Welcome To My Life...

Saturday, September 15, 2018

Pendaftaran MMC

Assalamualaikum.

Lebih kurang tiga minggu yang lepas, penulis terpaksa bergerak dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk urusan rasmi pendaftaran sementara di Malaysian Medical Council selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda perubatan.

Lima tahun degree dan dua tahun A-Level. Total tujuh tahun yang sangat lama. Dalam tempoh ini ramai rakan sebaya dah beranak-pinak. Ada yang kahwin muda, anak pun dah besar. Sedar tak sedar, umur pun dah menjauhi usia remaja. Masih dalam kategori muda.

Berikut adalah kisah benar perjalanan yang memenatkan dalam tempoh hanya 24 jam.

----------

27 OGOS 2018
11 malam -- Changlun ke Seremban (bas)

-----

28 OGOS 2018
7.15 pagi -- Terminal One ke IMU (teksi)
9.30 pagi -- IMU ke Stesen KTM (Grab)
9.52 pagi -- Seremban ke Kuala Lumpur (KTM)
12.55 tengah hari -- sampai di MMC
4pm -- Kuala Lumpur ke Bandar Tasik Selatan (LRT)
8.30pm -- Bandar Tasik Selatan ke Changlun (bas)

-----------



Kisahnya, penulis guna pengangkutan awam. Kalau ikut cerita mereka yang pernah pergi, lokasi MMC ni tak jauh daripada stesen LRT Pasar Seni. "Tak sampai 10 minit jalan kaki" itu kata rakan penulis yang bergraduasi daripada Melaka Manipal Medical College dan sudah selesai urusan pendaftaran sementara.

Selepas sejam setengah perjalanan menaiki KTM dari Seremban, penulis tersilap turun di stesen KL Sentral, sedangkan stesen Kuala Lumpur adalah stesen seterusnya. Penulis terpaksa menunggu lebih setengah jam untuk menaiki KTM semula.

Dugaan pula di stesen Kuala Lumpur. Selepas berjalan kaki begitu jauh untuk keluar ke jejantas, tibalah bahagian yang paling menguji. Berada di satu tempat yang baru yang sangat asing dalam keadaan cuaca tengah hari yang teramat sangat panas terik sehingga peluh mula mengalir!

Melihat peta Kuala Lumpur yang berada di tengah jejantas, penulis masih tiada klu mana arah yang perlu dituju. Bangunan HQ Pos Malaysia megah di depan mata penulis. Jika diikutkan panduan dari blog, penulis perlu bergerak dengan HQ Pos Malaysia di sebelah kanan. Masalahnya penulis berada di tengah-tengah. Kiri dan kanan jaraknya sama jauh. Tekanan semakin tinggi.

Penulis buka peta Google di telefon pintar. Destinasi yang dituju sangat dekat. Tapi di kota yang luas yang begitu asing ini, penulis tak tahu bagaimana untuk mula. Mengikut naluri, penulis mengikut laluan ke arah kiri kerana laluan ke sebelah kanan menuju stesen LRT.

Sampai di sebelah bangunan HQ Pos Malaysia. Sangkut, tersekat. Tidak tahu ke mana hendak dituju walaupun peta Google di tangan. Baju mula basah dengan peluh macam mandi hujan. Mujurlah saat itu, bantuan Allah tiba. Seorang hamba Allah dari bangunan Pos sedang membelek telefon pintarnya. Ketika ini penulis ragu-ragu hendak menegur atau tidak.

Orang kata, 'malu bertanya sesat jalan'!

Dengan sisa-sisa keberanian yang ada dan muka yang ditebalkan dengan 'topeng', penulis gagahkan juga untuk bertanya arah. Lelaki itu tidak tahu destinasi penulis. Penulis berikan landmark bangunan MARDI.

Hamba Allah: Eh, bukan MARDI kat Serdang ke?
Penulis: Ada satu kat sini, kalau ikut panduan saya.
Hamba Allah: Kejap, saya cek Waze.

Dia betul-betul bukak aplikasi Waze. Segan dah rasa. Tapi siapa lagi hendak diharapkan.

Hamba Allah: Apa landmark lain ye?
Penulis: Saya nak pergi MMC. Dekat je dari sini.
Hamba Allah: Eh, tu bukan dekat Putrajaya ke?
Penulis: Tak, dekat sini. Dekat je tapi tak tahu kat mana.

Hamba Allah sekali lagi membelek aplikasi Waze. Rakannya pun tiba. "Oh, dekat je ni. Jom ikut saya. Saya tunjuk jalan". Penulis pun menurut langkah hamba Allah dan rakannya.

Hamba Allah: Awak turun sana. Masuk laluan bawah tanah. Keluar sebelah sana. Jalan terus ikut arah Masjid Negara. Sampailah tempat tu.
Penulis: Terima kasih banyak.
Hamba Allah: Doktor lah ni? Nanti boleh saya dapat rawatan percuma bila jumpa lagi.

Penulis tersenyum selepas mengucapkan terima kasih sekali lagi. Ya, laluan bawah tanah itulah yang penulis cari. Sama seperti dalam panduan. Laluan itu sebenarnya penulis sudah nampak tadi. Penulis sering diajar dalam perubatan "your eyes cannot see what your mind does not know". Penulis sambung perjalanan. Masih ada satu salinan dokumen yang perlu disahkan. Salinan transkrip peperiksaan yang baru diambil di kampus Seremban sebaik saja sampai dari Kedah.

Penulis menuju ke sekolah Methodist perempuan yang hanya di seberang jalan dari kompleks Kementerian Kesihatan Malaysia. Di saat yang begitu mendesak, tak ada pulak pegawai yang boleh sahkan salinan itu di pejabat: penolong kanan dan pengetua. Dugaan lagi. Sempatlah penulis melepaskan lelah di luar pejabat dengan baju yang dibasahi peluh.

Selepas selesai urusan di sekolah tersebut, penulis pun bergerak ke destinasi utama. Ketika penulis berjaya tiba di depan pintu masuk MMC, jam sudah pun menunjukkan waktu 12.55 tengah hari dan staf sudah keluar untuk waktu rehat. Penulis pun bergerak ke surau dengan hati yang redha. Time to recharge! Bukak aircond dan kipas kelajuan maksima. Masa untuk sejukkan badan.

Selepas selesai semua urusan di MMC (hampir jam 3.30 petang), saya pun segera bergerak untuk ke Terminal Bersepadu Selatan. Lebih kurang sepuluh stesen jugak dengan LRT. Tiket bas pun dibeli untuk perjalanan jam 8.30 malam. Penulis pun menghabiskan masa melihat ragam manusia di terminal yang sentiasa sibuk.

Penulis dari Kedah pun terasa seksa terpaksa melakukan perjalanan ini yang sepatutnya dilakukan di atas talian pada zaman teknologi moden lagi canggih. Penulis memikirkan nasib rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang terpaksa ke Kuala Lumpur hanya untuk urusan ini. Sangat menyusahkan.

Sekian saja bahagian pertama pendaftaran sementara.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif