dalam set kedua, aku sudah bersedia untuk pulang. Tak mahu melihat kekalahannya. Namun Daren mengejutkan semua orang dengan kebangkitan menakjubkan. Semangat harimau yang luar biasa. Pantang mundur. Tiba-tiba Daren seperti mendapat kembali semangat yang hilang dan merampas set kedua 21-18. Set penentuan dalam perlawanan terakhir yang akan memisahkan juara dan naib juara. Final yang sangat epik.

Selepas berhempas-pulas melawan, akhirnya Daren tumbang jua untuk memberi kemenangan Piala Thomas buat pertama kali dalam sejarah kepada Jepun yang hanyalah pasukan keempat pernah menjuarai Piala Thomas. Perlawanan penentuan mengambil masa satu jam 18 minit, yang terpanjang dalam final kali ini. Jepun menang 3-2. Sudah dijangka, aku pulang hampa. Daren melakukan banyak kesilapan mudah ketika dia sepatutnya mendapat mata.

Apabila aku membelek Twitter hari ini, ada benarnya kata mereka. Daren mempamer semangat juang tinggi ketika ramai yang menjangkakan kekalahannya. Itu yang harus dipuji. Daren Liew menjadi trending di Twitter. Pemerhati kagum dengan aksi melawan yang ditunjukkan walaupun dia menanggung harapan seluruh rakyat Malaysia. Beban yang terpikul di bahunya terlalu berat sehingga dia rebah.

Tetapi kita tidak menyerah mudah. Kita kalah melawan. Walaupun tewas di gelanggang, Daren Liew memenangi hati rakyat Malaysia. Walaupun Malaysia gagal membawa pulang Piala Thomas dan terpaksa menunggu lagi, skuad badminton telah menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Malaysia tak kalah sebenarnya. Malaysia hanya belum menang.



Sri Petaling
1630
26/05/2014


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif