Welcome To My Life...

Sunday, September 2, 2018

Coretan Sukan Asia 2018 #3

Assalamualaikum.

Jika dikatakan Malaysia boleh menundukkan India sebelum perlawanan, mungkin boleh dikatakan gila. Mungkin juga hanya satu suku rakyat Malaysia yang percaya pasukan hoki negara mampu melakukannya. Tambahan lagi, Malaysia tewas dalam perlawanan penting menentang Pakistan 1-4 di peringkat kumpulan walaupun memenangi semua perlawanan yang lain.

Kita berbicara tentang keajaiban dalam sukan apabila menentang pasukan gergasi, dan keajaiban itulah yang disaksikan semalam.

India, pasukan di ranking kelima dunia dan juga juara bertahan Sukan Asia (pemenang emas di Incheon 2014), terpaksa akur dengan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan pasukan hoki negara yang terkenal dengan jolokan 'Speedy Tigers'. 

Kebangkitan skuad hoki Malaysia diiktiraf dunia apabila bintang-bintang ternama dunia berhijrah ke liga domestik negara untuk melihat sendiri tahap permainan di liga Malaysia. Penyertaan pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat, membuktikan pengiktirafan ini. Dan semalam, pasukan India yang bertaraf dunia menjadi mangsa.

Selepas menumbangkan Malaysia beberapa kali dalam perlawanan terakhir, tidak sukar untuk memahami sebab mengapa India begitu yakin memasuki perlawanan separuh akhir. Malaysia turun sebagai underdog kerana India baru saja memecahkan rekod dunia. Para pemain India menjaringkan 76 gol dalam peringkat kumpulan (menewaskan Indonesia 17-0, Hong Kong 26-0, Jepun 8-0, Korea Selatan 5-3, dan Sri Lanka 20-0).

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0. Hanya di suku ketiga, India mendahului Malaysia menerusi pukulan sudut penalti selepas beberapa kali diberikan peluang. Malaysia membalas menerusi jaringan padang daripada Faizal Shaari. Gol penyamaan itu tidak kekal lama apabila India kembali di depan, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti. India mendahului 2-1 sehingga hujung suku keempat.

Malaysia mendapat pukulan sudut penalti ketika permainan hanya berbaki satu minit. Pukulan itu sangat penting bagi Malaysia kerana jika gagal, Malaysia perlu pulang dengan satu lagi kekalahan kepada India dalam buku rekod. Razie Rahim mempunyai idea yang lain. Pukulan sempurnanya berjaya mengheret India ke penentuan penalti.

Firhan Ashaari, Meor Azuan, Faizal Shaari, Tengku Ahmad Tajuddin, dan Fitri Shaari menunjukkan kekuatan mental untuk mewakili pasukan. Selepas lima pukulan pertama, kedudukan terikat 2-2 dengan Tengku Ahmad Tajuddin, Meor Azuan dan Faizal Shaari gagal menyempurnakan pukulan. Tetapi mereka menebus kesilapan itu dengan jaringan dalam situasi sudden death.

S. Kumar menjadi wira apabila menyelamatkan pukulan terakhir lawan untuk membawanya dan pasukan ke final impian. Lebih penting lagi, India telah disingkirkan!

-----

Jepun menewaskan Pakistan 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua untuk menempah perlawanan akhir dengan Malaysia. Untuk rekod, ini adalah kali pertama dalam sejarah penyertaan Jepun mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Sukan Asia.

Malaysia mendapat satu lagi peluang untuk mengejar kemasyhuran menjadi juara Sukan Asia dan sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kali pertama Malaysia ke final adalah pada tahun 2010 di Guangzhou, China.

Apa sekali pun keputusan final nanti, satu juara baru akan ditabalkan selepas Korea Selatan, India, dan Pakistan. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif