Welcome To My Life...

Monday, September 3, 2018

Coretan Sukan Asia 2018 #4

Assalamualaikum.

So near yet so far.

Kata orang, kalau sudah bukan rezeki, nasi depan mulut pun tak dapat masuk.

Katalah apa saja. Bukan rezeki. Tidak bernasib baik. Kecuaian sendiri. Kita sudah mencuba. Yang berlalu takkan berulang lagi. Peluang secerah itu mungkin hanya sekali seumur hidup, atau jika bertuah, mungkin ada sekali atau dua kali lagi. 

Kapten, Sukri Mutalib, serta rakan-rakan sepasukan pasti sukar tidur lena memikirkan bagaimana kemenangan berjaya lolos dari genggaman mereka ketika ia sudah begitu hampir pasti digenggam. 

Hanya sepuluh minit daripada kejayaan agung sukan hoki negara.

Beraksi kali kedua di pentas final (selepas Guangzhou 2010) menentang lawan yang baru kali pertama menikmati aksi final, Malaysia berdepan halangan terakhir untuk tiket automatik ke Olimpik Tokyo 2020. Tiada India atau Pakistan buat kali kedua dalam sejarah hoki Sukan Asia. Malaysia di ranking ke-13 dunia berdepan Jepun di ranking ke-16.

Malaysia mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim sebelum Jepun menyamakan kedudukan. Dua jaringan padang yang cantik dari Tengku Ahmad Tajuddin dan jaringan pukulan sudut penalti daripada Faizal Shaari meletakkan Malaysia selesa dengan kedudukan 4-1.

Jepun menambah satu lagi gol sebelum Amirol Aideed menampan bola ke dalam gawang untuk Malaysia mendahului 5-2 dalam suku terakhir dengan hanya 10 minit masa permainan yang tinggal. Ketika ini, bumi Jepun sudah terbayang di depan mata para pemain. Persis mereka mendarat di lapangan terbang Tokyo pada tahun 2020. Jurang bukan satu tapi tiga gol, apa lagi yang boleh menggugat mereka.

Ketika inilah, tiba-tiba saja taufan melanda entah datang dari mana. Para pemain Jepun seperti dirasuk bagaikan lupa mereka sedang ketinggalan tiga gol menentang barisan Malaysia yang berpengalaman. Mereka menjaringkan satu demi satu gol untuk mengejar Malaysia. Dua gol pantas dijaringkan untuk merapatkan kedudukan 5-4 sebelum Koji Yamasaki menyempurnakan sesuatu yang awalnya mustahil bagi Jepun. Tiada yang mustahil dalam kamus mereka.

Drama belum berakhir.

Malaysia mendapat pukulan sudut penalti di lewat permainan ketika menewaskan India di separuh akhir. Kali ini, Malaysia sekali lagi diberikan pukulan sudut penalti dan Tengku Ahmad Tajuddin melengkapkan hatriknya untuk Malaysia mendahului buat kali yang ketiga dalam perlawanan ini, dengan hanya dua minit masa permainan berbaki. DUA MINIT.

Deja vu. Babak di separuh akhir bagaikan berulang. Malaysia hanya perlu bertahan. Itu adalah situasi yang ideal. Sungguh tidak bernasib baik apabila Jepun diberikan pukulan sudut penalti dengan kurang satu minit lagi masa permainan. Dan Jepun menjaringkan gol itu ketika jam perlawanan menunjukkan baki 20 SAAT.

Masa penuh: Malaysia 6-6 Jepun.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Malaysia menurunkan barisan pemain yang sama ketika menewaskan India menerusi penentuan penalti. Hanya empat pemain Malaysia sempat mengambil pukulan. Dan hanya Firhan Ashaari seorang saja yang menyempurnakan pukulan pertama. Faizal Shaari, Meor Azuan dan Tengku Ahmad Tajuddin (penjaring hatrik) layu di bawah tekanan tinggi ketika pemain Jepun memastikan kemenangan 3-1 yang tidak dapat dibalas.

Jepun menjuarai hoki lelaki Sukan Asia dengan hanya satu percubaan di pentas final pertama mereka.

Malaysia kecundang lagi, buat kali kedua. Bumi Tokyo yang melambai mesra ketika Malaysia mendahului 5-2 pada satu ketika di babak terakhir, rupanya cuma mempermainkan perasaan. Semangat juang Jepun yang tidak pernah menyerah kalah membunuh harapan sukan Malaysia sekali lagi.

Para peminat sukan takkan lupa apabila Jepun menumbangkan Malaysia 3-2 di pentas final Piala Thomas 2014. Dan baru-baru ini, skuad bola sepak bawah 23 tahun Jepun menundukkan skuad negara di pusingan kedua bola sepak Sukan Asia dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan penalti di lewat permainan. Ternyata Jepun memintas Malaysia di selekoh terakhir.

"Mimpi saya berkecai." - S. Kumar

Mimpi kami semua juga berkecai. Mimpi rakyat Malaysia hancur musnah. Tapi mimpi itu percuma. Mimpi itu milik kita. Sekarang kita bermimpi lagi.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif