Welcome To My Life...

Sunday, November 19, 2017

Back With A Bang

Assalamualaikum.

Manchester United menang di kubu, bukan berita baru.


Perlawanan liga pertama selepas aksi antarabangsa yang turut melibatkan perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018. Manchester United membenam Newcastle United 4-1, satu kemenangan yang meyakinkan.

Kali terakhir United beraksi dalam liga, mereka tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge. Namun sebelum perlawanan kali ini, kem Manchester United diceriakan dengan kembalinya tiga pemain penting yang beraksi cemerlang sebelum mereka cedera: Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo. 

Sebelum United turun bermain lewat malam tadi (waktu Malaysia), pencabar-pencabar utama sudah mencatat kemenangan. Arsenal menumbangkan Spurs dalam derby utara London, Manchester City menundukkan Leicester, manakala Chelsea dan Liverpool juga menang selesa mengatasi lawan masing-masing.

Para peminat United ceria apabila melihat senarai nama kesebelasan utama yang dikeluarkan:
David De Gea | Antonio Valencia; Chris Smalling; Victor Lindelof; Ashley Young | Nemanja Matic; Paul Pogba; Anthony Martial; Juan Mata; Marcus Rashford | Romelu Lukaku

Kecederaan Phil Jones dan Eric Bailly meletakkan gandingan Smalling-Lindelof di pertahanan tengah. Kembalinya Pogba menyingkirkan Ander Herrera dan Marouane Fellaini ke bangku simpanan. Henrikh Mkhitaryan langsung tidak berada dalam senarai pemain walaupun tidak cedera. Martial dan Rashford memulakan perlawanan bersama-sama buat kali pertama. Ini adalah barisan terbaik dan terkuat yang dimiliki United, dan sudah lama diimpikan oleh peminat. Akhirnya, Jose Mourinho mendengar seruan peminat setia.

Newcastle terlebih dulu mendahului apabila hantaran silang DeAndre Yedlin disepak Dwight Gayle, terkena palang sebelum menyentuh jaring. Malang nasib Lindelof yang tergelincir ketika cuba menghalang Gayle. Para pemain United terus tenang mengasak kubu Newcastle.

Gol penyamaan United akhirnya hadir selepas asakan bertali arus. Tarian Pogba di sayap kanan berjaya menewaskan pemain lawan sebelum hantaran silangnya yang indah ditanduk Martial. Sememangnya kepentingan Martial dalam pasukan United tidak dapat disangkal lagi. Manchester United menamatkan separuh masa pertama di depan apabila hantaran silang Young ditanduk Smalling. HT 2-1.

Pogdance

Separuh masa kedua bersambung, United tidak memperlahankan rentak kerana sebarang keputusan selain kemenangan akan menyukarkan peluang mereka mengejar Manchester City. Satu serangan kilat menghasilkan gol ketiga. Hantaran silang Lukaku dari sebelah kanan ditanduk Rashford ke laluan Pogba yang mudah melakukan tap in sebelum menari riang. Lukaku yang melihat Ibrahimovic memanaskan badan, sempat meledak gol keempat hasil hantaran Mata. Gol ini sangat penting bagi Lukaku yang menamatkan kemarau jaringan gol.

Lion is back

Pada usia 36 tahun, dan selepas tujuh bulan tidak beraksi kerana kecederaan, bintang Sweden kembali untuk mengukuhkan skuad Manchester United. Kemasukan Zlatan menggantikan Martial mendapat sorakan gemuruh penyokong di Old Trafford. Zlatan hampir menjaringkan gol apabila sepakan guntingnya ditepis Rob Elliott. 

Setelah lama menanti kepulangan Pogba, kehadiran semula bekas pemain termahal dunia ini selari dengan kembalinya kemenangan besar United. Ketika ketiadaan Pogba, jentera tengah United ketandusan ilham dan tiada kreativiti. Kini Pogba dan Zlatan kembali untuk memacu United ke puncak liga.

Perlawanan seterusnya, Manchester United akan beraksi dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan misi mengekalkan rekod kemenangan 100%. Jose Mourinho mungkin merehatkan Pogba untuk mengelakkan kecederaan.

Keyboard off.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif