Welcome To My Life...

Friday, August 31, 2018

Coretan Sukan Asia 2018 #2

Assalamualaikum.

Siapa tak kenal Azizulhasni Awang?

Nama yang sangat dikenali para peminat sukan tanah air. Jaguh berbasikal trek kebanggaan rakyat Malaysia yang bertaraf dunia. Anak kelahiran Dungun, Terengganu yang berusia 30 tahun ini sudah sekian lama mengharumkan nama negara, malah pernah ditabalkan sebagai Olahragawan Negara.

Dunia mengenalinya sebagai 'The Pocket Rocketman' kerana fizikalnya yang bertubuh kecil, tetapi jiwanya besar. Lebih besar daripada segala cabaran yang pernah dilalui termasuk tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri ketika ingin mengembangkan karier ke peringkat antarabangsa. Kenapa dia digelar 'The Pocket Rocketman'?

Azizulhasni mempunyai explosive sprint, satu pecutan di selekoh terakhir yang sukar untuk dipercayai boleh dimiliki oleh tubuh kecilnya. Pecutan yang terkenal itulah yang membawa nama 'Rocketman' untuk Azizulhasni yang juga dikenali sebagai Jijoe.

Dan semalam, pecutan itu ditampilkan sekali lagi untuk tatapan dunia. Im Chae-bin (Korea Selatan) menjadi mangsa di peringkat separuh akhir dan kemudian Tomohiro Fukaya (Jepun) pula kecundang dalam penentuan pingat emas. Kedua-dua pelumba ditundukkan 2-0.

Walaupun lebih dikenali sebagai pelumba acara keirin (memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dan muncul juara dunia Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2017), Azizulhasni juga mahir dalam acara pecut, satu acara yang penuh taktikal dan strategi. Kedua-dua pelumba akan bertukar posisi memulakan perlawanan. Berada di depan di awal perlumbaan tidak bermakna jika salah percaturan.

Walaupun memulakan perlumbaan di belakang dan terpaksa mengejar lawan, Azizulhasni mempamerkan pecutan di selekoh akhir yang begitu terkenal untuk mencipta kemenangan. Semangatnya berkobar-kobar untuk menghadiahkan pingat emas Sukan Asia sempena hari kemerdekaan Malaysia ke-61.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom juga berada di pusingan separuh akhir semalam. Namun, dia tewas kepada Fukaya dan seterusnya kepada Chae-bin dalam penentuan pingat gangsa untuk menamatkan saingan di tempat ke-4. Masih banyak yang perlu dipelajari Shah Firdaus daripada pengalaman Azizulhasni tentang taktik dan strategi. Dan mungkin juga rahsia pecutan akhir yang begitu sensasi.

Dan semalam, pecutan sensasi itu dipersembahkan lagi.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif