Welcome To My Life...

Thursday, May 29, 2014

Lima Enam Satu

Assalamualaikum.

29 Mei 1453. 

Sebaik-baik raja memimpin sebaik-baik tentera menakluk kubu kuat Kristian dengan tembok kota yang tak pernah berjaya ditembusi. Hasil perancangan teliti dengan pertolongan Allah, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya melakukan apa yang gagal dilakukan moyangnya selama beratus-ratus tahun dalam beberapa kali percubaan.

Konstantinopel, atau kini Istanbul, dirampas dari kerajaan Byzantine.

----------------------------------------------


29 Mei 2014.

561 tahun berlalu dari tarikh keramat yang terpahat abadi dalam lembaran sejarah perang antara Islam dan orang kafir. Yang takkan dilupakan mereka kerana kekebalan tembok kota itu dimalukan dengan satu serangan luar biasa yang telah pun diberikan tanda-tandanya.

Kapal belayar di daratan adalah kisah besar.

Tapi pembentukan Sultan Muhammad al-Fateh sudah dimulakan sejak kecil lagi. Bagaimana beliau diajar ilmu perang, astronomi, dan beberapa cabang ilmu lagi. Bagaimana beliau dilatih menguasai tujuh bahasa. Bagaimana beliau melakukan perancangan teliti bersama para pembesarnya. Bagaimana meriam Urban menghentam tembok Konstantinopel. Dan banyak lagi faktor kejayaan beliau yang aku baca semasa melakukan kajian untuk tugasan Islamic Studies.

Benar, kemenangan itu daripada Allah. Tapi pertolongan Allah hanya tiba selepas beliau ikhtiar bersungguh-sungguh. 

---------------------------------------

Itu sejarah kegemilangan moyang kita.

Pada sejarah itu, ada iktibar bagi kita yang perlu diteladani. Betapa sistem pendidikan Usmaniah yang holistik yang mengadunkan ilmu agama dan sains telah melahirkan figura-figura hebat yang menggoncang dunia. Ada pengajaran yang boleh kita dapat jika kita melihat dengan mata hati.

Apa yang telah berlaku sudah tentu tak mustahil untuk diulang semula. Itu sunatullah. Islam akan kembali naik. Imam Mahdi dan tenteranya akan menakluk semula Konstantinopel pada akhir zaman seperti yang disebut dalam hadis Nabi.

---------------------------------------

Selepas 561 tahun, orang kafir tak perlu lagi menggunakan senjata untuk menewaskan umat Islam. Dengan tiga S (sex, sport, song), mereka telah melumpuhkan anak-anak muda secara halus. Permainan mereka hari ini adalah 'perang saraf'. Pentasnya bukan lagi medan perang. Sudah bertukar menjadi perang pemikiran. Dengan hiburan yang melampau, mereka menjauhkan anak-anak muda dari landasan agama.

Tanpa benteng agama, robohlah kekuatan umat Islam. Tanpa pergantungan kepada Allah, umat Islam sudah hilang sumber utama kemenangan. Umat Islam sudah lemah seperti buih-buih di lautan. Banyak tapi tak bermakna.

------------------------------------

Tugas kita? Jadilah al-Fateh yang membuka pemikiran umat Islam untuk kembali menjadikan agama sebagai asas kehidupan. Bentuklah diri kita dan masyarakat sekeliling untuk meletakkan Allah sebagai Yang Maha Tinggi, lebih utama dari segalanya.

Wallahualam.



Sri Petaling
2240
29/05/2014
 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif