Welcome To My Life...

Tuesday, October 2, 2018

Mimpi Yang Tak Sudah

Assalamualaikum.

Umpama mimpi yang tak sudah.

Begitulah yang boleh dikatakan tentang impian pasukan negara untuk layak beraksi di Piala Dunia bola sepak bawah 17 tahun secara merit. Mimpi anak-anak didik Lim Teong Kim dalam National Football Development Program (NFDP) untuk memperagakan aksi di bumi Peru tidak kesampaian.

Perlawanan ketiga peringkat kumpulan A,
Malaysia 0-2 Jepun

Selepas menang perlawanan pembukaan dan tewas perlawanan kedua kepada negara jiran, harapan menggunung disandarkan kepada skuad muda ini untuk menang. Dan apabila Tajikistan mendahului Thailand, mereka hanya perlu seri. Mereka gagal melakukan itu.

Gol pertama berpunca daripada kesilapan pemain yang melakukan kesilapan ASAS. Bola yang perlahan dari pemain lawan sepatutnya ditendang sejauh mungkin tetapi salah faham berlaku antara dua pemain Malaysia yang menyaksikan kedua-dua pemain membiarkan saja bola itu meleret ke dalam kotak penalti! Bola itu pantas direbut penyerang lawan yang menewaskan kapten Malaysia sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol.

Walaupun gol kedua (lewat dalam masa kecederaan di hujung permainan) berpunca daripada kesilapan penjaga gol yang membaling bola tetapi tidak sampai kepada rakan sepasukan, gol kedua itu hanyalah melengkapkan nasib malang Malaysia. Bola rembatan jarak jauh pemain Jepun terkena palang, melantun terkena kaki penjaga gol, dan bergolek masuk ke dalam gawang. Membunuh terus peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya seri dan layak ke pusingan suku akhir.

-----------

Malaysia menewaskan Tajikistan 6-2 dalam perlawanan pertama dengan Luqman Hakim meledak EMPAT gol. Walaupun perlawanan itu berlangsung dalam situasi hujan, kecemerlangan Malaysia tidak boleh dinafikan sama sekali.

Apa yang berlaku selepas itu sama sekali tidak diduga. Malaysia tunduk 2-4 kepada Thailand dalam perlawanan seterusnya (tanpa penjaga gol utama yang dilayangkan kad merah di lewat permainan menentang Tajikistan) yang menghancurkan terus peluang untuk mara.

Tajikistan pula seri menentang Jepun 0-0 dalam perlawanan kedua (Jepun menurunkan skuad simpanan dengan menyimpan pasukan utama untuk menentang Malaysia) dan menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir untuk melengkapkan kebangkitan mereka.

Dan ketika entri ini ditulis, Tajikistan telah pun layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan selepas menumbangkan Korea Utara di suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas seri 1-1 dalam masa permainan sebenar. Satu kebangkitan yang hebat!

Pasukan yang dibelasah oleh tuan rumah dalam perlawanan pertama bangkit untuk layak ke Piala Dunia! Tajikistan akan mewakili benua Asia ke Piala Dunia B-17 bersama Jepun, Australia, dan Korea Selatan dengan kejayaan mereka ke separuh akhir. Tajikistan akan menentang Korea Selatan manakala Jepun berentap dengan Australia untuk menentukan finalis Kejuaraan AFC B-16.

Malaysia menewaskan (malah membelasah) mereka dalam perlawanan pertama. Di mana silapnya?

----------

Secara keseluruhan, walaupun pasukan ini gagal menyamai pencapaian skuad 2014 yang tewas di pusingan suku akhir (hanya selangkah lagi untuk ke Piala Dunia B-17), namun prestasi mereka sebenarnya agak cemerlang. Lupakan kekalahan kepada Thailand yang sangatlah malang. Berikut adalah lima perkara yang menonjol walaupun dengan kegagalan Malaysia ke Piala Dunia.

(1) Luqman Hakim bakal penggempur berbisa

Penyerang muda ini takkan dapat melupakan perlawanan pertama menentang Tajikistan (sekali lagi diulang telah layak ke Piala Dunia selaku empat pasukan terbaik Asia!) dalam hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kepantasan dan kelincahan Luqman terlalu sukar untuk dikekang oleh para pemain Tajikistan. Tidak salah untuk mengatakan Luqman sepatutnya menjaringkan lebih daripada lima gol!

Empat gol yang dijaringkan menentang Tajikistan juga menarik. Gol pertama menyambar hantaran silang Najmuddin Akmal. Gol kedua menyempurnakan lorongan cantik dengan rembatan kencang kaki kanan. Gol ketiga menewaskan penjaga gol sebelum menolak bola ke gawang terbuka. Dan gol keempat dengan rembatan kaki kanan yang terkena tiang sebelum melantun masuk.

Luqman menambah koleksi jaringan dengan gol kelima peribadi dalam perlawanan kedua menentang Thailand, satu lagi perlawanan yang dia takkan pernah lupakan dalam kariernya. Luqman dilayangkan kad merah kerana mengangkat tinggi semasa cuba merebut bola. Sesuatu yang tidak disengajakan tapi cukup menjadi alasan bagi pengadil melayangkan kad merah. Malaysia yang baru menyamakan kedudukan 2-2 sedang cuba bangkit tapi semangat direntap.

(2) Bukan saja tentang Luqman

Benar, ketiadaan Luqman teramat sangat dirasai selepas dia dibuang padang ketika menentang Thailand dan dalam perlawanan seterusnya menentang Jepun. Namun, Malaysia juga sedang melahirkan beberapa lagi nama yang bakal menjadi bintang jika digilap dengan baik. Penjaga gol, Sikh Izhan begitu cemerlang semasa menentang Tajikistan dan juga dalam perlawanan terakhir menentang Jepun. Ketiadaannya dalam perlawanan berdepan Thailand sangat dirasai.

Selain Luqman, gandingannya di bahagian serangan juga tidak kurang hebatnya. Najmuddin Akmal beraksi baik menentang Jepun ketika terpaksa mengetuai serangan tanpa Luqman Hakim. Alif Mutalib beraksi cemerlang di bahagian sayap. Alif mencipta gol untuk Luqman dalam perlawanan pertama dan paling diingati larian tanpa putus asa ketika menentang Thailand yang menghasilkan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Firdaus Kaironnisam. Alif Daniel dan Syukur Fariz juga beraksi baik.

Di bahagian pertahanan, Zikri Khalili beraksi dalam semua perlawanan di posisi bek kiri dan beraksi cemerlang menyerang dan bertahan. Firdaus Ramli juga kental di bek tengah dan menjadi kapten dalam perlawanan menentang Jepun. Tetapi Firdaus yang terlepas penyerang Jepun ketika Jepun menjaringkan gol pertama.

(3) Masa depan yang cerah

Skuad B-23 negara beraksi cemerlang dalam Kejuaraan AFC B-23 di China dan kemudian Sukan Asia di Indonesia. Pasukan ini tewas 2-1 di suku akhir Kejuaraan AFC dengan gol lewat Korea Selatan. Malaysia membalas dengan kemenangan 2-1 di peringkat kumpulan Sukan Asia ketika Safawi Rasid meledak dua gol. Malaysia hanya tewas tipis di pusingan kedua 1-0 kepada Jepun dengan sepakan penalti di lewat permainan.

Skuad B-19 pula cemerlang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia dengan menewaskan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir, gol kemenangan dijaringkan oleh Nik Akif Syahiran menerusi sepakan percuma yang sangat cantik. Pasukan ini akan bersaing di Indonesia bermula 18 Oktober ini dalam Kejuaraan AFC B-19 dengan misi ke separuh akhir untuk layak ke Piala Dunia B-20 tahun depan di Poland.

Skuad B-16 pula walaupun gagal mencapai misi ke Piala Dunia B-17 dan tersingkir di peringkat kumpulan, mereka sebenarnya boleh dipuji kerana membelasah Tajikistan dan juga menyaingi Jepun yang sudah lama membangun di peringkat akar umbi. Kedua-dua pasukan yang menyingkirkan Malaysia ini layak ke Piala Dunia B-17 di Peru.

(4) Malaysia hanya bernasib malang

Penjaga gol utama tidak dapat diturunkan menentang Thailand. Dan penyerang utama tidak dapat diturunkan menentang Jepun. Lihatlah apa yang berlaku apabila kedua-dua pemain ini beraksi bersama dalam satu perlawanan: Malaysia 6-2 Tajikistan. Hanya itu perlawanan yang boleh menggambarkan pasukan muda Malaysia ini di kekuatan terbaik.

Boleh dikatakan pasti Thailand tidak menang jika Sikh Izhan beraksi dan Luqman tidak dibuang padang. Dan kehadiran Luqman menentang Jepun pasti memberi masalah yang lebih besar kepada Jepun ketika Malaysia memberikan masalah kepada Jepun tanpa aksi Luqman.

Malang sekali para pemain Malaysia telah mengecewakan harapan menggunung rakyat Malaysia di depan penyokong sendiri.

(5) Akademi Mokhtar Dahari perlu diteruskan

Akademi yang dibuka khas untuk melahirkan generasi pelapis bola sepak Malaysia dengan melantik Lim Teong Kim sebagai pengarah. Malang sekali Lim telah dipecat sebagai ketua jurulatih pasukan B-16 sebaik saja Malaysia tersingkir. Benar, gajinya tinggi tetapi sesuai dengan pengalamannya melahirkan pelapis di kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Tidak adil untuk menilai projek ini telah gagal hanya kerana mereka gagal ke Piala Dunia B-17 selepas empat tahun proses ini berjalan. Memang benar, Lim telah meletakkan sasaran tinggi tetapi dia tidak salah untuk bermimpi! Impian biar ke angkasa agar jatuhnya cuma ke awan. Di mana maruah kita jika hanya menyasarkan Kejuaraan AFF di peringkat rantau tanpa cuba mencabar dunia?!

Pasukan ini perlu terus digilap agar mereka dapat cuba pula untuk ke Piala Dunia B-20 nanti dengan harapan abang-abang mereka akan berjaya melakukannya tahun ini!

----------

Berilah semangat. Menang kita bangga, kalah kita setia. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif