Welcome To My Life...

Thursday, August 30, 2018

Coretan Sukan Asia 2018 #1

Asalamualaikum.

Aneh, tapi ia berlaku. Dalam sukan bola sepak, apa-apa saja boleh berlaku kerana bola itu bulat. Kadang-kadang reputasi di atas kertas tidak membawa makna besar. Itulah sebabnya terdapat watak 'pembunuh gergasi' (giant killer). 

Kisah benar terbaru adalah semasa kejohanan Piala Dunia baru-baru ini. Korea Selatan menumbangkan Jerman dan sekali gus menyingkirkan juara bertahan itu di peringkat kumpulan. Satu hikayat dongeng yang pasti ditertawakan jika dibicarakan sebelum perlawanan.

---------

Ayuh kita lihat situasi di temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Di peringkat kumpulan, pasukan bola sepak bawah-23 tahun Malaysia mencipta sejarah apabila menundukkan Korea Selatan 2-1 selepas beberapa dekad tidak berjaya melakukannya. Kemenangan itu juga meletakkan Malaysia sebagai pemenang kumpulan. Itu satu pencapaian besar memandangkan taraf Korea Selatan sebagai pasukan Piala Dunia.

Vietnam juga tidak mahu ketinggalan dalam membuat kejutan. Mereka juga memenangi kumpulan dengan menewaskan satu lagi pasukan dari Asia Timur, Jepun. Walaupun Jepun menurunkan pasukan muda dalam persiapan mereka untuk menghadapi Olimpik 2020 di Tokyo, kredit harus diberikan kepada Vietnam.

----

Beralih pula ke saingan pusingan kalah mati, peringkat 16 terbaik. Cabaran Malaysia berakhir di sini, tewas di tangan Jepun. Walaupun memiliki deretan peluang sepanjang perlawanan, kegagalan menyempurnakan peluang yang ada menyebabkan kekalahan dan memusnahkan impian Malaysia untuk mara lebih jauh. Sepakan penalti di lewat permainan memberikan kemenangan tipis kepada pasukan pelapis Jepun. 

Kemudian, semalam di separuh akhir pula, Vietnam tumbang 3-1 kepada Korea Selatan ketika Jepun menewaskan UAE 1-0 dalam perlawanan yang lain. 

------------

Aneh sekali, Jepun dan Korea Selatan yang tewas kepada Vietnam dan Malaysia di peringkat kumpulan, kini akan bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir untuk menentukan pemenang pingat emas edisi 2018. 

Malaysia boleh berbangga dengan prestasi semasa termasuk mengalahkan UAE (yang berada di separuh akhir semalam) dalam perlawanan persahabatan sebelum Sukan Asia bermula. Malaysia boleh mengatakan mereka tidak bernasib baik untuk tewas kepada finalis dan mungkin juga bakal juara.

Vietnam pula semakin meningkat. Selepas menjadi naib juara Kejohanan B-23 Asia awal tahun ini, mereka kini sekali lagi membuktikan kehebatan untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik Asia. Satu pencapaian besar dan sangat membanggakan. Bukan saja kemampuan individu seperti Nguyen Quang Hai, tetapi ini adalah kejayaan satu pasukan yang bersemangat dan pantang menyerah.

Walaupun Vietnam dan Malaysia menunjukkan tanda-tanda sudah mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia, Jepun dan Korea Selatan terus membuktikan mereka masih lagi kuasa besar di benua ini. Harus diingatkan Jepun menurunkan pasukan pelapis dalam persediaan mereka untuk menganjurkan Olimpik di bumi sendiri.

Mungkin harinya semakin hampir untuk pasukan Asia Tenggara seperti Malaysia dan Vietnam akan kembali di puncak bola sepak Asia, tetapi buat masa ini Jepun dan Korea Selatan masih lagi gergasi di benua Asia.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif